Home » , » Exco Johor letak jawatan atas dakwaan rasuah

Exco Johor letak jawatan atas dakwaan rasuah

Written By Wadah Baru on Jumaat, 21 April 2017 | 10:57 PG

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Abd Latif Bandi sebagai pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu memaklumkan Latif melepaskan semua jawatan rasmi dalam kerajaan negeri.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Johor menghormati keputusan yang diambil beliau. Keputusan itu sudah pastinya berdasarkan penilaian terbaik untuk semua pihak. Saya berharap proses keadilan dapat berlangsung mengikut peruntukan undang-undang yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Latif di atas jasa dan khidmat baktinya sepanjang bertugas dengan kerajaan negeri.

Selain itu, kerajaan negeri berharap dan mendoakan segala urusan Latif selepas ini dipermudahkan dan berjalan lancar.

Petang tadi, Latif menerusi syarikat guamannya, Adzly & Co mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri susulan pendakwaan kes rasuah ke atasnya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Dalam prosiding mahkamah itu, beliau bersama seorang perunding hartanah didakwa dengan 33 pertuduhan melibatkan rasuah bernilai RM30.3 juta.

Latif, 51, bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.

Dia kemudian ditahan sewaktu memberi keterangan berhubung kes itu kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di sini pada 9 Mac lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger