Kenaikan elaun Ahli Parlimen kepada RM16,000 sebulan sepatutnya diterjemahkan kepada peningkatan komitmen oleh Ahli Parlimen untuk meringankan penderitaan rakyat menghadapi beban ekonomi. Maka, semua Ahli Parlimen harus sedar bahawa rakyat kini masih terus tidak terbela akibat ditekan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan rakyat.
Terkini, pengumuman kenaikan harga petrol terutama RON95 sebanyak 10 sen mengejutkan rakyat memandangkan harga pasaran minyak mentah dunia masih rendah dan tidak banyak berubah pada bulan lepas. Janji kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa harga petrol akan ditetapkan mengikut harga pasaran dunia kini masih kabur.
Malah sehingga kini, kerajaan masih gagal bersikap telus untuk mendedahkan data pengiraan untuk penetapan harga petrol. Adakah peningkatan harga petrol ini disebabkan kejatuhan ringgit atau disebabkan agenda lain? Tanpa pendedahan tersebut, kerajaan BN bebas untuk memanipulasi proses penetapan harga petrol ini tanpa ada unsur semak-dan-imbang oleh rakyat. Kemana hilangnya penjimatan RM20 billion yang diwar-warkan kerajaan suatu ketika dahulu apabila sistem apungan terurus dilaksanakan. Adakah wang sebanyak itu digunakan bagi menyelamatkan 1MDB yang berhutang keliling pinggang? Selagi poket yang koyak tidak dijahit, selagi itulah wang yang masuk ke poket akan tercicir.
Keadaan ekonomi negara juga berada pada tahap yang membimbangkan, dan rakyat mula menjadi mangsa. Dividen bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang diumumkan semalam telah berkurang kepada 6.40 sen seunit berbanding 6.60 sen seunit tahun lepas.
Malah, prestasi pasaran ekuiti secara umumnya sangat terjejas pada tahun ini sehingga Indeks Komposit Kuala Lumpur telah mencecah paras 1532, iaitu penurunan sebanyak 17% dalam tempoh kurang daripada enam bulan yang mana sehingga kini trend penurunan ini masih belum ada tanda-tanda akan berakhir.
Beberapa bulan kebelakangan ini negara telah dikejutkan dengan kejatuhan nilai ringgit yang terburuk sejak penamatan tambatan ringgit kepada USD pada tahun 2005 yang mana nilai ringgit telah mencecah RM4.46 berbanding USD, paras terendah sejak tahun 1998. Asas ekonomi negara yang tetap kukuh sepertimana yang selalu disebutkan oleh Gabenor Bank Negara, menguatkan lagi analisa bahawa kejatuhan yang signifikan berbanding mata wang lain adalah berpunca daripada defisit keyakinan terhadap integriti negara disebabkan oleh skandal 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat 1MDB.
Kemasukan RM2.67 billion ke akaun peribadi PM tanpa justifikasi yang rasional dan sah mengeruhkan lagi sentimen ini yang melibatkan ketidaktelusan urustadbir negara. Situasi yang meruncing ini diparahkan lagi dengan tindakan yang diambil terhadap pegawai dan institusi demokrasi negara yang menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan Dato' Sri Najib.
Defisit keyakinan terhadap kepimpinan negara semakin jelas apabila Tan Sri Zeti selaku Gabenor Bank Negara dengan tegas mengatakan bahawa skandal 1MDB perlu diselesaikan segera bagi memulihkan nilai ringgit. Namun, tindakan penukaran Peguam Negara yang diambil PM menunjukkan tiada tanda-tanda pendakwaan yang akan dibuat berkaitan isu 1MDB dalam masa terdekat walaupun kertas siasatan telah pun dihantar beberapa bulan yang lalu kepada Peguam Negara.
Maka, Pemuda AMANAH Nasional percaya bahawa tindakan drastik perlu diambil bagi menyelamatkan negara dengan menurunkan Najib Razak sebagai PM. Sudah pasti pilihan tunggal yang ada sekarang adalah 'undi tidak percaya' terhadap PM oleh Ahli-ahli Parlimen. Tindakan ini adalah tindakan yang demokratik yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Memandangkan elaun Ahli Parlimen sudahpun dinaikkan begitu banyak pada tahun ini, maka semakin besarlah harapan rakyat agar semua Ahli Parlimen dapat memahami denyut nadi rakyat ini. Ahli Parlimen tidak patut berasa takut untuk bertindak dengan tepat untuk menentang PM di dalam Parlimen.
Usahlah dilaungkan sentimen Melayu atau semangat Islam jika ada Ahli Parlimen yang takut untuk membebaskan rakyat daripada kezaliman dan ketidakadilan. Jika anda takut, anda juga tidak ubah seperti PM yang tidak pedulikan negara dan rakyat tetapi hanya pedulikan perut dan kantung sendiri.
Keringkanlah air mata derita rakyat ini dengan kenaikan elaun anda. Elaun anda adalah wang rakyat. Hargailah rakyat dan bukannya PM.
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Kenaikan Elaun Ahli Parlimen , Hargai Rakyat Atau Perdana Menteri ?
Written By Wadah Baru on Khamis, 1 Oktober 2015 | 2:14 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan