Home » , » Pemimpin Amanah Sarawak tegaskan Mat Sabu bukan penjenayah

Pemimpin Amanah Sarawak tegaskan Mat Sabu bukan penjenayah

Written By Wadah Baru on Selasa, 22 Mac 2016 | 4:43 PTG

Kehangatan Pilihan Raya negeri Sarawak dilihat semakin terasa apabila Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini dihalang daripada memasuki negeri tersebut.

Beliau yang baharu tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 10.30 pagi kemudiannya dihantar pulang ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat yang sama pukul 11 pagi tadi.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu bersama pegawai khasnya ditahan ketika melalui pemeriksaan Imigresen.

Mengulas insiden yang tidak dimaklumkan alasan larangan masuk itu, pemimpin Amanah Sarawak menyifatkan keputusan kerajaan negeri tersebut sebagai tidak demokratik.

Penyelaras Dun Beting Maro, Andri Zulkarnaen @ Hud Abusiraj Almuner berkata, pihaknya kesal dengan keputusan yang bercanggah dengan peruntukan perundangan.

“Menghalang saudara Mohamad Sabu masuk ke Sarawak jelas mencabul hak beliau dari segi perlembagaan sebagai warganegara Malaysia.

“Beliau bukan penjenayah atapun pengganas. Mohamad Sabu adalah seorang presiden parti yang sah dalam undang-undang negara,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut larangan yang dikeluarkan atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sarawak itu, Hud berkata, kehadiran Amanah sebagai parti politik yang semakin mendapat perhatian rakyat tidak disenangi rejim pemerintah.

“Ini menunjukkan kerajaan Sarawak sudah mula gerun dengan parti Amanah yang baru berusia enam bulan ini,” tambahnya lagi yang juga Pengerusi Biro Tanah dan Luar Bandar Amanah Sarawak.

Untuk rekod, kerajaan negeri Sarawak di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem turut mengharamkan ramai pemimpin pembangkang daripada memasuki negeri itu tanpa alasan yang kukuh.

Antara yang dihalang memasuki Sarawak sebelum ini ialah Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mazlan Aliman; Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger