Oleh Arif Atan
Rata-rata pengusaha kedai runcit mengakui tertekan dengan pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain faktor lain seperti
kemunculan pasar mini dan pasar raya yang semakin banyak.
Peniaga kedai runcit di Seksyen 7, Shah Alam, Mohamed Subuhan
memberitahu terdapat tiga kedai termasuk premisnya serta dua pasar mini
di sekitar kawasan tersebut sebelum ini.
“Namun, kini hanya tinggal kedai saya dengan satu pasar mini sahaja.
Satu lagi pasar mini telah tutup,” ujar pemilik Kedai Runcit Perniagaan
Subahan Maju itu.
Beliau berkata, perniagaannya meriah pada 2010 lalu kerana sering
menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelajar dari institusi pengajian
tinggi (IPT) berdekatan.
Walaupun begitu, ujarnya, keadaan tersebut berubah apabila pelanggan
semakin berkurangan sejak penuntut di salah satu daripada kampus IPT itu
dipindahkan ke tempat lain.
Akibatnya, Subuhan memberitahu, jualan kedainya merosot sehingga 30 peratus berbanding ketika mula-mula berniaga.
“Penurunan jualan juga berlaku selepas GST dilaksanakan selain
persaingan dengan pasar raya moden,” jelasnya dipetik daripada akhbar
Sinar Harian hari ini.
Situasi sama turut diakui seorang peniaga, Faizal Amarullah apabila jualan di kedai runcitnya menyusut lebih 10 peratus.
Menurut pengusaha kedai runcit di Seksyen 17, Shah Alam itu, GST
tambah menjejaskan perniagaan pada ketika banyak pasar raya moden yang
berupaya menawarkan harga jualan lebih rendah muncul berhampiran
premisnya.
“Keadaan ini lebih rumit bila ada GST, yang membuatkan jualan dan keuntungan berkurangan,” dipetik daripada akhbar sama.
Bahkan, ada peniaga kedai runcit di Shah Alam mendedahkan jualan
mereka menjunam lebih 40 peratus akibat GST selain disebabkan kemunculan
pasar raya moden.
Cuba bertahan
Enggan dikenali seorang peniaga memberitahu, jualannya semakin jatuh
sehingga kurang RM4,000 sehari sejak 2012 berbanding ketika mula
berniaga pada 2006 dengan jualan mencecah RM7,000 sehari.
“Selain itu, penurunan jualan juga disumbangkan GST dan situasi
ekonomi,” katanya lagi yang juga memberitahu trend pembelian pelanggan
pada masa ini membeli dalam kuantiti amat kecil.
“Pelanggan hari ini pula suka beli barang basah ikut hari. Contohnya,
barang basah kegunaan hari ini seperti cili 20 sen, sayur dan ikan
dalam kuantiti (beli) cukup-cukup sahaja,” ujarnya.
Kesan pelaksanaan GST dan kemerosotan kuasa beli pelanggan pada masa
ini juga diakui pengusaha Pasar Mini Asina Enterprise di Seksyen 17,
Shah Alam yang berniaga sejak tahun 2002.
Pemiliknya, Mohamed Dhagri berkata, majoriti pembeli sekarang
berbelanja di pasar mini dalam jumlah yang sedikit sehingga menyebabkan
purata jualan hariannya menurun kepada RM1,000 berbanding RM4,000
sebelum ini.
“Ini ditambah dengan adanya GST. Sekarang, kami cuba mempertahankan
perniagaan kami selagi mampu. Ini perniagaan sendiri dan kami tidak
pernah menerima bantuan kerajaan atau mana-mana pihak,” ujarnya lagi.
Pasar raya dan pasar mini yang memiliki banyak cawangan mampu
menawarkan harga jualan lebih rendah kerana membeli pukal barangan pada
harga borong.
Sebaliknya, kebanyakan perniagaan kedai runcit diusahakan keluarga
dengan sukar bersaing daripada segi tawaran harga lebih rendah walaupun
premis disusun lebih kemas atau dinaik taraf.
Sementara itu, pemerhatian Malaysia Dateline di sekitar bandar Bukit
Sentosa di Hulu Selangor semalam turut menyaksikan kegetiran peniaga
kecil untuk terus bertahan.
Satu lot niaga dalam pasar raya Tesco ditutup manakala sebahagian
besar deretan bangunan kedai yang siap dibina akhir tahun 2015
berdekatan pasar pagi bandar itu masih tergantung notis “Untuk Disewa”.
Tinjauan dalam kalangan peniaga gerai makanan di Jalan Bunga Kertas 1
juga mendapati rata-rata mereka mengakui kos bahan mentah semakin
meningkat dengan paling ketara sejak dua tahun lalu.
Akibatnya, jumlah keuntungan diperoleh pada masa ini jauh lebih kecil
manakala sebuah gerai diusahakan ahli keluarga yang menjual makanan
mengandungi udang dan potongan sotong difahamkan gulung tikar sejak
akhir tahun lalu.
Bagi peniaga makanan yang masih bertahan pula, mereka tidak dapat
menaikkan harga lebih tinggi bagi mengelak pelanggan lari apatah lagi
trend pembeli berbelanja sedia ada juga semakin merosot terutama ketika
pertengahan bulan.
Untuk rekod, GST pada kadar enam peratus yang dikuatkuasakan mulai 1
April 2015 pernah dijamin oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad
Maslan ketika itu mampu menurunkan harga barang dengan mendakwa kononnya
harga barang menjadi semakin murah.
GST: Peniaga kedai runcit tertekan, pelanggan beli cukup-cukup sahaja
Written By Wadah Baru on Isnin, 13 November 2017 | 2:41 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan