Home » , » PAS pecahkan undi Melayu agar BN menang PRU14,

PAS pecahkan undi Melayu agar BN menang PRU14,

Written By Wadah Baru on Selasa, 3 Oktober 2017 | 8:50 PTG

DR Mahathir Mohamad menyerang PAS hari ini dengan menuduh parti Islam itu memecahbelahkan undi Melayu untuk memberi kemenangan kepada Umno/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas perdana menteri itu berkata PAS akan mengumpan pengundi anti kerajaan untuk mengundi mereka dalam pertandingan tiga penjuru, yang akan menyebabkan undi lebih sedikit bagi Pakatan Harapan (PH), terutamanya di kawasan luar bandar yang kebanyakannya adalah pengundi Melayu.

"Bahawa PAS juga akan kalah tidak mengapa. Kerana hasrat PAS ialah supaya Najib Razak mendapat kemenangan.

"Kenapakah PAS berbuat demikian? Apakah dedak memainkan peranan?," kata pengerusi PH  itu dalam blognya, chedet.cc hari ini.

Beliau juga berkata kemenangan PAS di Kelantan hanya akan membawa nasib buruk kepada negeri itu dan merosakkan nama Islam.

"Sama ada dirancang atau tidak disedari atau tidak inilah hasil daripada pemulihan PAS. Saya sedar kebenaran ini akan menyebabkan pelampau PAS marah amat sangat. Tetapi kebenaran masih kebenaran walaupun memedih telinga mendengar."

Dalam tulisannya bertajuk "Perjuangan PAS yang Sebenar", beliau berkata hanya selepas pembentukan PAS orang Melayu berpecah kerana penyokong Umno dilabel sebagai kafir.

"Demikian kesan daripada dakwaan ini sehingga bukan sahaja orang Melayu berpecah dua tetapi ramai orang PAS begitu percaya kepada dakwaan PAS sehingga ada yang mengkafirkan ibu bapa mereka dan mendakwa perkahwinan mereka tidak sah.

"Mereka seolah-olah tidak sedar dakwaan ini menjadikan mereka sendiri anak di luar nikah. Saya tidak nak sebut apakah nama yang kita beri kepada orang yang dilahir di luar nikah," katanya.
Beliau berkata sebelum kewujudan PAS, orang Melayu adalah daripada Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berimam dengan Imam Shafie.

"Tidak berpecah dan berpuak-puak kerana tiada kelainan fahaman Islam antara mereka," katanya.

Katanya, perpecahan itu menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam, pengkebumian orang PAS di kubur berasingan daripada orang bukan PAS malah sembelihan bukan ahli PAS didakwa haram dan tidak boleh dimakan oleh mereka.

"Kemudian datang Abdul Hadi Awang yang mengeluar amanat menghalalkan pembunuhan anggota pemerintah, kerana pemerintah Malaysia adalah kafir.

"Lebih dari itu dia juga dakwa melawan kerajaan adalah jihad dan mati mereka adalah syahid.," katanya, sambil menambah ia akhirnya membawa kepada tragedi Memali di mana empat anggota polis terbunuh dan ramai cedera dalam konfrontasi dengan penyokong Ibrahim Libya.

Dr Mahathir juga menegaskan apabila PAS bekerjasama dengan DAP, mereka menganggap ia 'tahaluf siyasi' (kerjasama politik), yang berbeza dengan kerjasama Umno dengan MCA dan MIC.

"Tak usahlah cuba jelas "tahaluf siyasi" PAS dengan DAP adalah bersyarat. Kerjasama Melayu Umno dengan MCA dan MIC juga bersyarat," kata Dr Mahathir, sambil menambah PAS terus menjadi punca perpecahan di kalangan umat Islam dengan menjadikan pengikut parti itu berbaiah kepada kepimpinan dan parti, yang bertentangan dengan Islam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger