PETALING JAYA: Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas Timbalan
Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman mengumumkan akan menyertai Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, walaupun tahu tindakannya itu akan mengecewakan sebahagian
ahli keluarganya, beliau masih memilih Bersatu dan bukannya Umno kerana
tidak lagi percaya kepada cara pengurusan parti itu.
“Ia mengenai perubahan dan kemajuan. Ia mengenai kepimpinan melalui teladan.
“Saya mengambil keputusan menyertai Bersatu bukan kerana saya marah,
cemburu atau kecewa dengan Umno. Saya hanya tidak percaya dengan cara
parti itu dikendalikan sekarang.
“Saya orang Melayu, tetapi saya juga progresif. Oleh itu, saya tidak
percaya dengan (konsep Umno) melindungi Tuan Presiden (Datuk Seri Najib
Razak),” katanya
Ditanya kenapa beliau menyertai Bersatu yang hendak menjatuhkan parti
di mana datuknya mengabdikan seluruh hidupnya, Tariq berkata, Umno hari
ini memerlukan perubahan yang hanya boleh dilakukan dari luar.
“Umno hari ini lebih baik menjadi syarikat berkaitan kerajaan kerana semua orang berada di dalam sana demi wangnya.
“Selagi mereka kekal berkuasa, mereka tidak akan berubah. Mereka
menjadi begitu angkuh. Selain itu, ramai orang seperti (bekas Timbalan
Perdana Menteri) Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri
Muhyiddin Yassin cuba mengubah Umno dari dalam.
“Ia tidak berjaya dan tidak kira apa pun, golongan progresif dalam Umno akan ‘dibunuh’,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno akan
kembali kepada perjuangan asal parti itu untuk menjunjung Perlembagaan
Persekutuan, institusi diraja, hak Melayu dan Bumiputera.
“Ia bertujuan menyatukan semua dan menyedari sebagai rakyat Malaysia,
kita semua mempunyai perbezaan unik dan kepelbagaian yang perlu
diraikan.
“Untuk membolehkan semua orang mendapat hak mereka yang sepatutnya
dan pada masa sama memperjuangkan nilai Melayu asal, termasuk integriti,
kesopanan, maruah dan rasa hormat kepada orang lain,” katanya.
Bersatu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
yang berkata parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk
menjatuhkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.
Minggu lalu, Setiausaha penaja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman
dilaporkan berkata, pendaftaran parti itu dijangka diluluskan Jumaat
ini, selepas jawatankuasa penaja memenuhi semua syarat ditetapkan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Kecewa dengan Umno, cucu bekas TPM sertai Bersatu
Written By Wadah Baru on Rabu, 7 September 2016 | 10:44 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan