Seorang pengkaji hadis, Dr Rozaimi Ramle menasihati pihak tertentu
agar membasuh mulut dahulu sebelum mencela orang lain yang tidak
membasuh diri dengan air selepas membuang air.
“Saya kira elok juga kita ‘basuh mulut’ kita sebelum nak cela orang
lain tidak basuh diri selepas buang air,” tulis beliau dalam Facebooknya
ekoran panas isu seorang penceramah menghina orang bukan Islam dan
Sultan Johor.
Penceramah agama yang juga kakitangan Jakim itu kini ditahan reman polis bagi membantu siasatan.
“Viral satu video seorang ustaz yang menyebut bangsa Cina yang dikatakan biasanya tidak basuh kemaluan setelah buang air.
“Oleh kerana itu, beliau menyokong diasingkan dobi antara muslim
dengan bangsa Cina untuk memastikan pakaian Muslim ‘suci lagi
menyucikan’,” tulisnya mengulas isu berkenaan.
Penceramah agama kontroversi, Dr Zamihan Mat Zin ditahan polis
selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam.
Zamihan mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu dobi untuk orang Islam.
Bagi Rozaimi yang mempunyai PhD dalam ilmu hadis itu, beristinja’
atau menyucikan najis dari badan bukan sekadar menggunakan air sahaja
bahkan boleh dengan kertas tisu.
Benar, katanya Islam mengajarkan cara bersuci. Bahkan Islam adalah agama yang menitikberatkan tentang kebersihan.
Namun katanya, memandang lekeh suatu bangsa kerana tidak membasuh
anggota kemaluan setelah membuang air secara semberono adalah tidak
wajar.
Ini kerana istinja’ (menyucikan diri setelah buang air) tidak hanya terhad dengan basuhan air.
“Bahkan ia boleh menggunakan tisu, batu dan semua benda yang kesat
dengan syarat minima 3 kali sapuan dan menghilangkan fizikal najis
berkenaan. Ini adalah rukhsah (kemudahan) yang Islam gariskan,” katanya.
Beliau memberikan satu hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. melarang kami menghadap kiblat
sewaktu buang air, larang kami beristinja’ menggunakan tangan kanan dan
melarang kami beristinja’ menggunakan kurang dari tiga biji batu dan
larang kami beristinja menggunakan tahi kering (haiwan) dan tulang.” (HR Abu Daud dan Tirmizi, kata Tirmizi: hadis ini hasan sahih)
Jelas katanya, dalam hadis ini beristinja’ menggunakan batu
dibenarkan dan ulama luaskan maknanya dengan mengatakan semua benda
kesat selain tulang, tahi kering dan makanan dibenarkan. Walaupun
beristinja’ dengan air itu afdhal.
“Saya tidak pasti apakah hinanya beristinja’ dengan selain air?” katanya.
Berkaitan kenyataan Zamihan bahawa “pakaian orang Islam perlu suci dan menyucikan”, beliau menyifatkannya sebagai mengelirukan.
“Benar pakaian orang Islam perlu suci terutama jika ingin melakukan
solat. Namun baju yang menyucikan itu bagaimana? Adakah beliau berwuduk
dan mengangkat hadas dengan baju beliau? Atau beliau berwuduk atau
beristinja’ dengan baju beliau? Sehingga baju beliau dianggap
menyucikan?” katanya.
Kenapa benci Cina
Rozaimi menegaskan, umat Islam tidak boleh membenci bangsa lain khasnya Cina.
“Kepada bangsa Cina, saya menegaskan bahawa Islam tidak membenci
bangsa anda. Jika ada ustaz yang menyemai kebencian kepada mana-mana
bangsa itu hanyalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mewakili
Islam. Saya kesal dengan kekeliruan ini,” kata Rozaimi yang mempunyai
ramai pengikut itu.
Rozaimi juga menegaskan, isu pengasingan dobi layan diri adalah hak peribadi pemilik dobi.
“Namun jika pengasingan disebabkan alasan pakaian bukan Muslim kotor
atau najis secara pukal adalah tidak wajar dan saya menjunjung titah
Tuanku Sultan Johor dalam isu ini,” katanya.
Katanya, Islam tidak pernah memperlekehkan mana-mana bangsa secara pukal.
“Islam sangat menghormati kemuliaan insan tidak kira dari apa bangsa
sekalipun. Perbuatan menghina bangsa secara pukal bukanlah ajaran Islam
walaupun yang menghina itu memakai serban dan berjubah,” katanya.
Baik basuh mulut kamu dulu sebelum cela orang
Written By Wadah Baru on Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:49 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan