Home » » Ole -Ole Dari Program Pakatan Harapan Serta Amanah Di Alor Setar

Ole -Ole Dari Program Pakatan Harapan Serta Amanah Di Alor Setar

Written By Wadah Baru on Rabu, 1 November 2017 | 9:22 PG

Oleh HAYAR HASSAN
Bermusafir di hujung minggu lepas di Alor Setar(20.10.2017 – 22.10.2017), Kedah Darul Aman sambil meninjau-ninjau program Pakatan Harapan(PH) dan Konvensyen Ke 2 Parti Amanah Nasional(AMANAH) rupanya tidak mengecewakan. Malahan ianya menjelmakan tradisi-tradisi baru kepada gerak kerja PH .
Suasana kemesraan, santai dan bersahaja tetap akan menjadi suatu kenangan bagi pendukung dan penyokong-penyokong PH. Rata-rata aktivis dan penyokong-penyokong PH, terutamanya ahli-ahli Amanah yang ditemui sentiasa mempamerkan senyuman mesra penuh makna dan bersemangat menceritakan kisah-kisah dan pengalaman mereka di kawasan masing-masing. Yang menariknya hampir semua sepakat bahawa keputusan PRU ke 14 nanti adalah suatu yang cukup didambakan oleh semua rakyat.
Jamuan Rakyat yang bermula pada sebelah petang 20.10.2017 umpama majlis khenduri tradisi masyarakat Melayu tanpa tahlil dan marhaban. Nasi putih berlaukkan gulai daging, ayam masak merah , ulam timun beserta sambal belacan dan sedikit ikan kering cukup enak dan menyelerakan.
 Apatah lagi jamuan kami itu turut juga disertai oleh Yang Berbahagia Tun Dr  Mahathir Mohamad . Turut Kelihatan Ustaz Ahmad Awang, Tuan Haji Mohamad Sabu dan lain-lain pimpinan tertinggi PH. Difahamkan ahli-ahli Amanah dari Kedah Darul Aman dan Pulau Pinang bergotong royong memasak dan menyediakan Jamuan Rakyat ini. Menjelang maghrib diberitakan semua juadah lauk pauk sudah habis!
Program sebelah petangnya juga dimeriahkan  dengan kehadiran ahli-ahli Kelab Motor berkuasa besar ,Permainan Sepak Raga Bulatan/Sepakraga Tuju, Konvoi Anak Muda, Konvoi Bikes Meet, Buskers, Qasidah, Celoteh bersama golongan Orang Kurang Upaya, pertunjukan Silat Tari, Pertandingan melukis/mewarna , Pimpinan PH beramah Mesra dengan tetamu serta rakyat, Perlancaran Team Perubatan PH oleh YB Dato Seri Mukhriz Mahathir dan pertunjukkan drone. Semuanya dalam suasana santai, mesra dan penuh bersahaja, jauh sekali daripada suasana tegang dan hiruk pikuk yang berlebihan  tanpa kawalan.
Seusai solat Isyak sekitar jam 9.00 malam, program diteruskan dengan Rapat Umum “Selamatkan Malaysia” di Dataran Stargate Alor Setar. Seperti yang diharapkan ianya berjaya menarik ribuan orang ramai . Tua muda, pria atau wanita dari pelbagai bangsa turut memenuhi tempat duduk yang disediakan. Alhamdulillah,  cuaca amat baik dan terhindar daripa hujan dan ribut petir.
Selain daripada ucapan penuh semangat dan bernas daripada Tuan Haji Mohamad Sabu, YB Tan Sri Muhyiddin Yasin , YB Pn Nurul Izzah Anwar Ibrahim, YAB Tuan Lim Guan Eng dan Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, turut diselitkan adalah acara Nyanyian Lagu Jalur Gemilang, Anak -_Anak Malaysia bersama Pimpinan utama PH.
Saya cukup terharu dan hiba sekali apabila melihatkan semua hadirin bangun dari tempat duduk dan turut bersama-sama menyanyikan lagu keramat Jalur Gemilang itu dengan penuh bersemangat,  bersuara lantang sambil mengebarkan bendera Jalur Gemilang. Secara kebetulan di barisan hadapan tempat duduk saya kelihatan lebih kurang 20 orang warga emas berbangsa Cina penuh bersemangat mengebarkan bendera Malaysia sambil ikut bernyanyi. Terkedu seketika saya dibuatnya melihat aksi mereka, suatu yang diluar jangkaan saya. Rupanya warga emas itu cukup prihatin akan masa depan anak cucu mereka !
Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana menyelitkan slot nyanyian lagu Jalur Gemilang itu. Senikata dan rentak lagunya yang penuh bersemangat cukup memukaukan  semua hadirin. Mood kita untuk berubah jelas sekali terbayang. Apatah lagi sebelum itu hadirin semua telah dihidangkan dengan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara, Dato’ Seri Bapak Abdul Samad Said.
Kalau dahulu, semasa menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya ,Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyanyikan lagu Jalur Gemilang itu di atas pentas utama VVIP di Dataran Merdeka Kuala Lumpur semasa menyambut Hari Kemerdekaan, kini ianya hanya di atas pentas PH di Dataran Stargate Alor Setar Kedah Darul Aman. Namun bagi saya ianya lebih bermakna kerana perjuangan Menyelamatkan Malaysia Daripada Kleptokrasi adalah lebih mendesak dan tiada pilihan lain lagi.
Keesokannya, tanggal 21 Oktober 2017, Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Ke 2 berlangsung di Hotel Royale Signature, Alor Setar Kedah Darul Aman dengan penuh warna warni. Tema konvensyen kali ini adalah “Menjunjung Amanah Rakyat”.
Kalau diamati Konvensyen Ke 2 ini menyajikan sedikit kelainan dari kebiasaan aturcara Mesyuarat Agung peringkat nasional bagi parti-parti di Malaysia . Lazimnya hanya pemimpin-pemimpin dari parti tuan rumah sahaja diberikan peluang untuk berucap. Namun demikian, Konvensyen Ke 2 Parti Amanah Nasional Malaysia (AMANAH) kali ini tetap memberi ruang kepada Presiden dan Pengerusi PH memberikan ucapan. Itulah uniknya PH, PH tetap mahu meneroka dan menjauhkan diri daripada kebiasaan dan amalan biasa saingan mereka, BN. Kita memang dituntut untuk berubah kepada yang lebih baik lagi.
Ini mungkin sebagai isyarat dan bukti  betapa parti Amanah tetap menghormati dan menghargai kesepakatan PH yang dilihat cukup mantap dan kental pada waktu ini. Dalam hal ini saya cukup bersetuju dengan saranan perwakilan daripada Kedah , Ustaz Ridhwan Abu Bakar bahawa AMANAH perlu berperanan sebagai penyatu (gam) kepada PH. Daripada 4 buah parti yang bergabung dalam PH, kedudukan AMANAH seolah-olah berada ditengah-tengah. Ianya perlu berperanan sebagai pendamai seandainya ianya diperlukan, bukan sebagai pencetus perbalahan dan perseteruan. Itulah imej Islam Rahmatan Lil Alamin yang perlu diamalkan oleh pimpinan dan ahli AMANAH !
Akhirnya saya cukup optimis akan gerak kerja dan komitmen Parti AMANAH dan PH dalam menyertai PRU ke 14 akan datang. Apabila Dato Seri Anwar Ibrahim terpenjara di Penjara Sungai Buloh, penyokong dan pendukung pembangkang bagaikan hilang harapan dan tuju arah untuk terus merancakkan perjuangan politik mengalahkan BN. Buat seketika kita bertanya sesama sendiri, apa kesudahanya perjuangan kita ini. Kita kehilangan pemimpin utama Pakatan Rakyat(PR) !.
Namun demikian, siapa dapat  menduga perancangan Allah SWT. Dalam keriuhan skandal IMDB dan kemuraman ekonomi Malaysia, akhirnya tokoh Negarawan Terulung Negara, Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia selama lebih 22 tahun turut bersama-sama kita untuk mengepalai gerakan “Selamatkan Malaysia Daripada Kleptokrasi”. Kesedian Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad bergerak keseluruh Negara memberikan ceramah dan terus menulis dalam blognya chedet.cc  adalah pemangkin kepada semua aktivis PH. Kita perlu terus berusaha untuk melakukan perubahan !
Sekian, Terima Kasih.
HAYAR HASSAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger