Persidangan Dewan Rakyat mencipta rekod baharu hari ini setelah
berlangsung hampir 20 jam bermula 10 pagi semalam hingga 5.05 pagi ini.
Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang
Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan
undian suara majoriti.
Pada 2015, Dewan Rakyat mencipta rekod persidangan terpanjang selepas
ditangguhkan pada 4.25 pagi mengatasi rekod sidang sebelumnya pada 3.21
pagi.
Cukai itu dirancang untuk mengenakan levi ke atas pelancong yang
menginap di mana-mana premis yang disediakan oleh pengendali pada kadar
ditetapkan menteri.
"Sekiranya kita buat promosi dengan begitu baik sekali dan mendapat
kadar penginapan mencecah 80 peratus maka jumlah kutipan akan meningkat
sehingga RM872.82 juta," katanya.
Menurut Mohamed Nazri kutipan cukai itu mampu memberikan dana yang
mampan setiap tahun bagi membolehkan industri pelancongan dimajukan dan
menjadi lebih berdaya saing.
Cukai itu akan dikenakan pada semua jenis premis pelancongan kecuali
homestay dan inap desa yang berdaftar dengan kementerian, premis
penginapan yang dikendalikan institusi pendidikan atau latihan yang
bukan tujuan komersial dan premis penginapan yang diusahakan institusi
keagamaan, katanya.
Beliau berkata cukai tersebut akan dijadikan cukai persekutuan
bertujuan mengelakkan perselisihan dengan kerajaan negeri dari segi
kebolehan mengenakan cukai memandangkan sesetengah negeri berhak
mengenakan cukai melalui majlis perbandaran seperti Pulau Pinang dan
Melaka.
Terdahulu, persidangan dewan meluluskan usul dikemukakan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membawa lima
rang undang-undang yang sepatutnya dibentang untuk bacaan kali kedua,
ke persidangan akan datang.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan)
2017, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017, Rang
Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017,
Rang Undang-Undang Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017, dan Rang
Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian)
(Pindaan) 2016.
Beliau turut memohon untuk menarik balik Rang Undang-Undang Setem (Pindaan) 2016.
Dalam pada itu, persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan Rang
Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang
Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial
Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi
Swasta (Pindaan) 2017, dan Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan
Labuaan (Pindaan) 2017.
Persidangan dewan ditangguhkan ke 10 pagi ini.
Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu,
Mohamed Nazri berkata Cukai Pelancongan itu dianggarkan mampu memberi
kutipan sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi
keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60 peratus.
Cukai Pelancongan 2017 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan
dan pemungutan cukai pelancongan ke atas mereka yang menginap di premis
pelancongan di Malaysia.
Dewan Rakyat cipta sejarah berlangsung hampir 20 jam
Written By Wadah Baru on Jumaat, 7 April 2017 | 1:00 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan