Home » , » Hanya syaitan duduk dalam tandas, kata exco Pulau Pinang

Hanya syaitan duduk dalam tandas, kata exco Pulau Pinang

Written By Wadah Baru on Khamis, 6 Oktober 2016 | 1:51 PTG

PETALING JAYA: Dr Afif Bahardin menyamakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dengan syaitan kerana mengadakan sidang media di dalam tandas di Shah Alam, semalam.
Timbalan ketua Pemuda PKR itu berkata hanya syaitan yang gemar duduk di dalam tandas dan tindakan Jamal itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang beragama Islam.

“Selalunya, yang duduk dalam jamban ialah syaitan. Ustaz sudah ajar, jangan makan, cakap dalam jamban. Buat sidang media tu, perangai lebih kurang.

“Tindakannya itu biadab dan tidak mencerminkan identiti sebagai orang Islam dan Melayu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Semalam, Jamal mengoyak, membuang serta mengepam surat tuntutan yang dihantar peguam Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ke dalam tandas.

Malah, Jamal berkata beliau tidak akan meminta maaf kepada Maria kerana mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas antarabangsa IS.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang itu turut mendakwa Jamal pembela rasuah dan menggesa polis mengambil tindakan terhadapnya.

“Inilah pembela rasuah, imej perdana menteri ingin dipertahankan oleh orang macam Jamal. Saya gesa supaya polis terus ambil tindakan,” katanya.

Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada Jamal menerusi pejabat peguam, Maria mendesaknya supaya berjanji tidak akan menyiarkan kenyataan fitnah lagi.

Surat itu juga mendesak Jamal membayar ganti rugi kerana menjejaskan reputasi dan nama baik Maria.

Maria berkata kenyataan itu palsu, berniat jahat dan memfitnah dan pernyataan fitnah itu bertujuan untuk merosakkan reputasinya secara terang-terangan cuba mengelirukan orang ramai berhubung perkara yang menyentuh kepentingan negara.

Pada 28 September lalu, Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar menuduh Bersih diresapi pengganas, dan pada tunjuk perasaan 19 November depan merancang untuk mengepung lokasi strategik dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger