Gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan
Labuan akan diumumkan pada tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia
Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Langkah itu adalah bagi merapatkan jurang gaji minimum swasta agar ia
dapat diselaraskan, yang mana kadar gaji minimum bulanan pekerja di
Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak
dan Labuan, katanya.
Beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) sudah mula
menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016
bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu selaras
dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.
"Kita tahu perintah gaji minimum hendaklah dikaji sekurang-kurangnya
sekali dalam tempoh dua tahun. Proses kajian semula ini untuk melihat
kepada keupayaan majikan membayar gaji merupakan satu tanggungjawab yang
sangat mencabar dalam memastikan dasar gaji minimum memenuhi semua
objektif.
"Dengan penubuhan kumpulan penyelidik gaji dan gaji minimum ini, ia
akan memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan
perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja di seluruh negara.
Penguatkuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat
kepada warta pekerja terutama golongan berpendapatan rendah dalam
kategori B40," katanya.
Riot berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan watikah
pelantikan kepada 25 anggota Majlis Perundingan Gaji Negara yang
dilantik bagi tempoh 1 Oktober tahun ini hingga 30 September 2020 bagi
memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar gaji minimum.
Menurutnya, jurang merapatkan gaji minimum antara pekerja di
Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan semakin boleh
direalisasikan dengan lantikan buat kali pertama dua anggota MPGN
masing-masing daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan
Sabah.
"Semakan itu mengambil kira bebanan kos sara hidup, di samping kos
operasi yang perlu ditanggung majikan yang berjaya mengurangkan jurang
pendapatan di Malaysia. Kalau dahulu, gaji minimum di Semenanjung adalah
RM900 manakala Sabah, Sarawak dan Labuan ialah RM800. Pada 2016, kita
kurangkan jurang itu (apabila gaji minimum dinaikkan) kepada RM1,000
(Semenanjung) dan RM920 ( Sabah, Sarawak dan Labuan).
"Pada satu hari nanti, gaji dua kategori ini akan sama. Itulah yang
sedang dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Gaji dan MGPN
sebelum dibentangkan kepada Kabinet," katanya.
Dalam pada itu, Riot berkata setakat Jun ini, sebanyak 98 peratus
majikan daripada 142,151 pemeriksaan berkanun yang telah dibuat oleh
Jabatan Tenaga Kerja didapati telah mematuhi Perintah Gaji Minimum.
- Bernama
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan