Home » , » Teka Teki Baru Politik Bumi Cik Siti Wan Kembang

Teka Teki Baru Politik Bumi Cik Siti Wan Kembang

Written By Wadah Baru on Selasa, 6 September 2016 | 8:59 PG

Oleh Hayar Hassan

Dalam kemeriahan rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan Ke 59 baru-baru ini, termuat juga berita separuh sensasi bagi sesetengah pengamat politik tanahair. Di malam menyambut ambang Hari Kebangsaan itu , ahli-ahli Parti Amanah Negara(PAN) berkumpul  di Cyberjaya untuk meraikan Dato’ Husam Musa yang membuat keputusan untuk menjadi ahli PAN.

Keputusan DHM itu sememangnya telah dijangka. Namun yang menariknya,  majlis makan malam tersebut adalah bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke 59 dan ianya di adakan di Cyberjaya, bukan di Kelantan Darul Naim. Sesungguhnya majlis itu penuh erti tersembunyi dan punya strategi yang tersendiri yang hanya dimaklumi oleh penganjurnya.

Nama Dato’ Husam Musa kebelakangan ini amat terserlah di seluruh Negara ekoran daripada tindakan berani dan nekadnya bersama-sama dengan Setiausaha Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang untuk memulakan proseding saman terhadap lapan individu yang dinamakan oleh “DOJ” dalam skandal berkaitan 1MDB di Mahkamah Daerah New York, Amerika Syarikat.

Tindakan berani mereka berdua ini membuatkan nama mereka telah dikenali oleh ramai rakyat Malaysia. Umumnya, ramai yang mengkagumi tindakan mereka ini. Jarang sekali rakyat Malaysia yang terfikir dan mampu untuk memulakan sebarang tindakan mahkamah di Negara Uncle Sam itu. Datuk Abdul Kadir Jasin, wartawan berpengalaman  menyifatkannya sebagai suatu tindakan patriotik. Dato’ Husam Musa dan Matthias Chang dianggap sebagai wira tulen menyelamatkan wang Negara. Dato’ Husam Musa telah meletakkan dirinya sebagai tokoh di peringkat nasional, bukan sekadar ADUN Salor sahaja.

Lebih menarik lagi, dalam kesibukannya sebagai seorang ahli politik dan memberikan perkhidmatan di DUN Salor, Kelantan Darul Naim, Dato’ Husam Musa masih sempat menukilkan bait-bait puisi yang penuh puitis tentang apa yang dirasakannya semenjak dipecat oleh partinya.  Puisinya berjodol “ SALOR TEGAK BERDIRI “ menambahkan lagi minat orang ramai terhadap sosok ini. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, menyifatkan Dato’ Husam Musa sebagai seorang yang cerdik dan kreatif.  Idea-idea Dato’ Husam Musa banyak membantu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz semasa menerajui pentadbiran Kelantan Darul Naim selama 23 tahun !  

Kalau kita kembali menyorot sejarah politik  Kelantan Darul Naim semenjak Merdeka, terdapat dua (2) insiden pertukaran parti yang menerajui pemerintahan Kelantan Darul Naim. Pada tahun 1973, pemerintahan Kelantan Darul Naim telah jatuh kepada Barisan Nasional. Sebelumnya PAS telah memerintah Kelantan Darul Naim selama 14 tahun ( daripada 1959 – 1973 ). Tokoh yang mengepalai pertukaran tampok pemerintahan ketika itu adalah Allahyarham Dato’ Mohamed bin Nasir yang asalnya adalah aktivis PAS juga. Allahyarham Dato’ Mohamed Nasir akhirnya menjadi Presiden BERJASA.

Pada tahun 1990 pula, tampok pemerintahan Kelantan Darul Naim sekali lagi telah bertukar semula kepada PAS. Tokoh yang mengepalai kejayaan PAS ketika itu adalah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Persoalannya sekarang, “ Bolehkah PAS memenangi pilihanraya DUN Kelantan dalam PRU ke 14 nanti ? “ Bolehkah pemimpin-pemimpin PAS Kelantan yang sedia ada sekarang ini melakarkan kemenangan untuk PAS ?. Siapakah tokoh-tokoh PAS yang boleh disandarkan oleh PAS Kelantan  untuk terus menempah kejayaan itu.

Pada mata rakyat dan pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim, tokoh tersebut sekurang-kurangnya mestilah sehebat Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Pertukaran parti yang bakal memerintah Kelantan Darul Naim, sepertinya sudah tidak dapat dielakkan lagi. Untuk pusingan ini, PAS telah memerintah Kelantan selama 26 tahun, suatu tempoh masa yang agak panjang !

Cerita-cerita ketidakpuasan rakyat kepada pemerintahan PAS sudah bermunculan disana sini. Semasa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih menjadi Menteri Besar, rintihan dan rungutan rakyat telah dapat disantuni dengan baik dan penuh hikmah. Menjelang PRU ke 14 ini keadaannya sudah berbeda. Rakyat dan pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim mahukan suatu perubahan.

Atas faktor-faktor di atas, saya berpandangan bahawa Dato’ Husam Musa dan rakan-rakannya seperti Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Pengerusi PAN Kelantan  sedang mengatur langkah-langkah strategik untuk meraih undi rakyat Kelantan darul Naim. Kenyataan PAN untuk bertanding sebanyak 30 kawasan DUN adalah suatu yang wajar. Tiga puloh (30) kerusi adalah merupakan 2/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi DUN Kelantan Darul Naim. Jumlah keseluruhan kerusi DUN adalah empat puloh lima (45).

Terkini, Dato’ Husam Musa yang dianggap sebagai “ Defacto Leader “ PAN Kelantan oleh Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, telah menyatakan bahawa PAN bersedia untuk bertanding dalam 3 penjuru dan Insya Allah boleh menang dalam PRU akan datang ! Kenyataan sebegini amat mengejutkan pucuk pimpinan PAS Pusat. Lantas Presiden PAS sendiri agak terburu-buru memberikan komen , seolah-olah menyindir gerak kerja yang dibuat oleh Dato’ Husam Musa dan rakan-rakannya dalam PAN.

Adakah logik mengatakan bahawa Presiden PAS lebih mengenali Almarhum Tuan Guru Nik Aziz daripada Dato Husam Musa.  Dato Husam Musa yang tinggal di Kelantan dan menjadi Exco Kerajaan Negeri sudah tentunya lebih kerap berkomunikasi dengan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat daripada Presiden PAS yang tinggal di luar Kelantan.

Selama ini ramai pemimpin-pemimpin PAS beranggapan bahawa tanpa kerjasama PAS, pembangkang sukar untuk menang dalam PRU ke 14 nanti. Namun demikian, bagi Dato’ Husam Musa, PAS cuma mempunyai 3 pilihan. Pertama, PAS perlu segera bergabung dengan UMNO/BN. Kedua, PAS bersedia bergabung dengan Pakatan Harapan(PH). Ketiga, PAS terus kekal bersendirian seperti tahun-tahun 60’an.

Kenyataan terbaru Dato’ Husam Musa itu meletakkan  PAS pada posisi yang sudah terbelakang. Sememang pun PAS sudah tidak diherani lagi oleh kebanyakan rakyat. Program-program PAS akhir-akhir ini agak sepi dan tidak diambil pusing khususnya, oleh anak-anak muda. Ceramah dan pidato-pidato Ustaz-Ustaz PAS seringkali tidak kena dengan selera anak-anak muda dewasa ini! Hatta surat khabar Harakah pun sukar ditemui di kedai-kedai runcit.  Sebelum tahun 2016, akhbar Harakah mudah dibeli daripada penjual-penjual surat khabar. Segala-segalanya berkaitan dengan PAS sudah banyak berubah semenjak bubarnya Pakatan Rakyat pada 16 Jun 2015.

Berdasarkan kepada peristiwa pertukaran tampok pemerintahan Kerajaan Kelantan Darul Naim pada tahun1973 dan 1990, saya berpendapat terdapat dua (2) faktor utama yang memungkinkan pertukaran tampok pemerintahan itu berlaku. Faktor pertama adalah isu kegagalan parti pemerintah sedia ada menangani tuntutan dan masalah rakyat. Faktor kedua adalah munculnya tokoh-tokoh berkarisma dan penuh wibawa yang dapat  dilihat bersama-sama berjuang  dengan rakyat dalam melakukan perubahan.

Pada tahun 1973, Dato’ Mohamed bin Nasir muncul sebagai tokoh bersih dan jujur yang berusaha untuk menjatuhkan pemimpin Kerajaan yang mengamalkan pilihkasih dan kronisma dalam pentadbiran Kerajaan waktu itu. Pada tahun 1990 pula , Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat muncul sebagai tokoh yang jujur, bersih dan kuat berpegang kepada ajaran Islam .

Pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim boleh memberikan undi mereka kepada parti yang dipimpin oleh tokoh-tokoh orang Kelantan yang dilihat bersih, bersedia berjuang untuk rakyat dan tiada rekod mengkhianati rakyat tempatan. Pada waktu ini, Dato’ Husam Musa dan barisan pimpinan PAN Negeri Kelantan tiada mempunyai rekod mengkhianati rakyat Kelantan. Sebagai sebuah parti baru PAN tiada mempunyai sebarang liabiliti. Amat mudahlah Dato’ Husam Musa membuat promosi dan mengembangkan pengaruh kepada semua rakyat Kelantan Darul Naim.

Semoga Dato’ Husam Musa dan rakan-rakannya dalam PAN dapat terus bergerak secara  hikmah dan penuh strategik untuk menawarkan ramuan-ramuan baru dalam meneruskan pembangunan bumi Cik Siti Wan Kembang ini. Elakkan lah langkah-langkah sumbang dan ceramah-ceramah panas yang sekadar membakar semangat dan emosi sahaja. Pengundi-pengundi sekarang bukan lah seperti tahun-tahun 70’an. Kebanyakan daripada mereka sudah bijak dan tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Sekian, Terima Kasih.

Hayar Hassan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger