Oleh Edwin Michael
Selepas hampir setahun saya asingkan serta pinggirkan diri saya
daripada menulis serta menganalisis tentang politik negara terutamanya
politik caca merba pembangkang di negara ini, Sekolah Politik BN yang
diaspirasikan oleh Pemuda BN menjadi titik permulaan buat saya untuk
kembali menulis.
Jika parti DAP terkenal dengan program Sekolah Demokrasi sementara
PKR pula dengan Sekolah Politik Institut Kajian Dasar maka Pemuda BN
pula tampil dengan produk politik mereka yang baru iaitu Sekolah Politik
BN. Tahniah kerana melakukan transformasi paradigma dengan memahami apa
yang dimahukan oleh golongan belia terutamanya belia profesional yang
pro transformasi.
Hala Tuju Sekolah Politik BN
Saya tidak menyertai mana-mana parti politik komponen BN maka
mentaliti saya terhadap program ini dilihat sebagai satu ruang yang
sepatutnya menghimpunkan individu-individu yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang pendidikan (bukan ahli parti semata-mata) untuk
mendiskusikan secara intelektual strategi komunikasi BN, modus operasi
Pemuda BN dalam menawan kembali kepercayaan belia terhadap politik BN
serta bagaimana golongan belia profesional boleh berperanan sebagai
pengkritik dasar dan polisi kerajaan secara ilmiah.
Namun hakikatnya medan diskusi yang sepatutnya bersifat ilmiah ini
bertukar menjadi medan untuk membincangkan masalah-masalah parti seperti
ketidakcukupan peruntukkan, pengagihan kerusi sesama parti komponen BN,
penyertaan Ketua Pemuda dan Ketua Bahagian dalam program kawasan
masing-masing dan sebagainya. Apa kerelevenannya dan apa kewajarannya
ini kepada saya? Apakah tiada ruang atau platform lain buat ahli-ahli
parti BN ini untuk meluahkan perasaan mereka sehinggakan satu program
Ilmiah dan intelektual seperti ini dijadikan sebagai medan sasaran untuk
melepaskan segala macam geram terhadap parti?
Dimana Ruang Buat Golongan Belia Profesional?
Sebagai seorang ahli akademik, adalah menjadi kewajaran saya untuk
berkongsi apa sahaja input yang saya ada tentang sains politik dan
bersama-sama merangka satu kerangka teoritikal dalam memantapkan
strategi komunikasi BN. Saya bukan hadir ke Sekolah Politik BN untuk
mendengar masalah ahli-ahli parti. Saya hadir untuk melihat apa bentuk
platform yang disediakan oleh Pemuda BN kepada golongan profesional
seperti saya dan bagaimana saya boleh menggunakan platform tersebut
untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat marhaen. Isu
dalaman parti tidak seharusnya diberikan ruang sama sekali untuk
dibincangkan dalam program ilmiah dan intelektual seperti Sekolah
Politik BN ini.
Pemuda BN dilihat terlalu selesa dengan mentaliti mendekati remaja
atau belia melalui program-program seperti futsal, memancing dan konvoi
bermotor misalnya tetapi tidak ada satu program khusus yang memfokuskan
kepada golongan belia profesional yang menyokong kerajaan tetapi memilih
untuk tidak menjadi ahli mana-mana parti komponen BN. Pemuda BN
seharusnya bentangkan apa strategi yang sudah ada untuk mendekati
golongan ini. Golongan inilah yang hakikatnya lantang mengkritik
dasar-dasar serta polisi kerajaan secara terbuka kerana tiada ruang
diberikan untuk membincangkannya secara ilmiah. Disinilah sepatutnya
Sekolah Politik BN memainkan peranan yang sewajarnya tetapi tidak. Jika
program sehebat seperti Sekolah Politik BN hanya sekadar dijadikan ruang
untuk melepaskan perasaan geram sesama ahli parti maka saya andaikan
tiada ruang buat golongan belia profesional memainkan peranan dalam BN
ini?
Sekolah Politik BN satu kegagalan?
Sekiranya Pemuda BN terasa cukup selesa dengan mentaliti sebegini
maka era kegemilangan Pemuda BN semakin malap. Politik belia lebih
daripada itu. Selagi golongan belia profesional dan berpendidikan tinggi
ini tidak diberikan ruang penyertaan dalam BN untuk menjadi sebahagian
daripada pasukan pemikir BN maka selagi itu Pemuda BN tidak mungkin akan
dapat mendekati kumpulan yang sangat penting ini.
Walaupun secara hipotesisnya Pemuda BN ada harapan untuk menawan
kembali kepercayaan belia amnya tetapi belum tentu dapat menyakinkan
belia profesional ini selagi enggan memberikan atau mewujudkan satu
platform diskusi intelektual yang sewajarnya. Jawapan kepada dilema ini
ada apa peranan Sekolah Politik BN. Jika masih mahu menjadikannya
sebagai satu medan kritikan parti dan ahli parti semata-mata maka secara
langsung kegagalan Sekolah Politik BN adalah satu kemenangan moral buat
pembangkang. Suka atau tidak ini adalah realitinya!
Edwin Michael merupakan seorang Pensyarah Sains Politik dan
Kewartawanan serta Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang media dan
politik di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Perak.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan