Home » , » Kerajaan Tipu Mahasiswa

Kerajaan Tipu Mahasiswa

Written By Wadah Baru on Jumaat, 2 September 2016 | 8:00 PG


Oleh FAIZ FADZIL

Tindakan Kerajaan pimpinan Datuk Sri Najib Razak memotong bajet pendidikan sebanyak RM2.4 bilion telah mula menunjukkan kesan kepada perbelanjaan mahasiswa. Potongan bajet ini sudah pasti menyebabkan institusi-institusi pengajian tinggi kekurangan sumber kewangan yang akhirnya beban kewangan ini berpindah ke atas poket mahasiswa.

Walaupun Menteri Pendidikan Tinggi dan Timbalan Perdana Menteri pada 5 Disember 2015 memberikan jaminan tiada kenaikan yuran pengajian akan berlaku, namun saya daripada awal meragui jaminan yang tidak konkrit dan tidak logik ini.

Ternyata, kerungsingan ini menjadi kenyataan apabila institusi-institusi pengajian tinggi awam telah menaikkan yuran pengajian bagi sesi September tahun ini. Sebagai contoh, yuran pengajian Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi sesi kemasukan baru pra-siswazah meningkat dari RM 1870 ke RM 2090, bagi Sarjana pula meningkat dari RM 1720 ke RM 2965 dan Doktor Falsafah pula meningkat dari RM 2120 ke RM 3425. Ini tidak termasuk lagi yuran kolej kediaman dan lain-lain yang juga turut dinaikkan.

Kesukaran mahasiswa untuk membayar yuran pengajian ini pasti bertambah lagi dengan keputusan PTPTN memotong pinjaman pelajar dan keadaan ini pasti menambah beban mahasiswa dan ibubapa. Seharusnya, sektor pendidikan diberikan perhatian tinggi kerana ia adalah aset penting pembinaan sebuah negara maju dan masyarakat madani.

Justeru, Pemuda AMANAH mendesak agar bajet pendidikan harus disemak semula serta-merta dan diberikan suntikan tambahan agar beban mahasiswa dan rakyat dapat dibela.

Saya bimbang poket mahasiswa yang kekeringan akan menjejaskan fokus dan mutu pembelajaran dan berkemungkinan mereka terpaksa bekerja separuh masa tidak dapat dielak. Sebagai pembina masa depan negara, kebajikan mahasiswa harus dijaga sebaiknya.

Alangkah meriahnya sambutan kemerdekaan negara tahun ini jika Perdana Menteri dapat bertindak tegas dan segera mengarahkan MO1 memulangkan RM2.6 bilion yang dirompaknya untuk diagihkan kepada setiap institusi pengajian tinggi. Perdana Menteri pasti disanjung sebagai Robin Hood alaf baru.

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA
AMANAH NASIONAL
1 SEPTEMBER 2016

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger