Home » , » Najib heret Malaysia ke kancah bahaya - Mat Sabu

Najib heret Malaysia ke kancah bahaya - Mat Sabu

Written By Wadah Baru on Rabu, 24 Mei 2017 | 11:05 PTG

PETALING JAYA: Presiden Amanah berkata, Malaysia tidak dapat lagi memainkan peranan berkecuali dalam konflik di Syria, Yaman, Iraq dan Palestin apabila perdana menteri memihak kepada Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Malaysia bukan lagi sebuah negara berkecuali seperti yang dipertahankan perdana menteri sebelum ini kerana Datuk Seri Najib Razak mengheret Malaysia menyertai blok Arab Saudi serta AS dan menjadi sebuah negara berpihak.

“Malaysia telah menjadi sebuah negara memihak kepada Amerika, meletakkan negara dalam kancah tidak baik untuk memberi pandangan berkecuali.

“Najib telah membawa negara ke satu blok yang pada jangka panjang akan mengundang bahaya kepada Malaysia dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas sokongan Najib kepada Arab Saudi dan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dalam melawan “keganasan”, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan AS di Riyadh, baru-baru ini.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalid Abdul Hadi menyifatkan Arab Saudi yang merupakan “big brother” kepada negara Teluk sudah lama memainkan peranan “lembu susu” kepada AS untuk diperah duit dan kekayaannya.

Ia susulan perjanjian pembelian senjata bernilai AS$110 bilion (RM473 bilion) oleh Riyadh daripada AS yang bukan menyasarkan Israel, sebaliknya lebih tertumpu kepada Iran kerana senjata AS itu langsung tidak mencukupi untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dari tangan Zionis.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada awal tahun ini berkata, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketenteraan Arab Saudi itu turut dibantu perisikan AS dan disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mat Sabu berharap jika Pakatan Harapan berpeluang menawan Putrajaya, mereka dapat mengembalikan peranan Malaysia sebagai negara berkecuali dan pendamai antarabangsa yang tidak berpihak kepada mana-mana negara dalam pertikaian.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger