Home » » Bangsa Kelantan tak suka dibuli dan akan ajar PAS

Bangsa Kelantan tak suka dibuli dan akan ajar PAS

Written By Wadah Baru on Khamis, 8 September 2016 | 12:48 PTG

Oleh Zaid Ibrahim

Orang Melayu sebenarnya lebih bangga apabila mereka dikenali sebagai orang negeri dari mana mereka berasal. Mereka tidak begitu bangga dipanggil orang Malaysia, tapi suka disebut orang Johor, Perak dan sebagainya.

Orang Johor bangga dengan ciri keunikan Bangsa Johor; Pulau Pinang dengan keunikan budaya campuran, makanan mamak , “hawker food” dan sebagainya.

Orang Kelantan pun ada keunikannya, yang bangga dengan loghat dan kebudayaannya. Ciri yang paling terserlah ialah kesanggupan mereka melawan arus politik demi mempertahankan pendirian dan pandangan mereka. Mereka “gedeber”, kata orang.

Selama 25 tahun mereka mengundi PAS kerana mereka tidak rela Umno, pembuli besar, menjadi parti yang terus-menerus membuli mereka.

Walaupun PAS tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi rakyat, mereka bertahan dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, demi maruah politik Kelantan yang tidak boleh dibeli dengan “dedak” dan tidak serik atau takut kepada penindasan.

Hari ini mereka sudah tidak ada lagi Tok Guru Nik Aziz untuk memberi rangsangan dan semangat kapada mereka. Perjuangan “spiritual” dan etika sudah lesap.

Hari ini PAS adalah parti politik Melayu yang tidak berguna lagi kapada orang Kelantan. Mereka tidak ada pemimpin yang memperjuangan sesuatu yang murni; dan yang lebih teruk ialah tidak ada juga pemimpin teknokrat, yang telus, yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi dan kesengsaraan rakyat.

Mereka tidak tahu bagaimana nak selesaikan masalah banjir, lalu mereka cuba menyediakan tugu peringatan banjir.

Mereka tidak mampu mengutip sampah, dan tidak mampu menyediakan air bersih yang cukup, lalu mereka jual agama Islam seperti mahukan “hudud” dan tangkap wanita cantik berbaju kemas.
Mereka tidak tahu membangunkan negeri, lalu mereka jual balak kepada tauke-tauke Cina.
Mereka adalah sebenarnya parti yang tak berguna.

Sebab itulah saya meramalkan rakyat Kelantan jati akan bangkit sekali lagi menentang arus. Mereka tidak lagi mahu terus dipermainkan.

Dalam pilihan raya akan datang saya percaya mereka akan bersatu bersama kepimpinan Amanah di bawah Datuk Husam Musa dan kepimpinan parti Bersatu untuk merubah dan menggantikan pemimpin PAS yang ada dengan mereka yang boleh memberi pembelaan kapada rakyat jelata.

Malah saya meramalkan PAS yang dipimpin oleh mereka yang hanya boleh berceramah dan berfatwa, akan menjadi parti yang tewas teruk pada pilihanraya akan datang.

Kelantan memerlukan orang politik yang boleh menyelesaikan soal ekonomi dan sosial rakyat. Mereka sudah tentunya perlu memahami keperluan agama, tetapi tidak cukup jika kita mahu memerintah negara dengan menjual hadis dan ayat Al-Quran.

Rakyat Kelantan bukan seperti yang difikirkan oleih pemimipin PAS. Mereka sekian lama mengundi PAS kerana Allahyarham Nik Aziz, bukan kerana mereka sayang kapada pemimpin yang ada sekarang.
Parti Bersatu dibawah Kamaruddin Mat Noor, Dr Zayadi Awang Noh dari Bachok dan Sazmi Miah dari Machang misalnya, boleh berkerjasama dengan Datuk Husam dan merampas Kelantan dari parti yang tak berguna ini. Selamat Berjuang!

Orang orang Umno pun sepatutnya cepat-cepat berhijrah. Bila Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersatu dengan Amanah, Umno mesti tewas kerana perhitungan mereka bahawa PAS akan dapat menolong mereka tidak mungkin akan berhasil.

Saya juga menyeru penyokong Timbalan Presiden PAS< Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar cepat-cepat berhijrah kepada Amanah kerana beliau tidak akan kekal lama dalam PAS.

PAS sebagai parti yang tak berguna ini akan cuba membersihkan semua pemimpinnya yang mahu kepada kerjasama dengan parti pembangkang demi kebaikan negara; dan orang seperti Tuan Ibrahim tidak akan selamat.

Pemimipin PAS sudah silap perkiraan, mereka jangka Perdana Menteri akan kekal lama, tetapi ahli-ahli PAS yang mahu bersama-sama mereka sudah banyak berkurangan.

Tak lama lagi yang tinggal dalam PAS hanyalah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Abduh, Datuk Nik Amar Abdullah beserta Mursyidul Amnya sahaja.

Datuk Zaid Ibrahim merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger