KOTA
BARU, 21 April — Arahan larangan berniaga yang dikenakan kerajaan
Kelantan kepada peniaga pasar malam tidak dikuatkuasakan ke atas peniaga
dan pengunjung bukan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan
Datuk Ab Fattah Mahmood menjelaskan, peniaga dan pengunjung pasar malam
bukan Islam boleh berurus niaga pada waktu penutupan operasi perniagaan
waktu Maghrib selama 10 minit yang dikuatkuasakan ke atas peniaga dan
pengunjung Islam.
“Arahan penutupan perniagaan tersebut bertujuan memberi keselesaan
kepada peniaga Islam untuk menunaikan solat Maghrib kerana waktunya agak
singkat iaitu lebih kurang satu jam sahaja.
“Kalau kita tidak wujudkan satu waktu khusus kepada mereka dibimbangi
mereka akan terlepas menunaikan ibadat wajib itu sedangkan solat itu
tiang agama.
“Sehubungan itu peniaga dan pengunjung bukan Islam tidak perlu bimbang
kerana tiada larangan yang kita tetapkan untuk mereka berurus niaga pada
waktu tersebut,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim
di sini, semalam.
Ab Fattah mengulas tindakan beberapa pihak termasuk Naib Presiden Parti
Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa yang mempersoal arahan kerajaan
negeri itu dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid
Ibrahim yang menyifatkan arahan itu tidak sah dan tidak mempunyai asas
dalam undang-undang.
Ab Fattah berkata dasar penutupan operasi pasar malam pada waktu
Maghrib yang diperkenalkan di Kelantan sejak 1995 tidak sepatutnya
dijadikan pertikaian atau diperbesarkan kerana ia telah diterima baik
oleh rakyat negeri ini.
“Selama ini kita tiada sebarang masalah berhubung dasar ini sehinggalah
ada individu yang cuba memutarbelit dan mempolitikkan isu ini.
“Kita rasa sangat sedih kerana langkah yang kita laksanakan bertujuan
membentuk peniaga yang taat kepada perintah Allah selaras dengan dasar
membangun bersama Islam di negeri ini,” katanya.
Tambahan pula katanya berdasarkan Akta 171 di bawah pentadbiran Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT), PBT mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan
arahan am menyentuh kepentingan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat memilih
pasar malam tertentu untuk diberi penganugerahan berdasarkan beberapa
kreteria termasuk pematuhan kepada dasar yang ditetapkan kerajaan negeri
itu. — Bernama
Bukan Islam boleh jual beli waktu Maghrib di Kelantan
Written By Wadah Baru on Jumaat, 21 April 2017 | 10:53 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan