Home » » Surat Prof Dr Syaikh Yusuf Al Qaradhawi Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia

Surat Prof Dr Syaikh Yusuf Al Qaradhawi Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 Ogos 2015 | 2:50 PTG


الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه
،
(وبعد)

Segala puji dan puja untuk Allah. Selawat dan salam untuk junjungan kita Rasulullah , para sahabt baginda dan setiap orang yang menurut hidayah dan bimbingan beliau.


Malaysia merupakan sebuah negara yang dekat di hati saya dan sangat sayang dan sanjung. Banyak pengalaman manis yang saya lalui di sini, ramai kenalan rapat , tempat tempat yang membawa seribu satu kenangan. Ramai sahabat karib yang masih tersimpan nama nama mereka di hati saya. Saya memang kerap berkunjung menziarahinya . Hati saya sentiasa terdetik dan terpanggil apabila nama Malaysia disebut. Lebih lebih lagi bila melihat Malaysia terus berkembang pesat dan maju dalam berbagai lapangan hidup.

saya juga sentiasa berdoa kepada Allah agar rakyat , kerajaan dan pemerintah Malaysia terus berkembang, makmur , maju , berpadu dan rakyatnya hidup dalam persaudaraan. Pada ketika Malaysia dilihat maju dengan pesat dalam bidang pendidikan, ekonomi sosial dan teknologi saya juga ingin melihat Malaysia maju dalam bidang politik. Saya juga mengharapkan agar Kerajaan Malaysia tidak menyikapi pembangkang sepertimana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan di negara dunia ketiga yang lain. Ini kerana pembangkang atau oposisi merupakan sebahagian entiti penting dalam negara demokrasi. Pembangkang atau oposisi merupakan anak kunci keselamatan bagi perpaduan dan kesetabilan negara. Mereka menjadi kuasa pengimbang dan penghalang ke arah terjebaknya para pemuda mengikut pemikiran yang merusak dan aliran ekstrimisme.

Ungkapan dan lembaran ini saya catatkan sejajar dengan kegetiran dan kesusahan hidup yang dilalui kini oleh sahabat dan saudara saya sdr. Anwar Ibrahim . Beliau sebelum ini telah memainkan peranan utama, melakar unjuran perkembangan negara serta meningkatkan pencapaian negara Malaysia ke aras yang paling tinggi, sehingga negara dan masyarakat Malaysia ikut mengecapi hasil khidmat bakti beliau.

Dalam masa yang sama saya sendiri - sepertimana orang lain - mengikuti pertuduhan anih yang dilemparkan terhadap Yang Berhurmat saudara Anwar Ibrahim . Pertuduhan yang sangat janggal berbanding umur, akhlak baik, amalan agama, sejarah hidup mahupun mertabat dan kedudukan sosial beliau . Malah segala bukti sampingan dan situasi yang melatari pertuduhan itu menimbulkan seribu tanda tanya.

Beliau sebelum ini telah pernah dibebaskan dari pertuduhan kejahatan berkenaan oleh satu penghakiman yang sempurna kemudian setelah semuanya selesai dan reda untuk beberapa tahun beliau dihukum lagi dengan pertuduhan yang sama; walhal bahan buktikan entah kemana. Semua ini menimbulkan tanda tanya.

Saya mengenaili Sdr Anwar sejak umur belia lagi; sebagai seorang pemuda yang menentang regim lama sewaktu beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia. Kemudian beliau dipenjarakan kerana suatu demontrasi yang beliau terajui . Selepas keluar dari tahanan beliau kemudiannya mendampingi pimpinan UMNO dan menjadi ahli parti tersebut dan seterusnya beliau diangkat menjadi menteri dibeberapa buah Kementerian. Akhirnya beliau menjadi orang nombor dua dalam parti berkenaan dan juga dalam kerajaan.

Semasa dalam kerajaan beliau telah mengundang saya beberapa kali berkunjung ke Malaysia untuk mendekatkan hubungan yang menjarak antara parti UMNO dan PAS, ketika itu saya sendiri menyokong hasrat berkenaan, iaitu untuk meujudkan perpaduan, kekuatan politik dan kestabilan hidup di Malaysia.

Saya malah ikut membantu beliau membangun Universiti Islam Antara Bangsa yang menggunakan pendekatan dan konsep kesepaduan antara ilmu wahyu, ilmu sains dan kemanusiaan. Saya mengenali beliau sebagai seorang tokoh yang menyerlah dan tersohor . Beliau dikenali ; bukan sahaja di Malaysia, di dunia Arab ,malah beliau terkenal di Dunia Barat. Beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keewangan. Boleh dikatakan beliau adalah antara pemimpin baru yang menonjol dan bertanggongjawab memaju dan membangun negara Malaysia. Pada satu ketika dahulu beliau pernah diramal sebagai bakal pengganti Perdana Menteri Malaysia Untuk Era Baru .

Malangnya ramalan itu tidak kesampaian kerana sipak terajang dan muslihat politik ketika itu.
Saya yakin beliau adalah seorang muslim yang jujur, beriman , beristiqamah , menunaikan kewajiban agama, menghindari dosa-dosa besar dan perkara yang diharamkan oleh Allah. Beliau berbuat untuk kemulian agama , mengharumkan nama negara dan berbakti untuk anak bangsa dan umat Islam.

Allah penentu segala-galanya Maha Tahu. Saya tidaklah mahu mendahului Allah mengenai hakikat sebenar tentang siapa beliau.

Tapi kini, kita lihat satu satunya ahli politik yang yang dikait dan dipalitkan dengan isu isu moral yang mengaibkan; dengan bahan bukti yang amat meragukan. Beliau dihukum dengan tahanan penjara berkali-kali . Kalau lah tidak kerana keraguan saya terhadap pertuduhan itu tentu saya tidak akan menulis menyentuh perkara ini.

Saya memang boleh berdiam diri dan membiarkan beliau merengkuk dalam penjara. Tapi kesetiaan saya dengan beliau sebagai seorang sahabat, disamping keyakinan saya tentang pendirian beliau yang baik dan niat baik saya terhadap rakyat dan kerajaan Malaysia, semua itu menghalang saya untuk bersikap mendiamkan diri melihat ketidakwajaran tindakan terhadap beliau.

Selaras dengan kesedaran di atas, saya menyeru dan merayu kepada Tuan Yang Dipertuan Agong Sultan Abdul Halim Muazzam Shah, kepada Perdana Menteri Malaysia Tun Najib Bin Abdul Razak agar mengampun dan memaafkan saudara Anwar Ibrahim. Lebih-lebih lagi kes ini bukan kes yang dibangkitkan dalam era pemerintahan beliau. Tun Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri yang saya selalu berutus surat dan pernah saya ziarahi dan bertemu dengan beliau. Saya yakin dengan izin Allah beliau akan respon dan menyambut baik terhadap permohonan saya ini.

Saya menyeru kepada beliau agar menamatkan unsur kezaliman dalam kes ini yang telah menjejaskan imej dan nama baik Malaysia serta para pemimpinnya.

Demi Allah saya sangat prihatin dan berhasrat sungguh untuk menyatupadukan rakyat Malaysia , bahkan seluruh umat Islam amnya. Allah berfirman:

وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ

Bahawa umat ini adalah umat yang satu dan Aku Tuhan kalian , sebab itu bertakwalah kepadaku,
( Al Mu'minun 50)

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Berpegang teguhlah dengan ajaran agama Allah dan jangan kalian berpecah belah. ( Ali Imran 103)


لَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Janganlah kalian bergaduh dan berbalah nanti kalian akan gagal dan lenyap keharuman nama baik kalian. Sebab itu bersabarlah, kerana Allah bersama orang yang tabah dan sabar. ( Al Anfal 46)
Ya Allah satukanlah para hambaMu atas dasar hidayah. Rapatkan hati-hati mereka untuk bertakwa kepadaMu. Mesrakan hubungan jiwa sesama mereka atas landasan kasih sayang. Padukan azam dan tekad mereka untuk berbuat kebaikan, kebajikan dan melakukan amalan yang terbaik . Amin Ya Rabbal Aalamin.

Yang Benar
Yusuf Al Qaradhawi
Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger