Oleh Lokman Salleh
Islam membenarkan demonstrasi untuk meluahkan perasaan secara
aman. Namun, bagaimanakah kaedah yang sepatutnya supaya ia selaras
dengan syariat?
Meluahkan perasaan secara kolektif merupakan fitrah manusia,
terutamanya manusia bertamadun. Ia termasuklah menyatakan sokongan serta
dokongan, menyambut kepulangan orang yang disayang seperti pemimpin,
atau orang yang mempunyai tempat di dalam hati kumpulan atau masyarakat,
dan juga melahirkan bantahan ataupun pendapat yang berlainan.
Isunya bukanlah berkenaan boleh atau tidak untuk berdemonstrasi.
Sebabnya di dalam Islam, sebarang perbuatan selain amal ibadat khusus
adalah harus dan tidak memerlukan dalil untuk menunjukkan kebenarannya,
selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya.
Ulama fiqh menyatakan: “Hukum asal bagi sesuatu perkara (yang tidak
disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah) adalah harus selagi mana
tidak menghalalkan yang jelas haram, ataupun mengharamkan yang jelas
halal.”
Malah masyarakat berkumpul untuk menzahirkan perasaan acapkali berlaku di zaman Nabi.
Sebagai contoh, sambutan penduduk Madinah yang menyambut kedatangan
Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah dari Mekah, perarakan penduduk
Madinah ketika menyambut kelahiran Abdullah bin Zubair, ataupun
penzahiran kekuatan kaum Muslimin dengan bertawaf sekeliling Kaabah di
Mekah sewaktu Umar al-Khattab memeluk Islam.
Kesimpulannya, perbuatan seperti demonstrasi tidak diharamkan sama ada di dalam Al-Quran mahupun Sunnah.
Bagaimanakah kaedah atau cara bagi mengimbang di antara
mudarat di sebalik demonstrasi seperti gangguan kepada peniaga di
sekitar tempat demonstrasi? Dan, apakah langkah yang boleh dilaksanakan
oleh kerajaan bagi mengatasi permasalahan ini?
Demonstrasi seringkali membawa keuntungan bagi para peniaga. Logiknya
adalah, apabila ramai orang berhimpun, maka semakin ramai pelanggan
yang akan datang membeli barang berbanding hari-hari biasa.
Namun, janganlah pula pihak berkuasa memomokkan demonstrasi ini
dengan menyamakannya seperti pemberontakan ataupun rusuhan. Itu isu
lain.
Perhimpunan aman adalah satu peluang untuk para peniaga mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding hari-hari lain.
Pihak berkuasa juga janganlah memprovokasikan para demonstran ataupun menangkap mereka sesuka-hati.
Kita seharusnya mengambil contoh daripada para anggota keselamatan di
negara-negara maju seperti Amerika, UK, negara-negara Eropah, Jepun,
Korea Selatan dan lain-lain lagi dalam membantu para demonstran agar
demonstrasi berjalan lancar dan tidak menganggu trafik.
Kekecohan demonstrasi hanya berlaku apabila ada pihak yang membuat
provokasi. Dalam kes ini rakyat Malaysia, samada para demonstran mahupun
pihak anggota keselamatan haruslah saling hormat-menghormati,
tolong-menolong dan berusaha memastikan keamanan terjaga.
Justeru, kerajaan haruslah juga mengambil teladan daripada kerajaan
negara-negara maju. Yakni, professional dan bersedia mendengar suara
rakyat. Sikap ini akan membuatkan rakyat lebih menghormati kerajaan dan
menyayangi mereka walaupun ada isu yang mereka tidak bersetuju.
Kerajaan tidak perlulah khuatir atau bimbang kerana rakyat Malaysia
tidak akan memberontak ataupun melancarkan revolusi seperti di negara
Arab dan Afrika.
Rakyat kita mempunyai kerjaya dan urusan rumah masing-masing. Mereka
akan balik ke rumah setelah penat, dan panas. Malahan, rakyat Malaysia
juga cukup makan dan tidak kelaparan seperti rakyat dunia ketiga yang
menjadikan demonstrasi sebagai wahana pemberontakan. Memberontak bukan
budaya rakyat Malaysia.
Apakah matlamat Bersih 5? Dan, apakah yang hendak dicapai daripada perhimpunan ini?
Pilihan raya masih lagi menjadi satu-satunya wahana untuk rakyat
memilih pemimpin bagi mewakili mereka di Parlimen setakat ini, iaitu
untuk memerintah dan menggubal undang-undang di Malaysia.
Malah, pilihan raya merupakan jaminan agar suara dan kehendak rakyat terbanyak yang memerintah Malaysia.
Namun, untuk mencapai matlamat tersebut dan dilaksanakan secara adil,
maka pilihan raya yang dijalankan hendaklah bersih daripada penipuan
dan salahguna kuasa serta bebas kepada mereka yang menyertai tanpa
sebarang sekatan dan halangan. Malah, ia juga haruslah TELUS, agar tidak
berlaku penyelewengan seterusnya menjamin keyakinan rakyat kepada
sistem pilihan raya tersebut.
Ketiga-tiga elemen bersih, bebas dan telus inilah yang semakin
terhakis dan diragui di dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia hari
ini. Maka, Bersih 5 merupakan salah satu daripada desakan suara rakyat
agar hak mereka tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa.
Tindakan berhimpun untuk menyatakan tuntutan rakyat agar sistem dan
perjalanan pilihan raya di Malaysia diperbaiki agar lebih bersih, bebas
dan telus bukanlah sesuatu yang pelik, bertentangan dengan undang-undang
ataupun subversif.
Justeru, ia merupakan sesuatu yang dijamin oleh Perlembagaan (Artikel
10) dan juga bertepatan dengan konsep keadilan yang menjadi tonggak
politik negara ini semenjak merdeka.
Mengapakah Bersih 5 bergabung dengan kelompok yang memperjuangkan hak LGBT dan lain-lain yang sewaktu dengannya?
Amat malang apabila perjuangan menegakkan keadilan dan ketelusan yang
merupakan nilai Islam ini diterajui mereka, dan bukannya para ulama dan
organisasi yang melaungkan perjuangn Islam.
Lebih malang lagi apabila agamawan yang ada digambarkan lebih
bersikap selektif dan sanggup mempertahankan kezaliman berbanding
memperjuangkan hak rakyat. Ia juga lebih menyedihkan apabila pihak
berkuasa agama juga seakan membisu ke atas penyelewengan di dalam
pilihan raya yang berlaku.
Apakah di dalam keadaan ini kita mahu berpihak kepada mereka yang menentang penipuan dan penyelewengan, tetapi bukan Islam?
Ataupun kita terus berpihak kepada mereka yang menipu dan menyeleweng hanya kerana mereka Muslim?
Apakah Islam agama yang menyokong penipuan dan penyelewengan? Apakah Islam menghalalkan salah guna kuasa?
Bersih sudah 5 kali diadakan, namun kelihatannya seperti masih tiada sebarang perubahan. Adakah ianya masih relevan?
Ya. Jika dikatakan tidak relevan kerna dilihat tidak memberi sebarang
kesan lagi semenjak dilaksanakan, maka banyaklah yang tidak relevan dan
tidak harus dilaksanakan lagi.
Saya beri analogi mudah.
Dalam satu Negara XYZ, ada satu Gerakan PS. Gerakan PS telah
menyertai pilihanraya semenjak sebelum Negara XYZ mencapai kemerdekaan
lagi, iaitu sudah 17 kali.
Namun, sejak daripada itu juga, mereka menemui kegagalan. Gerakan PS
itu tidak pernah pun walau sekali memenangi dan memerintah Negara XYZ
sepanjang tempoh berkenaan.
Jika mengikut sifir tadi, apakah ini bermaksud Gerakan PS tidak perlu
lagi menyertai pilihan raya? Dan, apakah Gerakan PS perlu dibubarkan
kerana sering menemui kegagalan?
Jika dikatakan Gerakan PS relevan untuk terus wujud dan bertanding
dalam pilihan raya kerana mereka berterusan dan tekad dalam
perjuangannya, maka apakah pula yang menghalang perjuangan yang dibawa
oleh Bersih 5, untuk wujud serta berjuang berterusan juga sehingga
berjaya?
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan