Oleh Hasmi Hashim
Tak ramai yang mahu menebang hutan. Terpaksa berdepan dengan binatang
buas, mungkin disengat ular, kala jengking atau tebuan. Di sana juga
ada duri-duri berbisa selain hantu jembalang yang khabarnya berpuaka.
Begitulah ibaratnya ketika idea ketua menteri Melayu pertama Pulau
Pinang julung kali saya lontarkan. Umpama menebang hutan—terutama ketika
belum pernah dalam sejarah Malaysia mempunyai ketua menteri Melayu di
Pulau Mutiara.
Pembenci akan terus membenci dan yang otaknya negatif kekal keras kepala.
Samalah halnya ketika gesaan menukar menteri besar Selangor selepas
PRU ke-13 lalu. Ramai yang melatah dan mengamuk seperti orang dirasuk
saka.
Konon kalau MB Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, kerajaan Pakatan
Rakyat di Selangor akan tumbang. BN akan mengambil alih. Paling tidak
setahun setengah selepas PRU diperlukan untuk akhirnya idea itu berjaya.
Selepas Khalid diganti, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor berjalan elok. Rizab negeri tak berkurang sesen pun.
Saya menyebutkan nama presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail
sebagai calon ketua menteri Melayu Pulau Pinang dalam forum di pejabat Malaysiakini
Jumaat lepas sebagai reaksi balas kepada cadangan seorang lain panel,
Khalid Samad. Beliau sebelumnya ditanya siapakah calon terbaik AMANAH
dan diberikan nama Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Sebagai ahli panel saya juga punya cadangan. Bagi berlaku adil, saya
tak menamakan hanya Dr Wan Azizah. Terlebih dahulu saya sebutkan
pimpinan dari DAP iaitu Datuk Zaid Ibrahim, dan dari AMANAH iaitu
presidennya, Mohamad Sabu. Juga berlegar nama-nama lain seperti ahli
parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan mantan ahli parlimen
Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.
Nama Zaid daripada DAP saya tegaskan dengan keyakinan beliau bukan
sahaja boleh diterima oleh Melayu Pulau Pinang, tetapi juga kaum Cina,
India dan lain-lain. Beliau seorang pemimpin yang terbuka, selalu
rasional dan punya pengalaman sebagai menteri di era PM Tun Abdullah
Ahmad Badawi.
Tidak ada alasan kenegerian Zaid tak boleh diangkat, kerana ketua
menteri sekarang pun bukan anak jati Pulau Pinang. Pelantikan Zaid akan
sangat menguntungkan DAP.
Begitu juga dengan nama Mohamad, atau mesra dipanggil “Abang Mat”.
Umum tahu hubungan baik antara Abang Mat dengan Lim Guan Eng menjadikan
Abang Mat ada kelebihan berbanding calon lain. Saya amat yakin
wakil-wakil DAP tidak akan menolak Abang Mat. Dalam sekian banyak isu,
Abang Mat mempertahankan DAP mati-matian.
Memang saya tak begitu pasti apa alasan sebenar Khalid menamakan Dr
Mujahid. Mungkin kerana Dr Muhajid anak jati Pulau Pinang. Mungkin juga
kerana Dr Muhajid merupakan pengerusi AMANAH negeri atau
berkeperibadiannya yang berhemah sebagai antara pemikir utama di dalam
AMANAH.
NGO perempuan sangat teruja
Sama ada Abang Mat atau Dr Muhajid, keduanya datang dari parti yang mendukung perjuangan Islam sebagai “rahmatan lil-alamin” yang sangat cocok dengan keperluan politik Pulau Pinang.
Antara semua calon itu, yang berlegar dalam kepala saya sebagai
anggota PKR yang taat tidak lain adalah presiden PKR, Dr Wan Azizah.
Beliau pun anak Pulau Pinang.
Tidak sesiapa boleh menafikan keperibadian Dr Wan Azizah yang mudah
mesra menyebabkan pengundi bukan Melayu pun cukup senang apabila bersama
beliau.
Memperlekeh Dr Wan Azizah kononnya hanya tahu memegang kipas, lembik dan
tak tahu berhujah adalah penghinaan terhadap wanita dan semua anggota
PKR. Beliau wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan sebagai
pentadbir dalam kerajaan.
Saya juga diberitahu bahawa NGO perempuan jadi sangat teruja dengan
cadangan nama Dr Wan Azizah. Keperluan memenangi hati pengundi wanita
adalah sangat penting sebagai faktor kemenangan Pakatan Harapan.
Nama Dr Wan Azizah dikemukakan tanpa sedikit pun niat mahu
melaga-lagakan beliau dengan Guan Eng. Bukan juga kerana Guan Eng tak
cukup baik berbanding ketua-ketua menteri di era BN. Gesaan ini tidak
lain dibuat dengan asas Guan Eng sudah dua penggal memegang tampuk
pemerintahan negeri.
Beliau secara moral wajar menghormati hasrat dan manifesto Pakatan
Harapan untuk mengehadkan jawatan tertinggi seperti PM, menteri besar
dan ketua menteri kepada dua penggal.
Maka, jawatan ketua menteri Pulau Pinang seakan-akan sudah pun
‘kosong’. Guan Eng hanya menunggu waktu tamat tempoh apabila dewan
undangan negeri dibubarkan. Atas kesedaran dan keperluan ini maka sangat
mustahak kalau calon penggantinya dibincangkan sekarang. Jadi mudahlah
kempen dalam PRU nanti.
Dalam PRU lalu, ramai ADUN Pakatan Harapan di Pulau Pinang menang dengan majoriti besar. Ada yang menjangkau berbelas ribu.
Ketakutan konon pengundi bukan Melayu akan berbalik mengundi BN
disebabkan faktor ini adalah tak berasas. Kalau ada peratusan yang
berlaku, takkan menjejaskan keseluruhan undi kepada calon Pakatan
Harapan yang akan ditampung lebih besar dengan undi Melayu yang beralih
dari Umno-BN kepada Pakatan Harapan. Keadaan juga mendesak apabila
kemungkinan pertembungan tiga penjuru dengan PAS.
PAS dan Umno pun tak berani melontarkan gesaan ini. Undi Melayu kepada mereka akan terhad.
Kesilapan “Langkah Kajang” jangan diulang apabila mahu menggantikan
ketua negeri hanya selepas PRU; selepas MB mengambil jawatan. Kalau
seseorang itu sudah mengangkat sumpah, susahlah hendak turun dengan
rela. Keadaan lebih buruk kalau rakyat diseret untuk menyelesaikannya.
Kalaulah mulut saya masin
Kalaulah mulut saya masin dan pintu langit terbuka dengan terciptanya
sejarah seorang ketua menteri Melayu—apatah lagi seorang wanita—pertama
Pulau Pinang, parti yang berasaskan kaum seperti Umno dan PAS bakal
dilihat tidak lagi relevan. Lebih-lebih lagi di mata orang Melayu di
Pulau Pinang dan di seluruh negara.
Fikirlah sebelum melatah. Kelak seraya hutan dapat ditebang sehingga
menjadi dusun dan tanah lapang, di waktu itu berduyun yang akan muncul.
Di atasnya kelak mahu membuat rumah dan menuai hasilnya bersama.
Kekallah di Pulau Pinang warga berbilang bangsa hidup rukun dan
damai. Tanpa perlu lagi benci serta prasangka antara kaum dan agama.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Calon-calon ketua menteri Melayu Pulau Pinang
Written By Wadah Baru on Selasa, 10 Oktober 2017 | 1:45 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan