Home » , » Hentikan polemik RUU 355, fokus tolak penguasa rasuah

Hentikan polemik RUU 355, fokus tolak penguasa rasuah

Written By Wadah Baru on Isnin, 3 April 2017 | 4:54 PTG

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menggesa supaya polemik berkaitan Rang Undang-undang (RUU) 355 dihentikan daripada terus diperbodohkan oleh pihak yang hanya mahu membiarkan rejim Umno-BN kekal berkuasa.

Menurutnya, isu pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 jelas hanya permainan politik Umno-BN seperti terbukti pada pengumuman Najib Razak bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membentangkan RUU 355 di Parlimen ekoran keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

"Hentikan dari dipermain dan diperbodohkan dengan polemik RUU 355 ini oleh golongan yang mahu mengekalkan kuasa Umno BN dan mereka yang menyokong penguasa politik yang rasuah dan tidak amanah ini.

"Sejak awal lagi kami (Amanah) mengambil pendirian jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan mengambil inisiatif memindanya," tegas beliau.

Ujarnya, motif sebenar isu RUU 355 adalah bagi memelihara kepentingan politik parti pemerintah apabila digunakan sebagai umpan untuk menarik Pas keluar dari permuafakatan Pakatan Rakyat (PR).

"Lalu, tercetuslah apa yang berlaku sehingga kemudiannya Pas berpecah selepas berlakuknya pembersihan golongan progresif dan pro-PR.

"Lalu, Najib dan pimpinan Umno telah 'melayani' kehendak Pas seolah-olah menyokong RUU 355 ini. Sekarang seluruh rakyat jelas kedudukan perkara ini bahawa perhitungan kepentingan politik Umno-BN menentukan dan mengatasi segala-galanya," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad menyifatkan isu RUU 355 turut berjaya memecahbelahkan umat Islam itu sendiri sehingga mengheret ke kancah 'takfiri' apabila pihak yang mempertikaikan sebarang aspek cadangan RUU 355 itu atau menolaknya dianggap telah ‘gugur aqidah’ dan menentang syariah Islam.

"Untuk ingatan, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan digunakan untuk menyatakan semua ahli parlimen ‘wajib’ sokong, sedangkan RUU 355 adalah proses legislatif (at-Taqnin) yang semestinya melalui proses perbahasan dan perdebatan," kata beliau.

Jelasnya, proses itu penting bagi mengenalpasti langkah terbaik untuk mencapai cita-cita murni memperkasakan Mahkamah Syariah bukan sekadar meningkatkan jumlah hukuman semata-mata tanpa melalui kajian impak dan kemunasabahan yang mendalam.

"Himpunan Ungu di Padang Merbok pula memperlihatkan terdesaknya Pas dan Umno mahu menggunakan sentimen Islam-Melayu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada asas negara ini dibina iaitu permuafakatan dan perpaduan nasional antara kaum dan agama. Seperti didakwa sesetengah pimpinan Pas dan Umno, kononnya RUU 355 adalah lambang 'penyatuan umat Melayu-lslam'.

"Amanah, sejak awal lagi telah tegaskan pandangan sebenar kami tentang perkara ini. Ahli-ahli Parlimen kami telah mengemukakan cadangan balas tentang RUU 355 bagi 'Memperkasakan Mahkmah Syariah' secara substantif dan menyeluruh," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru umat lslam dan seluruh rakyat kembali kepada isu besar yang sedang mengancam kelangsungan tanah air tercinta ini dengan segera kembali memahami reformasi penting dan kritikal buat kesejahteraan dan kemakmuran seluruh negara adalah dengan menolak penguasa politik yang rasuah, tidak amanah, tidak kompeten, jenis balun, boros dan bolot kekayaan negara.

"Bebanan kos sara hidup rakyat dari segi pemakanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan, peluang pekerjaan bagi penganggur khasnya belia dan graduan, kejatuhan nilai ringgit, impak cukai GST dan penarikan pelbagai subsidi untuk rakyat, adalah isu-isu sebenar yang cuba dialih pandang oleh kerajaan Najib.

"Menolak pimpinan yang yang rasuah, merompak, mencuri wang rakyat dan membebankan rakyat adalah tanggungjawab semua pihak," tegas bekas Ahli Parlimen Nilam Puri, Kubang Kerian dan Kuala Kedah itu lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger