Oleh Khalid Samad
Apabila mendengar muqaddimah ucapan Ust Hadi dalam rakaman video Mukhayyam Tarbawi PAS Kawasan Machang
pada 3 September di Rusila, saya sebenarnyamerasa lega. Tersebut dalam
hati, mungkin telah kembali kebijaksanaan dan keikhlasan kepada pimpinan
bekas parti saya yang telah saya sertai sekian lama.
Malangnya hujungnya tidak sebijak atau seikhlas permulaannya.
Malang sekali apabila kebijaksanaan dan keikhlasan yang diceduk dari
kisah para sahabat hanya diceritakan tetapi tidak dicontohi. Dan apabila
sendiri berhadapan dengan suasana yang jauh TIDAK ‘se-mencabar’,
tidak pula dimanfaatkan kebijaksanaan yang diceritakan. Sepatutnya
kebijaksanaan dan keikhlasan yang ditunjukkan Saidina Ali (KW) dijadikan
pedoman dan panduan, bukan sekadar untuk diceritakan.
KISAH PERANG SAIDINA ALI DENGAN SAIDATINA AISYAH (RA) SERTA GOLONGAN KHAWARIJ
Ucapan Ust Hadi bermula dengan mengisahkan perang antara Saidatina
Aisyah (RA) dan Saidina Ali (KW), iaitu perang Jamal. Ianya peperangan
yang tercetus selepas sahaja Ali dilantik sebagai Khalifah ke-empat
setelah Saidina Uthman (RA) dibunuh. Maka di atas rasa kewajipan membela
Saidina Uthman, Aisyah telah mengepalai bala tentera yang terdiri dari
para sahabat, termasuk Talhah dan Az-Zubair. Akhirnya mereka bertempur
dengan tentera di bawah pimpinan Ali yang juga terdiri dari para
sahabat.
Dalam persoalan ini, di mana Aisyah mengangkat senjata menentang Ali
yang merupakan Khalifah yang sah, Ust Hadi tegaskan ianya hasil
kejahilan dan ketidak mampuan memahami keadaan politik dengan tepat oleh
pihak Aisyah. Ianya perbezaan pandangan dan pendekatan dan oleh itu,
mereka tetap rakan dan saudara seislam dan Aisyah serta Talhah dan
Zubair adalah tetap ahli Syurga.
Ust Hadi meneruskan lagi dengan menjelaskan bahawa begitu juga dengan
pihak Khawarij. Pihak Khawarij ini adalah golongan yang mengkafirkan
Saidina Ali dan mencaci dan memaki-hamun Saidina Ali secara terbuka di
khalayak ramai. Mereka pernah mengugut untuk membunuh Ali. Namun apabila
Ali ditanya oleh para sahabat “siapa mereka ini?”, Ust Hadi menjelaskan
bahawa Ali menjawab, “mereka adalah saudara kita, kalau mereka hadap
kita, kita lawan, mereka lari kita biarkan mereka lari, jangan kejar,
buat tak tahu”. Golongan Khawarij ini terdiri dari golongan muda, kuat
beribadat, semangat tinggi tetapi semangat mereka mengatasi ilmu mereka.
MENGAMBIL PENGAJARAN DARI KISAH SAIDINA ALI (KW)
Semasa peristiwa ini berlaku, Saidina Ali (KW) merupakan Khalifah yang
sah, Amirul-mukminin. Namun apabila ditentang sehingga ke peringkat
diangkat senjata sekalipun, beliau tetap bertindak secara bijaksana,
adil dan penuh keikhlasan.
Saidina Ali tidak mengkafirkan golongan yang menentangnya
sewenang-wenangnya sambil menuduh mereka sebagai “terkeluar dari jemaah
Muslimin” atau menghalalkan darah mereka. Beliau juga tidak menuduh dan
memfitnah mereka dengan tuduhan liar seperti “ingin meruntuhkan binaan
Islam”, “gadai prinsip Islam” dan “gila jawatan” atau pun yang
sebagainya. Sebaliknya beliau menyatakan keadaan sebenar, secara adil
dan ikhlas tanpa berusaha memburukkan keadaan dengan fitnah dan tohmahan
demi kepentingan dirinya.
Saidina Ali mengakui dan memahami, kesemua itu berlaku dalam keadaan
masing-masing inginkan keadilan dan kebenaran, berniat baik walaupun ada
yang jahil dan tersilap pendekatan. Beliau berusaha mendamaikan dan di
mana pendamaian tidak mungkin, beliau tidak sama sekali mengeruhkan lagi
suasana dengan tuduhan liar terhadap pihak yang satu lagi walaupun
mereka angkat senjata menentangnya!
Di atas sifat adilnya Ali, maka perperangan dengan Aisyah (RA) berakhir
dengan baik dan Aisyah sendiri mengakui kesilapan beliau kemudiannya.
Adakah itu mungkin sekiranya Saidina Ali bertindak secara
sewenang-wenangnya terhadap Aisyah dengan menuduhnya dengan tuduhan yang
direka-rekanya? Sudah pasti tidak.
Walaupun keadaan dengan golongan Khawarij tidak sempat Saidina Ali
selesaikan dengan sepenuhnya kerana beliau dibunuh, namun sejarah
menjadi saksi akan ketelusan dan kejujuran Ali dalam menangani
perbalahan ini. Seperti dengan kes Aisyah, Saidina Ali berkata benar
terhadap golongan Khawarij dan tidak mengkafirkan mereka
sewenang-wenangnya atau menuduh mereka dengan tuduhan yang direka-reka.
Dan sebenarnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin
yang bijak lagi adil dan ikhlas. Sejarah menjadi saksi akan keadilan dan
keikhlasan Ali walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan sangat
mencabar. Berlakunya peristiwa perang Jamal dan kemunculan Khawarij
supaya ianya menjadi pengajaran, contoh dan tauladan untuk diikuti,
bukan sekadar sebagai bahan cerita.
SUASANA SEKARANG DAN ILMU YANG TIDAK DIMANFAATKAN
Mari kita lihat pada keadaan perbalahan yang telah berlaku di dalam PAS
sehingga terhasilnya suasana sekarang. Cuba kita applikasikan pengajaran
dari peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Ali yang dijelaskan
sebentar tadi. Perlu ditanya, adakah jawatan Presiden sebuah jemaah
Islam, seperti PAS, boleh disamakan dengan jawatan Amirul Mukminin?
Adakah perbalahan yang berlaku dalam PAS tempoh hari dan antara Amanah
Negara dan PAS dewasa ini sehingga ke tahap menangkat senjata? Sudah
pasti jawapannya adalah ‘tidak’ untuk kedua-dua soalan tersebut.
Walaupun kedudukan dan hak dirinya untuk ditaati tidak seperti Saidina
Ali (KW) dan penentangan yang dihadapinya tidak sekeras penentangan yang
dihadapi Ali, namun respon Presiden PAS terhadap keadaan sekarang jauh
lebih keras berbanding respon dari Saidina Ali! Persoalannya adakah ini
wajar?
Di sisi Presiden PAS, tindakan kami seolah-olah lagi teruk dari tindakan
Aisyah dan Khawarij dan oleh itu kumpulan kami mengikut beliau mesti
“dihapuskan”. Boleh bertahalluf dengan lawan sekalipun tetapi tidak
dengan AMANAH yang digelar pengkhianat. Siapa yang dikhianati? Kalau
sekadar tidak mahu mengikut kepimpinannya atas sebab-sebab telah
bertukar wajah, adakah bererti kami sudah khianati Islam? Adakah
semestinya Islam itu hanya berlegar disekeliling PAS?
Dan demi membenarkan sikap beliau maka terpaksa direka tuduhan dan fitnah.
BERBOHONG UNTUK JUSTIFIKASI SIKAP
Untuk menjustifikasi sikap dan tindakan beliau terhadap kami yang tidak
lagi bersetuju dengan kaedah yang dipilih beliau, sehingga keluar dan
menyertai AMANAH, maka direka pula tuduhan yang langsung tidak masuk
akal. Antara yang disebut dalam video tersebut adalah:
1. “Ingin meresapkan Pakatan Rakyat dalam PAS sehingga PAS tiada lagi”
Sekiranya tuduhan itu benar, bahawa kami tidak ingin wujudnya parti
politik Islam secara tersendiri dan ingin ianya larut hilang dalam PR,
mengapa kami bersusah payah menubuhkan sebuah parti baharu yang
berasaskan Islam? Tidakkah lebih mudah kami masuk sahaja PKR atau DAP
dan dengan itu soal meresapkan parti Islam dalam PR sehingga hilangnya
identiti dan perjuangan parti Islam tersebut akan terus tercapai?
Hakikat bahawa kami berusaha mewujudkan parti Islam baru yang tersendiri
dengan identiti tersendiri adalah bukti bahawa tuduhan tersebut adalah
satu pembohongan yang jelas dan nyata.
2. “Peguam mereka ingin pinda perlembagaan sehingga hilang kuasa Al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas dalam PAS”
Ini malangnya satu lagi pembohongan yang jelas dan nyata. Budaya
membohong dan memfitnah merupakan budaya baru dalam PAS. Hakikat ianya
diteruskan adalah bukti bahawa tiada kekesalan terhadap wujudnya budaya
fitnah dan label-melabel oleh golongan asatizah muda dalam PAS. Malahan
ianya disambut dan dikembangkan pula oleh DS Presiden PAS sendiri.
Cubalah fikirkan, sekiranya benar tidak ingin Al-Quran, Sunnah, Ijma dan
Qiyas sebagai panduan, apa guna dinyatakan Islam adalah dasar
perjuangan parti Amanah Negara?
Sebenarnya pindaan perlembagaan yang diusahakan oleh golongan peguam adalah di atas arahan AJK PAS Pusat.
Sebuah JK ditubuh dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Asmuni Awi dan JK
ini belum lagi selesaikan tugasnya. Sekiranya selesai, cadangan pindaan
itu perlu dikemukakan ke AJK PAS Pusat terlebih dahulu untuk diluluskan.
Sekiranya diluluskan di peringkat AJK PAS Pusat maka perlu pula ianya
dikemukakan kepada Muktamar untuk kelulusan sebelum menjadi muktamad.
Oleh itu amat besarlah pembohongannya apabila dituduh golongan peguam
yang selama ini berkhidmat untuk kepentingan PAS, secara ikhlas dan
percuma, mempunyai niat jahat seperti itu. Lebih-lebih lagi apabila
mereka bertindak atas arahan AJK PAS Pusat yang juga termasuk Presiden
sendiri!
Saya akan tulis penjelasan berhubung tuduhan ini secara khusus dan lebih
terperinci di dalam artikel seterusnya, lengkap dengan cadangan pindaan
yang ingin dibawa.
3. “Mereka Nak Jadikan PAS Sekular”
Pembohongan bahawa kami ingin jadikan PAS sekular tidak perlukan
penjelasan panjang. Kalau kami inginkan sebuah parti secular maka kenapa
pula kami menyertai PAS? Kenapa pula disebut Islam sebagai dasar Parti
Amanah Negara? Tidakkah sekular itu bererti memisahkan agama dari
politik? Semesti orang yang sekular tidak akan bersama atau mewujudkan
parti politik Islam!
4. Perancangan Antarabangsa
Tidak cukup dengan pembohongan di atas, maka dijaja pula “Perancangan
Antarabangsa”. Yang kalua diulang dengan beberapa kali boleh kedengaran
semakin seakan-akan UMNO. Sama seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap
DSAI sebagai agen kuasa asing, kuasa antarabangsa! Atau alasan untuk
membela Najib yang kononnya ingin dijatuhkan hasil perancangan
antarabangsa!
Kalau ada ‘Perancangan Antarabangsa’ sekalipun maka ianya semestinya
inginkan supaya PAS kembali ke zaman 60an. Berseorangan, terpencil dan
kurang sokongan. Dan inilah yang sedang dilakukan secara sedar atau
tidak oleh pimpinan PAS sekarang. Pada masa yang sama PAS pula memainkan
peranan tradisi UMNO iaitu mewar-warkan ancaman kaum Cina dan bahayanya
DAP, yang sudah pasti hanya menyebabkan Melayu terus bersama UMNO/BN!
Mungkin itulah sebenarnya perancangan antarabangsanya! Supaya UMNO/BN
kekal berkuasa dengan bantuan PAS.
Ya benar, DAP memang menyebut mereka lebih selesa berurusan dengan
kumpulan kami dan mereka mengharapkan kami kekal sebagai pimpinan PAS
dalam muktamar yang lepas. Itu adalah kerana mereka telah banyak
berurusan dengan kami dalam usaha membina kekuatan PR sejak 2008 dan
melalui BA sebelum dari itu. Pihak lain dalam PAS hanya menikmati hasil
usaha bersama ini sehingga menang 15 kerusi di Selangor dan sebagainya.
Mereka tidak pernah turun bertemu dan berbincang dengan pimpinan bukan
Islam seperti yang dari DAP. Oleh itu apabila pimpinan DAP melihat kami
diserang teruk sebelum muktamar, maka DAP khuatir wajah PAS akan berubah
dan kemenangan bersama yang diperolehi selama ini akan hancur berderai.
Tetapi apakah salah untuk mereka berpendirian begitu? Ia bukan
persoalan ingin menguasai PAS tetapi ingin PAS kekal atas pendekatan
yang sama.
Hakikatnya kekhuatiran mereka terbukti berasas. PAS sekarang tidak
seperti PAS dahulu dan kekuatan yang sekian lama dibina hancur berderai.
Adakah wajar usaha DAP untuk menyatakan sokongan mereka terhadap
golongan yang bersama membina PR tempoh hari diselar sebagai usaha
campur tangan kuasa asing dan perancangan antarabangsa? Apa bukti yang
dikemukakan untuk menyokong tuduhan ini? Adakah rakyat boleh yakin
dengan corak kepimpinan yang suka menuduh dan memfitnah tanpa asas dan
bukti? Sudah pasti rakyat tertanya-tanya, bolehkah kepimpinan sebegini
menjamin keadilan sekiranya diberikan kuasa?
KESIMPULAN
Pokoknya, PAS perlu contohi pendekatan Saidina Ali (KW) apabila
menangani suasana perbezaan pendapat dan pendekatan. Akui kebenaran yang
wujud pada pihak lain, walaupun sekiranya hanya dianggap sebahagian
sahaja yang benar dan kebenaran itu pula tidak begitu tepat. Fahami niat
dan tujuan mereka dan perakui kewajaran niat dan tujuan itu walaupun
tidak bersetuju dengan kaedah pendekatannya. Mkaa barulah akan terzahir
keadilan dan keikhlasan kepimpinan dalam Islam.
Tidak perlu memfitnah dan mereka-reka cerita serta menuduh tanpa bukti.
Untuk terus berbohong dan mereka-reka cerita serta melemparkan fitnah,
itu bukan kaedah pimpinan Islam. Itu, bagi pandangan saya yang bukan
ulama ini, mungkin boleh digambarkan seakan-akan kaedah pendekatan yang
selalu dimainkan oleh UMNO.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Ke Mana Hilangnya Kebijaksanaan dan Keikhlasan?
Written By Wadah Baru on Khamis, 1 Oktober 2015 | 2:29 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan