Home » , » Beri pertimbangan Anwar dirawat di luar penjara, pinta ahli keluarga

Beri pertimbangan Anwar dirawat di luar penjara, pinta ahli keluarga

Written By Wadah Baru on Sabtu, 18 November 2017 | 3:40 PTG

Keluarga Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas ziarah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

“Perdana Menteri dan isteri telah menziarahi ayah kami yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan kerajaan Malaysia,” kata Muhamad Ihsan Anwar dalam satu kenyataan semalam.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan mendapat kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan, selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau.

“Bagi pihak keluarga, izinkan saya melahirkan sepenuh penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara atas rawatan dan pemulihan buat ayahanda kami,” kata beliau.

Beliau berharap budi bicara yang ditunjukkan setakat ini turut dipanjangkan kepada permohonan untuk membenarkan Anwar mendapat rawatan di kemudahan perubatan luar penjara untuk tempoh selama yang mungkin.

Bekas Ketua Pembangkang itu menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan di bahu kanannya berikutan kemalangan pada September lalu.

Pada September lalu, kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Ketua Umum Pakatan Harapan itu terlibat kemalangan jalan raya.

Kemalangan berlaku di persimpangan trafik berdekatan Saujana Utama, Sungai Buloh ketika dalam perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh selepas diwadkan selama empat hari.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger