Home » » Cadangan tutup,gantung, pemutihan institusi pondok dan tahfiz tidak selesaikan masalah pengurusan

Cadangan tutup,gantung, pemutihan institusi pondok dan tahfiz tidak selesaikan masalah pengurusan

Written By Wadah Baru on Khamis, 28 September 2017 | 8:50 PG

Susulan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa, beberapa pihak mula mengulangi kembali cadangan untuk menutup, mengantung sementara dan melakukan pemutihan terhadap institusi pengajian pondok dan tahfiz di negara ini.

Terutamanya  institusi pondok dan tahfiz yang tidak berdaftar dan mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menggelak kejadian sama berulang.

Malahan tempias yang dirasakan pengusaha pondok dan tahfiz apabila dianggap punca kejadian berlaku disebabkan kelemahan dalam pengurusan apabila rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sejumlah 211 kebakaran membabitkan pusat tahfiz diseluruh negara diantara 2015-2017 dan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah kes kebakaran yang ke 212 dengan meragut 23 nyawa.

Bahkan kejadian itu juga dikatakan kes kedua terbesar yang pernah berlaku selepas kejadian kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al Khairiah Al Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Yan Kedah pada 22 September 1989 yang meragut nyawa 27 pelajar perempuan.

Malaysia Dateline mendapatkan pandangan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) yang beroperasi di Kelantan telah ditubuhkan sejak 23 tahun lalu kini mempunyai 30 buah pondok yang bernaung di bawah pengurusannya untuk mengupas persoalan kewajaran menutup operasi pondok dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan menepati kriteria tiga agensi berkaitan.

Menurut Setiausaha PPPB Ustaz Ahmad Shairazi Atiqullah,  penutupan pondok dan tahfiz tidak menyelesaikan masalah jika dilihat dari aspek kelemahan pengurusan semata-mata terhadap institusi persendirian ini.

Katanya kewujudan banyak pondok dan tahfiz di negara ini kerana permintaan ibu bapa dan pelajar yang berminat terhadap pengajian agama melalui silibus pondok dan pengajian kitab Al-Quran semakin meningkat berbanding pengajian akademik semata-mata.

Kekangan dihadapi pengusaha

Kekangan yang dihadapi pengusaha pondok dan tahfiz di negara ini adalah kekurangan dana untuk menguruskan operasinya ditahap lebih baik dan tersusun.

“Jika ada pihak yang mencadangkan pondok dan tahfiz ditutup ia tidak menepati. Kita tidak boleh tutup sebaliknya kita perlu memenuhi keperluan pengusaha pondok dan tahfiz yang masih beroperasi agar mereka mematuhi aspek Jabatan Bomba, MAIN dan PBT.

“Ini kerana terdapat pondok dan tahfiz yang ditubuhkan secara sukarela dan mereka tidak dibayar gaji atau tidak mendapat gaji yang setimpal dengan usaha yang mereka lakukan untuk mendidik anak bangsa.

“Kos operasi membabitkan gaji guru, warden, pekerja am dan bil utiliti dibiayai daripada hasil sumbangan ibu bapa pelajar melalui yuran bulanan atau sumbangan orang ramai yang mahu menambah amal jariah mereka untuk melihat institusi ini berkembang,” ujarnya .

Antara petikan laporan akhbar yang memaparkan beberapa kejadian kebakaran yang pernah berlaku sebelum ini.

Menurut beliau PPPB memastikan semua pengusaha pondok diwajibkan memenuhi beberapa syarat untuk membolehkan pondok dinaungi di bawah organisasi ditubuhkan ini.

” Kita meletakkan beberapa syarat antaranya perlu mengunakan sukatan penuh pengajian pondok, pelajar mestilah lelaki atau perempuan bujang, mempunyai pelajar 50 orang ke atas dan beberapa syarat lagi untuk sertai PPPB,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu PPPB memastikan setiap pondok dibawah naungan organisasinya perlu terlebih dulu mengikuti peraturan ditetapkan Jabatan Bomba, MAIN dan PBT.

” Sebagai sebuah organisasi kita hanya bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara Jabatan bomba, MAIN dan PBT dengan pengusaha pondok jika ada perkara bersangkutan dengan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh agensi tersebut.

“Walaupun begitu kita juga menerima dikalangan pengusaha yang masih lagi berurusan mendapatkan kelulusan agensi tersebut untuk diterima sebagai ahli.” ujarnya.

PPPB yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri Kelantan itu antara organisasi yang dilihat berjaya membawa wawasan kerajaan negeri untuk mewujudkan satu pondok satu daerah di negeri itu.
Ditanya mengenai menyatukan semua pondok di bawah satu bumbung bagi pelajar yang kurang daripada 50 orang agar dapat mengatasi masalah pengurusan beliau berpandangan ia sukar dilaksanakan.

“Mahukah pengusaha bergabung? Ini kerana berlaku juga pondok sedia ada tidak mampu menampung jumlah pelajar yang bertambah dan keluasan bangunan yang terhad.

“Sasaran kerajaan negeri adalah mewujudkan setiap daerah satu pondok. Ini disebabkan pondok dianggap penting kerana silibus pengajiannya tidak sama seperti sekolah agama rakyat kerana sistem pengajian pondok adalah satu sistem yang tersendiri dan tradisi.

“Hari ini pengajian pondok juga sudah dibuka kepada masyarakat umum dikalangan orang dewasa dan warga emas. Jadi melihat kepada keperluan semasa ini agak sukar sekiranya terdapat cadangan untuk menutup pondok terutama di Kelantan dan Kedah kerana akan mendapat tentangan dari segi kepentingan agama,” ujar beliau.

Adakah perlu pondok kekal pengajian tradisi atau berubah kepada integrasi?

Dalam pilihan tersebut Ustaz Ahmad Shairazi menegaskan, integrasi memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding pengajian tradisi. Ia bergantung kepada pilihan pengusaha dan permintaan ibu bapa dan pelajar untuk memilih.

“Dikalangan ahli kita terdapat pelbagai jenis pondok, ada yang masih melaksanakan pengajian cara tradisional, ada gabungan akademi, ada gabungan tahfiz.

“Ibu bapa dan pelajar boleh buat pilihan mereka. Kami menerima sesiapa sahaja yang mahu belajar.

“Jika kita adakan integrasi tiada siapa yang mahu mengajar di pondok kerana kadangkala  pengusaha tidak mampu nak bayar gaji setimpal dengan usaha mereka. Kita membuka perjawatan guru-guru untuk mengajar akademi tetapi bila kita kata tiada gaji atau gaji tidak setanding kelulusan mereka tidak berminat untuk mengajar pula,” ujarnya.

Justeru katanya, buat masa ini institusi pondok dan tahfiz mahu kerajaan mengiktiraf kewujudannya sebagai salah satu daripada sistem pendidikan negara.

“Jika kerajaan mengiktiraf institusi pondok dan tahfiz ini, ibu bapa lebih berkeyakinan dan bantuan dana mudah disalurkan. Bukannya  ke arah cadangan untuk menghapuskan institusi yang telah lama wujud dan berkembang di negara ini.

“Kebanyakan guru-guru ditauliahkan MAIN tetapi ia tidak diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan  kerana mereka perlu memperolehi sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) untuk diiktiraf sebagai guru,” ujarnya.

Sebagai rekod mendapati maklumat dan data mengenai sistem pengajian pondok dan tahfiz di Malaysia tidak lengkap.

Rekod Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menunjukkan pada 2012 sahaja sebanyak 110 pondok dikenalpasti di seluruh negara dan jumlah itu mungkin sudah meningkat antara 250 hingga 300 pondok ketika ini.

YPPM menganggarkan hanya satu pertiga sahaja yang berdaftar, dan masih banyak yang belum mendaftar dengan jabatan agama di negeri masing-masing.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger