Oleh Abdul Muein Abadi
“Jika bangsa Arab menjadi hina, Islam akan turut dihina” (Hasan
al-Banna) Arab Saudi, Mesir, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain,
kerajaan Yaman dan Libya pro-Saudi, serta terbaru Maldives telah
memutuskan hubungan dengan Qatar.
Saham milik Qatar terus
jatuh merudum manakala laluan darat, laut serta udaranya pula dikenakan
sekatan.Sebenarnya tindakan mengejutkan sebegini bukan kali pertama
kerana pada 2014 Arab Saudi, Bahrain, dan UAE pernah memanggil pulang
duta mereka dari Qatar. Apakah ‘dosa’ negara kepulauan kecil di sebelah
Semenanjung Arab itu?
Mengapa Qatar yang selama ini dilihat antara sekutu Arab kini tiba-tiba dimusuhi?
Antara tuduhan terhadap Qatar ialah “menyokong aktiviti keganasan” dan
“menggugat kestabilan serantau” serta memiliki hubungan baik dengan
pertubuhan seperti “Ikhwan Muslimin, ISIS, dan al-Qaeda”.
Qatar
turut dituduh menyokong agenda Iran dan Syiah di Qatif (Saudi) dan
Bahrain. Sebelum itu ada tuduhan yang telah pun dinafikan kononnya
pemimpinnya Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyokong Iran, Hamas,
Hezbullah, dan Israel di samping tidak yakin “berapa lama Trump akan
bertahan sebelum dipecat di Amerika”.
Sememangnya Qatar merupakan
salah satu daripada negara Arab utama yang membentuk Majlis Kerjasama
Teluk (GCC). Malah Qatar turut menyertai latihan ketenteraan North
Thunder anjuran Arab Saudi pada 2016.
Qatar bahkan terkehadapan
dalam mengiktiraf pencerobohan kuasa Barat ke atas rejim Muammar
Gaddafi di Libya serta bersama GCC Arab menentang pemberontakan di
Bahrain.
Namun berbeza dengan negara Arab lain, Qatar mesra
Ikhwan Muslimin dan Rusia. Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi,
UAE, dan Mesir yang kini menganggap pertubuhan tersebut sebagai
pengganas.
Qatar bukan sahaja mengadakan hubungan rapat dengan
Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut melindungi kepimpinan Ikhwan.
Ilmuan Prof. Yusuf Al-Qaradhawi yang dianggap pemikir Ikhwan turut
diberi suaka politik di Qatar.
Sewaktu kepimpinan Morsi, Qatar
dilaporkan mendepositkan sebanyak USD 2 bilion kepada Bank Negara
Mesir, meningkatkan pelaburannya sebesar 74 peratus di Mesir.
Doha
juga secara umumnya menyokong peristiwa Arab Spring yang menaikkan
kepimpinan bercitra Islamis di rantau Teluk, sedangkan Arab Saudi,
Bahrain, dan UAE kurang selesa dengan kebangkitan sedemikian.
Malah
terdapat dakwaan bahawa sokongan Qatar telah membantu kejayaan gerakan
pro-Ikhwan Muslimin dalam pilihan raya pasca-Arab Spring di Mesir,
Maghribi, dan Tunisia.
Ditambah dengan faktor kewangan yang kuat
dan penglibatan aktif Qatar di pentas antarabangsa telah menjadikannya
pesaing yang serius.
Qatar semakin berani mendedahkan urusan di
sebalik tabir yang kurang disenangi negara jiran Arabnya. Terkini pada
2017 baru-baru ini tentang emel kerjasama UAE-Israel.
Laporan
stesen penyiaran Qatar, iaitu Al-Jazeera menyatakan bahawa penggodam
telah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef al-Otaiba
dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for Defense
of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk memburukkan
imej Qatar di rantau Asia Barat.
Pada 2015 Al-Jazeera turut
menyiarkan imej ngeri orang awam yang menjadi mangsa serangan Mesir
selepas Presiden Morsi digulingkan, sekali gus memburukkan hubungan
Qatar-Mesir. Malah pada 2016 dua pekerja Al-Jazeera dihukum mati oleh
Mahkamah Mesir kerana didakwa membocorkan dokumen keselamatan sulit
Mesir kepada Qatar sewaktu pemerintahan Morsi.
Hasilnya imbangan
kuasa di Timur Tengah kini semakin boleh dibahagikan kepada tiga blok:
pada satu sudut, Arab Saudi, Bahrain, Mesir, dan UAE. Manakala pada
sudut yang lain ialah Qatar, Turki, Hamas di Palestin, Sudan, serta
Tunisia dan Maghribi yang lebih lunak dengan Ikhwan manakala Iran,
Syria dan Hizbullah mewakili satu lagi blok yang berpengaruh.
Perkembangan ini bakal mengimpak situasi di Yaman dan Syria yang masih
bergolak.
Di peringkat global pula, meskipun Qatar mempunyai
pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun ia juga semakin rapat dengan
Rusia.
Amerika bukan sahaja memiliki dua pangkalan udara dan
tentera di Qatar, bahkan turut membekalkan pelbagai aset ketenteraan
seperti helikopter, sistem pertahanan, dan peluru berpandu kepada Doha.
Namun
hubungan Qatar-Rusia makin erat apabila terkini perjanjian syarikat
minyak antara Rosneft (Rusia) dengan Qatar dan Glencore (Switzerland)
ditandatangani, menyusuli pembelian saham Bank V.T.B. Rusia dan juga
pelaburan dalam pembinaan lapangan terbang Pulkovo St. Petersburg oleh
Qatar, sedangkan Rusia berada dalam sekatan antarabangsa.
Punca
Krisis Qatar Didedahkan. Aset Qatar di Rusia kini berjumlah USD 2.5
bilion, suatu perkembangan yang pastinya tidak menyenangkan seteru
Moscow. Kebetulan, Rusia ialah penganjur Piala Dunia 2018 manakala
Qatar pula penganjur Piala Dunia 2022.
Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan