Home » , » Gabungan politik bentuk baharu

Gabungan politik bentuk baharu

Written By Wadah Baru on Isnin, 7 Ogos 2017 | 3:55 PTG

Oleh

MALAYSIA negara berbilang kaum dan agama. Tetapi, sejak pilihan raya umumnya (PRU) yang pertama, percaturan politiknya ialah tentang sokongan Melayu dan Bumiputera bukan-Melayu serta mediasi dan tolak-ansur dengan kaum-kaum lain.

Ini berlaku dalam suatu model perkongsian kuasa yang digelar consociationalism  yang ditentukan  elit politik etnik/kaum yang terlibat.

Ia berlaku atas prinsip setiap kaum/etnik mempunyai autonomi tertentu dan berhak veto perkara-perkara yang menggugat kebajikan anggotanya.

Ia memerlukan keseimbangan kuasa kerajaan yang ditentukan oleh pembahagian sosial yang jelas. Ini disifatkan oleh Lijphart sebagai “masyarakat yang dibahagi secara keras oleh garis-garis agama, ideologi, bahasa, budaya dan kaum/etnik lalu menjadi sebilangan sub-masyarakat yang terpisah antara satu dengan lain dengan parti-parti politik, kumpulan-kumpulan berkepentingan dan media/komunikasi masing-masing”. 

Consociationalism ialah konfigurasi politik yang diamalkan BN. Tetapi, keputusan PRU12 (2008) dan PRU13 (2013) membuktikan bahawa ia semakin tidak relevan dalam demokrasi terbuka dan bersaing. Kita mesti membangunkan model alternatif –  centripetalism yang pelbagai kaum dan moderat.
Halangan utama ialah amalan ‘politik ras’ yang, malangnya, semakin meningkat. Ia mesti dihentikan dan diganti dengan pemikiran politik pelbagai-kaum yang lebih baik.

Walaupun BN kelihatan seperti gabungan parti-parti politik pelbagai-kaum, tetapi, pada hakikatnya, semua parti komponennya adalah berasaskan atau didominasi sesuatu kaum/etnik. Struktur BN pula didominasi oleh  sebuah  parti (iaitu Umno) yang mewakili kaum tertentu (Melayu/Bumiputera).

Jawatan-jawatan utama BN: Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, dan Pengerusi Negeri (kecuali Sarawak) – semuanya dipegang pemimpin Umno.

Saingannya, Pakatan Harapan mencuba sedaya upaya menjadi rabun warna. Strukturnya tidak menjadikan mana-mana parti sebagai dominan.

Centripetalism ialah pendekatan dan alternatif yang lebih baik untuk demokrasi masyarakat majmuk Malaysia.

Ia mengundang parti-parti politik ke arah dasar-dasar yang moderat dan inklusif dan tiba di ‘pertengahan’ yang mendamaikan situasi politik yang berpecah-belah. Ia mementingkan institusi-institusi yang menggalakkan integrasi yang melewati perpecahan politik berasaskan kaum.

Ia  depolitise kaum. Ia menggalakkan perlakuan politik rentas-kaum, contohnya, dengan parti-parti politik dan sistem pilihan raya yang menggalakkan sokongan daripada pelbagai kaum.

Menurut Reily, centripetalism ialah “sistem politik atau strategi yang memfokus untuk perlumbaan menuju pertengahan yang moderat dan bukannya ekstrem”. Ia terdiri daripada tiga komponen fasilitasi:

1) Insentif pilihan raya kepada calon-calon yang berkempen mendapatkan undi daripada pelbagai kaum dan tidak terhad kepada kaumnya sahaja, yang menyebabkan kempennya moderat dan meluas cakupannya.

2) Wujud arena perundingan, contohnya mesyuarat-mesyuarat/forum-forum, yang menemukan ahli-ahli politik daripada pelbagai latar belakang yang membuat persetujuan-persetujuan yang menguntungkan semua kaum.

3) Pembangunan parti-parti politik atau gabungan parti-parti politik yang bersifat pertengahan dan berbilang-kaum yang mampu menarik sokongan rentas-kaum dan mempunyai dasar-dasar yang komprehensif untuk semua kaum.

Dasar-dasar dan program-program centrapetalist lazimnya amat bertentangan dengan yang datang daripada consociationalist. Contohnya, centripetalist kurang fokus kepada soal perwakilan yang saksama dari segi kaum dalam mengisi jawatan, menjadi calon pilihan raya dan sebagainya. Sebaliknya, fokusnya ialah menggubal dasar-dasar dan program-program yang benar-benar adil dan saksama buat semua kaum.

Satu lagi halangan ialah sistem pilihan raya kita yang semakin berasaskan kaum. Dalam persempadanan semula yang sedang dijalankan Suruhan Pilihan Raya (SPR), jumlah  kawasan yang mempunyai pengundi pelbagai kaum yang seimbang semakin mengecil.

Sebaliknya, jumlah kawasan yang mempunyai pengundi didominasi sesuatu kaum semakin besar.
Hari ini, Pakatan Harapan mungkin belum sepenuhnya menjadi centripetalist. Tetapi, matlamatnya jelas. Bahawa Pakatan Harapan  tidak menggunakan cara consociational.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger