Home » , » Siasatan SPRM bermotif politik, kata Shafie

Siasatan SPRM bermotif politik, kata Shafie

Written By Wadah Baru on Rabu, 1 November 2017 | 9:19 PG

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya bermotifkan politik dan berharap mereka tidak akan membuat sebarang penilaian awal.

“Saya merasakan ia bermotifkan politik,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Parlimen, hari ini.
“Mereka (SPRM) hanya jalankan tugas dan saya tidak akan membuat sebarang rungutan. Ia harus dijalankan dengan adil, apa yang penting jangan membuat sebarang penilaian terlalu awal.”

Ketibaan ahli Parlimen Semporna itu di Parlimen disambut Timbalan Presiden Warisan, Darrel Leiking, yang juga ahli Parlimen Penampang.

Shafie direman SPRM selama 8 hari bagi membantu siasatan membabitkan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Beliau dibebaskan daripada tahanan reman Jumaat lalu.

Selain Shafie, turut ditahan adalah 2 adiknya, Hamid dan Datuk Yusof yang juga adun Lahad Datu daripada Umno.

Pada 25 Oktober lalu, Yusof dilapor menafikan beliau merupakan mangsa permainan politik pemerintah, sebaliknya pembangkang membuat dakwaan itu untuk memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga berikrar akan terus setia kepada Umno dan memastikan parti itu terus menjadi pilihan rakyat.

Kira-kira 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah diterajui Shafie dilaporkan dipantau SPRM atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan.

Dana RM1.5 bilion itu dikatakan sebahagian daripada RM7.5 bilion untuk pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.

Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan itu bermula. Sebanyak 72 syarikat di Sabah juga dilaporkan disiasat SPRM.

Kira-kira RM170 juta aset dan wang dalam akaun bank milik beberapa syarikat yang terbabit dalam projek itu dilapor dibekukan SPRM.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger