Home » , » Mengapa curiga dengan bukan Melayu?

Mengapa curiga dengan bukan Melayu?

Written By Wadah Baru on Isnin, 18 Januari 2016 | 2:37 PTG

Oleh Abdul Azim Roslan

Walaupun Malaysia sering kali dicanangkan sebagai negara mempunyai masyarakat majmuk yang
harmoni, tetapi hakikatnya itu hanyalah gambaran luaran yang tampak indah. Hubungan antara kaum di Malaysia sebenarnya sangat rapuh. Dalam kebanyakan hal, mereka hanya berinteraksi jika hanya ada keperluan.

Contohnya mereka hanya berinteraksi dalam urusan melibatkan pekerjaan, pembelajaran dan juga apabila melibatkan urus niaga. Tidak bersetuju? Cuba kita mengambil sedikit masa untuk duduk memerhatikan semula interaksi antara kaum di Malaysia, secara jujurnya kita akan terpaksa untuk bersetuju dengan fakta ini.

Masalah ini timbul kerana wujud perasaan saling tidak percaya di antara mereka walaupun ia tidak dizahirkan. Saudara Ooi Kok Hin sudah menulis menurut persepsi masyarakat bukan Melayu, maka makalah ini akan cuba mengulas isu ini menurut persepsi masyarakat Melayu.

Bahasa dan sekolah kebangsaan

   Selepas beberapa generasi masyarakat bukan Melayu menetap dan menjadi warganegara Malaysia, mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Walaupun tidak dinafikan terdapat sebahagian begitu fasih bertutur bahasa kebangsaan, tetapi majoriti masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Jika dibandingkan dengan warga asing yang baru menetap di Malaysia, tidak sampai setahun mereka sudah mampu menuturkan bahasa kebangsaan dengan baik, bahkan ada di kalangan yang mampu menuturkan bahasa kebangsaan jauh lebih baik daripada orang bukan Melayu yang lahir dan membesar di Malaysia.

Kegagalan menguasai perkara asas seperti ini mendorong orang Melayu mempersoalkan keseriusan bukan Melayu mendukung bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Orang Melayu tidak dapat memahami mengapa perlu wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)? Mereka beranggapan, jika orang bukan Melayu serius dengan jati diri sebagai warganegara Malaysia, mengapa perlu mengasingkan anak mereka belajar dalam sekolah lain?

Apakah orang bukan Melayu masih beranggapan mereka terikat dengan sentimen negara Tanah Besar China ataupun India. Soal kesetiaan terhadap negara menjadi tanda tanya. Orang Melayu merasakan, jika atas alasan mahu belajar bahasa ibunda, boleh sahaja sekolah kebangsaan menawarkan subjek bahasa Cina atau Tamil. Apa rasional SJK perlu diwujudkan serta dipertahankan?

Jaringan kaum

Dalam soal perniagaan dan peluang pekerjaan, terdapat unsur diskriminasi terhadap pekerja dan peniaga Melayu. Jika diamati dalam laman-laman carian kerja, banyak pengiklanannya memerlukan penguasaan bahasa Mandarin sebagai syarat kelayakan memohon sesuatu jawatan.

Jika jawatan itu memerlukan komunikasi dengan syarikat dari China atau Taiwan, itu difahami kerana mempunyai konteks. Tetapi kebanyakan daripadanya hanyalah syarikat yang beroperasi dalam lingkungan Malaysia sahaja. Barangkali iklan seperti itu wajar diiklankan dalam bahasa Mandarin agar yang membacanya terdiri daripada mereka yang mampu bertutur dalam bahasa Mandarin!

Dalam soal jaringan perniagaan, orang Melayu juga mengalami masalah. Jika peniaga Melayu ingin mendapatkan bekalan barangan tertentu daripada pembekal bukan Melayu, dalam sesetengah keadaan terdapat perbezaan harga ditawarkan kepada Melayu dan bukan Melayu.

Perbezaan harga ini menyebabkan peniaga Melayu terpaksa menjual barang dagangan mereka dengan harga lebih tinggi daripada peniaga bukan Melayu. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu kerana mereka merasakan wujud diskriminasi terhadap mereka.

Pembaratan bukan Melayu

Terdapat kebimbangan masyarakat bukan Melayu terhadap proses Islamisasi yang sedang berlaku di dalam masyarakat  Melayu. Mereka gusar dengan orang Melayu yang mula berfesyen  serban Arab, berjubah Arab dan cuba mengislamkan institusi kenegaraan.

Sebaliknya, orang Melayu juga berasa bimbang dengan budaya “pembaratan” masyarakat bukan Melayu yang sedang aktif menular. Lihat sahaja kebanyakan daripada mereka mula menukar atau menambah nama mereka dengan nama berbunyi kebaratan. Sudah jarang-jarang nama seperti Lim dan Tan disebut, lebih banyak nama-nama berbunyi “mat salleh celop” disebut seperti Joseph, Joshua dan Jason.

Orang Melayu juga bimbang apabila nilai-nilai budaya yang disepakati secara umum masyarakat timur seperti tidak bersekedudukan sebelum berkahwin dan pemakaian pakaian sopan semakin ditinggalkan. Ada juga usaha-usaha untuk menjadikan nilai-nilai barat sebagai asas mutlak kepada tafsiran “human rights”.

Apabila hal ini dibangkitkan orang Melayu, maka mereka dianggap kolot dan cuba mengislamisasikan masyarakat Malaysia. Walhal perkembangan ini akan mencemarkan institusi masyarakat yang sepakat menjadikan nilai-nilai ketimuran sebagai asas kepada pembentukan akhlak dan moral masyarakat di Malaysia.

Jika orang bukan Melayu berhak berasa takut dengan Islamisasi, orang Melayu pula berasa berhak untuk berasa gusar dengan budaya “pembaratan” bukan Melayu.

Kaum terpilih

Orang Melayu juga merasakan nilai mereka direndahkan masyarakat bukan Melayu. Sesetengah kumpulan dalam masyarakat bukan Melayu menganggap orang Melayu sebagai beban bagi negara ini maju ke hadapan.

Mereka menganggap orang Melayu sebagai kaum malas dan bodoh. Hal ini diburukkan lagi dengan sekumpulan Melayu “bajet” liberal dan progresif yang bersungguh-sungguh merendahkan keupayaan kaumnya sendiri.

Apabila kumpulan Melayu “bajet” liberal ini mengiakan “pembodohan” Melayu secara serkap jarang, maka secara tidak langsung ia mewujudkan perasaan “superior” orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.

Apabila wujud perasaan “superior” terhadap orang Melayu, maka justifikasi terhadap keupayaan Melayu akan menjadi sumbing kerana ia dibentuk persepsi awal, bukan dinilai secara keupayaan individu. Jika ada perkumpulan wacana atau niaga di kalangan orang bukan Melayu, jarang orang Melayu dilibatkan.

Jika ada pun ia bukan atas kapasiti keupayaan dan kepercayaan individu, tetapi lebih kepada memenuhi kehendak kuota. Segregasi ini mengasingkan orang bukan Melayu ke satu pelosok dunianya sendiri. Kumpulan manusia terpilih.

Dua hala

Apabila orang bukan Melayu takut dengan proses Islamisasi, maka orang Melayu pula mula berasa curiga. Mengapa perlu takut dengan Islamisasi? Adakah orang bukan Melayu di Malaysia anti Islam?

Soalan-soalan seperti ini bermain di minda orang Melayu dan akhirnya ia digunakan ahli politik sebagai senjata survival politik mereka. Budaya dialog untuk mendamaikan persoalan ini tidak subur kerana sudah wujud perasaan curiga di satu pihak, manakala di satu pihak lagi berasa mereka “superior” dan tiada keperluan.

Saya tidak kata semua ini betul atau salah, berlaku secara mutlak dan konsensus, tetapi inilah antara sebabnya mengapa orang Melayu merasa curiga dengan bukan Melayu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger