Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim musykil terhadap dengan
alasan Pas memutuskan kerjasama politik dengan partinya dan
menyifatkannya sebagai tidak tepat khususnya berkaitan RUU355.
Beliau berkata, pimpinan Pas tidak meneliti kenyataan beliau dan
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah yang menghormati hak
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mengusulkan perkara itu
dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan.
"Malah Datuk Seri Najib Razaklah yang menegaskan bahawa Kerajaan
Umno-BN tidak akan membawa Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 (RUU355)
sebagai urusan kerajaan, yang bermakna RUU355 akan terkubur. Anehnya
Umno tidak dipersalahkan kali ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Syura Ulamak Pas Khamis lalu mengesahkan pembatalan kerjasama
politik dengan PKR, namun kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri
Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat.
Pengumuman dibuat Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Datuk Dr Nik
Muhammad Zawawi Salleh dalam sidang media di Pejabat Agung Pas.
Menurut Zawawi, begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat
tahaluf siyasi yang menyebabkan hubungan politik antara Pas dan PKR
terbatal.
Antara perlanggaran tersebut, ujar beliau adalah kegagalan PKR untuk
menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa Pas
seperti RUU355.
Bagaimanapun Anwar berkata, PKR telah berusaha dan menzahirkan segala
daya untuk mengekalkan muafakat politik dengan Pas yang digarap dan
dibangunkan demi cita-cita membawa perubahan yang lebih baik buat rakyat
Malaysia.
"Saya mengulangi kenyataan Presiden PKR bahawa PKR tidak pernah
mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat
politik walaupun ada pihak yang mentohmah PKR dengan tohmahan yang tidak
adil dan tidak wajar.
"Matlamat PKR adalah jelas iaitu untuk menewaskan Umno-BN yang
kleptokrat dan perasuah, dan terutama kerana mengkhianati rakyat yang
semakin dibebankan dengan sara hidup yang kian meningkat," tegasnya.
Menyentuh mengenai Selangor, beliau yakin menteri besar Datuk Seri
Azmin Ali akan terus menerajui negeri itu berdasarkan mandat penuh
rakyat dan khidmat rakyat yang dicurahkan selama ini.
Anwar musykil alasan Pas putus kerjasama politik dengan PKR
Written By Wadah Baru on Sabtu, 13 Mei 2017 | 11:31 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan