Home » , » HARAPAN janji tangkap MO1 dalam tempoh 100 hari

HARAPAN janji tangkap MO1 dalam tempoh 100 hari

Written By Wadah Baru on Rabu, 1 November 2017 | 9:14 PG

Pakatan Harapan (HARAPAN) sekali lagi berjanji akan menangkap "Malaysian Official 1" (MO1) dalam masa seratus hari mentadbir negara, jika menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan itu selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sepuluh negara paling bersih di dunia menjelang 2030 - satu lagi janji HARAPAN jika menjadi kerajaan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melapor terus kepada perdana menteri. Mereka hanya berani tangkap 'ikan bilis'. 'Ikan jerung' seperti MO1 masih bebas.

“HARAPAN berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan.

"Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara sepuluh negara paling bersih mengikut indeks persepsi rasuah Transparency International menjelang tahun 2030," katanya pada sidang media di pejabat pembangkang di Parlimen, hari ini.

MO1 mula disebut dalam saman sivil  Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tahun lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah Najib.

Saman itu bertujuan menyita aset di negara itu yang didakwa diperolehi melalui penyelewengan dana 1MDB.

Najib sebelum ini menafikan terlibat menyelewengkan dana 1MDB, dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Sementara itu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata HARAPAN berjanji akan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RC) bagi menyiasat penyelewengan 1MDB, serta sebuah badan khas untuk mengambalikan semula aset yang terlibat.

Semua komitmen yang dinyatakan ini terkandung dalam lima langkah antirasuah yang dibacakan Mahathir ketika himpunan antikleptokrasi 14 Oktober lalu.

Langkah lain adalah menghapuskan amalan runding terus bagi kontrak kerajaan dan menjadikan SPRM badan bebas di bawah Parlimen.

Pada sidang media itu, Mahathir turut berkata kerajaan di bawah HARAPAN akan meminda beberapa akta bagi meningkatkan ketelusan kerajaan, iaitu Akta Perlindungan Saksi 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger