Mampukah kita dirikan media merdeka?

Ahad, 25 Ogos 2019

Oleh  Lim Hong Siang
 
Dua tahun lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri satu seminar anjuran sebuah badan yang memperjuangkan kebebasan kewartawanan di Taiwan. Seminar itu diadakan dalam kampus, dan saya dapat merasakan sedikit riuh ketika para panelis mengambil tempat.

Salah seorang peserta tempatan berbisik kepada saya, “Nampak tak? Siswa-siswi itu tak sabar-sabar untuk bersemuka dengan idola mereka.” Sambil dia menuding kepada salah seorang panelis wanita di depan.

“Siapa dia?” tanya saya. “Editor sebuah majalah siasah di sini. Bukan main kekaguman siswa-siswi kepadanya. Mereka jadikannya idola, bagai bintang dalam dunia kewartawanan.” Saya memandang ke arah siswa-siswi. Mata mereka bersinar ketika menatap seorang editor dengan paras rupa yang biasa. Apa yang pasti, ada sesuatu yang luar biasa di sebalik susuk itu.

Malam itu saya merenung ketika pulang ke hotel. Agak-agak siapa pengamal media di Malaysia, yang mampu memercikkan cahaya dalam mata siswa-siswi, menginspirasikan mereka untuk berkecimpung dalam bidang kewartawanan?

Apakah ciri-ciri yang dimilikinya sebagai teladan dalam bidang kewartawanan? Apakah beliau menjiwai kebebasan bersuara? Apakah beliau berani kerana benar? Apakah beliau mendukung nilai sejagat, yang merentasi semua batas kaum, agama, budaya dan bahasa?

Soalan-soalan ini melantun-lantun dalam otak saya, pada malam yang langitnya gelap-gelita.

Skandal Malaysia dibongkarkan media asing

Balik ke Malaysia. Imej wartawan cukup negatif. Macam-macam tuduhan dilemparkan kepada wartawan, dari “memetik di luar konteks”, “memutar-belitkan kenyataan”, hinggalah “mereka berita palsu” – sama ada oleh politikus yang sengaja mengkambinghitamkan media, mahupun pembaca yang tidak berpuas hati dengan kualiti kandungan media yang dihidangkan.

Media dituduh sebagai alat propaganda, lidah parti yang mana agendanya bukan lagi melaporkan kebenaran, sebaliknya mengulangi pembohongan agar ia menjadi kebenaran pada suatu hari nanti.
Sesungguhnya, fenomena ini gagal diperincikan tanpa mengambil kira konteks persekitaran media yang pincang di Malaysia. Kebanyakan media tempatan dimiliki parti politik, atau mereka yang mempunyai hubungan erat dengan parti politik. Terlalu sedikit media tempatan independen yang mampu bertahan lama – kekal bebas, dan kekal bernafas dalam pasaran pada zaman ini.

Teori “pemilik media menentukan kandungan” menjelaskan sebahagian fenomena ini. Dengan akta yang mencengkam kebebasan, ditambah pula dengan politik perkauman dan agama sempit yang disuburkan, alam media sebenarnya merencatkan perkembangan media independen, lantas mencantas wartawan yang kritis dan profesional.

Cuba kita renung, bukankah ia satu penghinaan kepada dunia kewartawanan tanah air, apabila skandal 1MDB buatan Malaysia dibongkarkan media asing, dan akhirnya mengkalungkan Anugerah Scoop dan Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan kepada Tom Wright, editor ekonomi rantau Asia untuk The Wall Street Journal? Di manakah peranan wartawan dan media tempatan, sepanjang penyiasatan dan pendedahan skandal ini?

Jikalau dikupas lagi, ia bukan sahaja soal “keberanian” seseorang wartawan atau sesebuah institusi media, tetapi juga “kepakaran” wartawan dari media tempatan untuk menguasai selok-belok isu ini, khususnya media bahasa Melayu. Biar berterus-terang, siapakah wartawan dalam kalangan media bahasa Melayu, yang mampu menyusuli perkembangan seterusnya skandal 1MDB, selepas ia dibongkarkan?
Persoalan ini bermain dalam otak saya, ketika diajak masuk ke dalam satu kumpulan untuk membincangkan isu tokoh kewartawanan. Antara syarat yang diperbincangkan dan digariskan, karya calon perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar. Saya tercari-cari calonnya, malah saya tertanya-tanya, tulisan rencana (feature) manakah yang paling memahat dalam ingatan saya, sepanjang pembacaan saya dalam tempoh 10 tahun ini?

Wartawan mengubah dunia?

Membaca pengalaman media asing sememangnya mengujakan. Wartawan memikul misi untuk membawa perubahan kepada dunia. Dalam satu kes di Amerika Syarikat, dua orang wartawan dari akhbar tempatan Belleville News-Democrat telah melakukan kerja siasatan, membongkar bagaimana kes aduan pencabulan seks yang tidak dipedulikan balai polis tempatan, dan tidak dikendalikan mahkamah – selepas editornya menerima satu panggilan daripada seorang nenek tua yang mengadu bahawa cucunya dirogol secara beramai-ramai. Bertahun-tahun mereka menyiasat dan mengumpul maklumat, dengan temu bual, penelitian statistik dan sebagainya, akhirnya mereka membuat pendedahan yang menggegarkan.

Banyak lagi topik yang relevan, jikalau tumpuannya difokuskan di Malaysia. Bagaimana ratusan ribu tan sisa sampah dari Australia, United Kingdom, Jepun, Kanada dan sebagainya, boleh diimport dalam kontena ke Malaysia? Siapakah dalang yang mengaut keuntungan di sebaliknya? Isu ini berkait rapat dengan “kedaulatan bumi Malaysia”, juga kebersihan alam dan kesihatan rakyat. Apakah ada media tempatan yang membongkarkannya, atau wartawan kita lebih ghairah untuk membincangkan “Tanah Melayu milik siapa”?

Demikianlah realiti media di Malaysia. Pernah saya mengikuti satu rombongan sambil belajar ke Jerman kira-kira tujuh tahun lalu. Ketika melawat sebuah institusi media tempatan, saya sempat menjeling buku-buku yang tersusun rapi di meja wartawannya. Bukan gosip dunia hiburan, bukan cerita romantis rekaan, tetapi buku teori yang tebal dan berat. Mereka masuk ke dunia kewartawanan dengan berbekalkan pengetahuan, dan pandangan tersendirinya.

Apakah Malaysia terlalu ketinggalan? Saya masih ingat bagaimana pensyarah universiti saya cuba membuka mata kami dengan memperkenalkan teori-teori kewartawanan yang kritikal. Kami diasuh untuk mengikis imej stereotaip, mengambil perspektif yang berbeza ketika membincangkan isu gender, teknologi, etnik, agama dan sebagainya. Di situ kami mula peka terhadap bagaimana sesuatu imej ditampilkan dalam produk budaya, dan lebih kritis untuk mempersoal struktur kuasa di sebaliknya.

Malangnya teori-teori ini kekal dalam dewan kuliah. Apakah wartawan pada hari ini akan bangkit mempertikai menteri yang membuat kenyataan bahawa “Cina ada di universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih berada”, atau mereka akan turut mengiyakan imej stereotaip yang cuba dipahat dalam minda masyarakat? Apakah wartawan pada hari ini akan mengupas isu kemiskinan dari sudut kelas dan struktur, dan bukan sekadar menggaru-garu kulit yang berlainan warna?

Kita dirikan media merdeka?

Hakikatnya, wartawan dan media kita amat jauh tersasar dari landasan. Sebagai kuasa keempat, media dilihat lebih memijak mereka yang tidak berkuasa, daripada mempersoalkan mereka yang berkuasa. Fenomena ini lebih ketara sebelum PRU14.

Dengan perkembangan teknologi maklumat terkini, saban hari wartawan menghambat kelajuan berita, namun seolah-olah tidak tahu ke mana hala tujunya. Malah, wartawan dan editor sekadar berpuas hati untuk menyuapkan pembacanya dengan berita yang diinginkan pembaca, tetapi bukan lagi menerokai berita yang penting untuk pembacanya.

Artikel ini ditulis tatkala Utusan Malaysia sedang mengharungi waktu-waktu gentingnya lantaran masalah kewangan. Moga-moga ia dipermudahkan, dan masalah pembayaran gaji diselesaikan dengan baik antara pihak majikan dengan kakitangannya.

Apa yang menimpa Utusan Malaysia pada hari ini, harus dijadikan renungan kita untuk memikirkan nasib media tempatan pada masa depan. Setuju atau tidak dengan Utusan Malaysia, tidak kira jatuh naiknya Utusan Malaysia, kita tetap berdepan dengan cabaran yang lebih meruncing di depan kita. Apakah media mampu menyajikan kandungan yang berkhasiat untuk masyarakat kita? Apakah media kita telah mempersiap-sediakan dirinya sebelum mempersiap-sediakan masyarakat kita untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu?

Saya tidak menyimpan niat agar Utusan Malaysia dirobohkan, tetapi meminjam ayat pantun Dr.Burhanuddin Al-Helmi, “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka”, saya ingin melontarkan cabaran, “Mampukah kita dirikan media merdeka?”

LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Apabila anggota kerajaan mengkritik kerajaan

RAKYAT Malaysia tidak usah gundah gulana – kita masih ada sebuah kerajaan yang boleh berfungsi walaupun wakil rakyat kerajaan berlaga pandangan tentang dasar dan janji.

Hakikatnya, sepak terajang ini adalah sebahagian daripada demokrasi – sesuatu yang kita tidak biasa sejak Malaya merdeka pada 1957 dan Malaysia kemudian dibentuk pada 1963.

Kita lebih terbiasa dengan janji yang dimungkiri, yang mencetuskan kekecohan ini serta tanggapan bahawa pandangan masing-masing saja yang betul. Kita lebih terbiasa dengan kata yang tidak dikota, yang menyebabkan fahaman sempit dan isu perkauman jadi relevan ketika dunia pesat berubah.

Baik Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) berkuasa, satu perkara yang mustahak untuk negara lancar kalau pun tidak aman adalah ekonomi. Hampir setiap sepuluh tahun, kita mengharungi masa sukar ketika ekonomi menguncup dan meleset.

Malaysia masih bergelut melepasi jurang itu, sama seperti kebanyakan negara ekonomi lain di dunia.
Cuma, kita selama ini memang berdepan dengan masyarakat yang tidak menentu dan barangkali untuk kali kedua sejak 1974, kita ada sebuah gabungan politik yang berpakat walaupun saling membenci dan tidak percaya antara satu sama lain.

Tidak usahlah kita berpura-pura bahawa inilah kerajaan yang dikehendaki oleh banyak rakyat Malaysia. Sebahagian rakyat menyingkirkan BN pada Mei 2018 dengan harapan Dr Mahathir Mohamad dan sekutu barunya boleh membetulkan cara penyangak Najib Razak dan membongkar skandal 1MDB.

Itu sesuatu yang sedang diusahakan.

Tetapi selagi Dr Mahathir dan kerajaannya tidak mengotakan janji ekonomi, selagi itu gesaan agar beliau letak jawatan atau berundur dan kekecohan terhadap setiap perkara akan terus dapat perhatian. Samalah juga dengan Jemaah Menterinya.

Ini kerana beliaulah yang memilih anggota kabinetnya, yang mungkir beberapa janji dan tidak pula melaksanakan banyak perkara untuk rakyat.

Misalnya, pilihan raya kerajaan tempatan masih tiada berita, kilang Lynas boleh beroperasi semula sementara beberapa konvensyen hak asasi masih belum ditandatangani. Sebaliknya, ada tulisan khat di sekolah rendah jenis kebangsaan dan kereta nasional ketiga, dan barangkali kereta terbang.

Masalahnya, sesetengah anggota kerajaan hari ini akan melompat kalau cadangan ini dibuat oleh mana-mana kerajaan lain. Apatah lagi, mereka mewakili rakyat yang mahu janji dikota, bukannya dimungkiri.

Dalam erti kata lain, wajarlah Dr Mahathir dan pemimpin PH lain dikritik dan dipertanggungjawabkan oleh ahli politik mereka sendiri.

Jika mereka tidak selesa, mungkin mereka patut pertimbangkan kedudukan mereka dalam kerajaan ini.

Kerajaan Mahathir mesti lebih mengotakan janji daripada memungkirinya.
Janji itu harus bermula dengan soal ekonomi sekarang dan pada masa sama, merintis sesuatu untuk masa depan.

Presiden Amanah ziarah mursyidul am PAS

Biarpun kini sudah berlainan parti - dan diberikan pelbagai gelaran jelik kerana membawa pendekatan berbeza - Presiden Amanah, Mohamad Sabu, tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, di Perlis hari ini.

Menurut Mohamad beliau berkunjung ke rumah Hashim di Arau selepas selesai merasmikan serentak mesyuarat tahunan tiga kawasan Amanah Perlis.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, sesuatu kunjungan ke Perlis tidak lengkap jika tanpa bertemu dengan Hashim, terutama apabila pemimpin tertinggi PAS itu dikatakan kurang sihat sejak akhir-akhir ini.

Kata Mohamad, Hashim adalah sahabat lama beliau dalam perjuangan politik dan selalu digandingkan di pentas ceramah suatu ketika dulu.

"Selesai merasmikan mesyuarat tahunan Amanah di tiga kawasan serentak di Perlis, saya singgah pula menziarahi sahabat lama dalam perjuangan Ustaz Haji Hashim Jasin.

"Saya dimaklumkan beliau sedikit uzur kebelakangan ini," katanya.

Untuk rekod, Hashim ialah pemimpin veteran PAS yang dilantik menjadi mursyidul am parti itu bagi mengisi kekosongan selepas penyandang sebelumnya, Dr Haron Din, meninggal dunia.

Sebelum ini Hashim pernah dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perlis dan menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Beliau juga kini dikenali dengan gelaran Tuan Guru dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.
Amanah pula menjadi salah satu parti paling dimusuhi oleh PAS dan sering digelar sebagai "khadam DAP".

Mohamad juga berharap Hashim diberikan kesihatan yang baik dan hubungan persaudaraan di antara mereka akan berpanjangan ke akhir hayat.

"Terima kasih kerana sudi menerima dan melayan kehadiran kami," katanya.

Kerajaan akan ambil tindakan tegas isu komplot tipu tender

KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kerana penyelewengan semasa proses tender, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu berkata, tindakan komplot menaikkan harga tawaran lebih tinggi daripada tender adalah salah serta mewujudkan persaingan yang tidak adil.

“Kalau (wujud) kartel tentu harus ambil tindakan. Itu tidak diizinkan. Kita mahu itu persaingan yang adil tak harus ada konspirasi pihak tertentu untuk kekalkan harga supaya memihak kepada mereka.

“Ini bukan (meletakkan) harga rendah ini pastikan mereka dapat projek kerana mereka buat kartel, supaya dapat harga dekat mirip syarikat-syarikat (yang mengeluarkan tender),” kata beliau dalam satu sidang media selepas Majlis Karnival Merdeka di Bagan, Pulau Pinang.

Tambahnya, beliau turut berharap MyCC dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan.

“Saya rasa sekiranya ada kes-kes sedemikian harap boleh dilaporkan bukan sahaja kepada kerajaan tapi harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ini adalah satu kesalahan.

“Ini di bawah KPDNHEP, saya percaya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri bertanggungjawab, dia akan ambil tindakan,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, kini dalam siasatan MyCCC kerana syarikat yang memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Laporan itu turut menyebut siasatan berkenaan dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak menjadi lebih tinggi.

Elak politiking, kerja keras capai hasrat rakyat

PAKATAN Harapan (PH) perlu kurangkan berpolitik jika tidak mahu hilang keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat.

Pengerusi Majlis Kepimpinan PH Selangor, Amirudin Shari berkata sebaliknya PH perlu bekerja keras dalam memenuhi kehendak rakyat agar mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14  dapat dikekalkan pada PRU akan datang.

“Kita kena buktikan kita lebih baik dari kerajaan terdahulu, dan bukan berpolitik sepanjang masa. Kita kena ingat apa aspirasi dan cita-cita rakyat kepada kita, apa janji yang kita tawarkan, apa harapan yang kita tawarkan pada PRU lepas.

“Elakkan politiking keterlaluan, kita mesti kerja keras untuk capai hasrat dan impian rakyat, agenda reformasi terhadap institusi kerajaan, agenda pendidikan dan agenda kesihatan kita kena buat bersungguh-sungguh agar mandat yang kita dapat pada PRU yang lepas dapat dikekalkan,” katanya pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PKR Selangor hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin,  Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita PKR Selangor Dr Doroyah Alwi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut menyeru agar semua pemimpin dan ahli PH Selangor terus bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan negeri.

“Kedudukan PH Selangor dalam keadaan baik dan perlu dipertahankan. Sejak 10 pentadbiran di negeri ini, kita semakin kukuh bertapak.

“Selangor adalah pusat penting dalam konteks politik nasional,” katanya. – Bernama,

Orang muda Sabah boleh dapat manfaat daripada Gojek, kata Pemuda PPBM negeri

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM Sabah menyambut baik pengenalan perkhidmatan e-panggilan motosikal Gojek di negara ini dan berharap perkhidmatan tersebut akan diperluaskan ke negeri ini dalam masa terdekat.

Ketuanya Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, mereka yang memiliki motosikal di Sabah, terutamanya orang muda akan mendapat manfaat sekiranya perkhidmatan itu dimulakan di negeri ini segera.

Beliau berkata, ramai orang muda yang hanya mampu memiliki motosikal sebagai pengangkutan peribadi setakat hari ini, justeru Gojek boleh membantu memberikan pendapatan tambahan kepada golongan itu dengan serta-merta.

“Gojek akan membuka peluang kepada generasi muda selain memberi mereka pendapatan tambahan.
“Ia akan memberi kesan positif kepada orang muda terutamanya di bandar dan pinggir bandar,” katanya selepas menghadiri seminar anjuran Pemuda PPBM Tuaran dekat sini, hari ini.
Isquzawan berkata, kesesakan lalu lintas di bandar menyukarkan pemandu motokar sampai ke destinasi mereka tepat masa.

“Kadang-kadang satu jam pun tidak cukup untuk ke bandar, misalnya dari Putatan di mana saya tinggal (kira-kira 20 minit dari bandar) untuk menyudahkan urusan saya jika diambil kira masalah kesesakan dan parkir

“Tapi dengan Gojek, tempoh masa itu boleh dipendekkan.”

Bagaimanapun katanya, peraturan dan undang-undang berkaitan perkhidmatan tersebut harus diperketatkan, termasuk isu wanita sebagai penunggang atau pembonceng.

“Ini bagi mengelakkan kemalangan dan masalah berkaitan sosial daripada berlaku” kata beliau.

Baru-baru ini, Kabinet bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek, sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Indonesia yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan motosikal yang turut beroperasi di negara Asean lain.

Kementerian Pengangkutan diberikan masa sebulan untuk mencadangkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu, terutama isu keselamatan pembonceng dan perlindungan insurans.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kebimbangan seorang mufti berkait pengguna berlainan jantina juga akan ditangani.

Kajian projek terowong dasar laut 90% siap, kata ketua menteri

GEORGE TOWN: Kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut kini di peringkat 90% penelitian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, draf laporan itu masih diperiksa jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd.

“Setelah segalanya dibereskan di pihak jururunding, barulah ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi kelulusan.

“Ia merupakan proses timbal balik, setelah mereka (Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) kemukakan kepada HSSI, HSSI akan kaji dan memberi komen sebelum menghantar semula kepada Zenith bagi penambahbaikan.
“Ia masih pada tahap 90%, kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat yang dikemas kini,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dirasmikan Majimor Shariff, isteri Yang Dipertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos anggaran RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook baru-baru ini mengenai komitmen menaik taraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang, termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran yang boleh memberi kesan kepada projek terowong dasar laut, Chow berkata, tiada sebarang keputusan dibuat lagi ketika ini.

“Tiada keputusan lain selain meneruskan kajian kebolehlaksanaan. Tetapi (terowong) bukan keutamaan, keutamaan adalah lebuh raya (dari lebuh raya) dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kami berharap dapat memulakannya dalam tempoh 2 bulan.”

Sementara itu, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan perbezaan harga Toyota Camry 2.5 CBU baru yang dibeli kerajaan Pulau Pinang berbeza dengan Perak, Chow berkata, Pulau Pinang tidak mendapat pengecualian cukai.

“Tidak ada pengecualian cukai, jadi kami membelinya dengan harga pasaran, Perak mungkin telah mendapatnya (pengecualian cukai). Itulah sebabnya wujud perbezaan harga.”

Isnin, 1 Oktober 2018

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan beberapa perubahan besar di universiti khususnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memberikan mahasiswa lebih banyak kebebasan berpolitik.

Antara perubahan tersebut termasuk menghapuskan peruntukan undang-undang yang menghalang mahasiswa daripada aktif berpolitik, serta memberi kuasa kepada mereka menjalankan pemilihan kampus sendiri tanpa campur tangan daripada pentadbiran universiti.

"Pada sesi parlimen yang akan datang, saya akan bawa (pelan) pemansuhan peruntukan tertentu yang menghalang pelajar daripada aktif dalam politik," katanya.

Terdahulu, Maszlee mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan aktivis mahasiswa yang diketuai Asheeq Ali Sethi Alivi untuk membincangkan pemansuhan Auku di sebuah hotel di Putrajaya.

Maszlee berkata UIAM bersetuju membentuk kesatuan pelajar di mana pelajar dapat menguruskan aktiviti mereka sendiri dan universiti itu juga bersetuju mempunyai wakil pelajar di senat.
Sementara itu, Asheeq Ali berkata Maszlee juga bersetuju menggugurkan kesemua tindakan terhadap mahasiswa di bawah Auku.

"Kesalahan semua pesalah Auku dimulakan oleh kerajaan dahulu, tindakan bermotif politik di bawah Auku akan digugurkan serta merta.

"Kami gembira dan terima sepenuhnya keputusan kementerian untuk gugurkan kesemua kesalahan-kesalahan bermotif politik terhadap aktivis mahasiswa yang bersuara pada era Barisan Nasional," katanya dalam sidang akhbar berasingan.

Asheeq berkata Maszlee juga memberi kebenaran kepada pelajar membentuk sebuah jawatankuasa pemantau pemilihan kampus dan beliau menggesa universiti untuk memberikan kerjasama.

"Kebenaran diberikan untuk kami buat jawatankuasa untuk pantau. Saya menggesa semua pihak di universiti untuk terima kenyataan bahawa kerajaan dah berubah. Ini era rakyat Malaysia baru di mana mahasiswa patut diberi kebebasan bersuara, kebebasan bertanding tanpa intimidasi atau ugutan dari mana-mana belah pihak.

"Tindakan kotor seperti ugutan yang dilakukan pada era BN sudah tamat," katanya.

Asheeq, yang memprotes pelantikan Maszlee sebagai presiden UIA baru-baru ini, kini memuji beliau kerana mengadakan pertemuan dengan mahasiswa.

Sejauh mana kemesraan Pas-BN buahkan hasil?

Rabu, 25 Julai 2018

BAGI pemerhati politik ada perkara yang lebih menarik untuk dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bukan soal siapa menang atau kalah tetapi soal sejauh mana ‘pakatan berbaik’ Pas-BN membuahkan hasil.

Menurut Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, itu perkara yang paling menarik untuk diperhatikan dalam PRK kali ini.
“Apa yang menarik adalah sejauh mana hasil daripada pakatan mereka berbaik beri kesan kepada pengundi, itu sahaja,” katanya

Katanya, seandainya pakatan berbaik Pas-BN ini membuahkan hasil, dakwanya kedua-dua parti ini membuka lembaran baharu untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat.

“Jika berkesan mungkin mereka akan bekerjasama secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas misi Pas dalam PRK kali ini yang dilihat senada dengan BN yang mahu melihat PH tewas.

Sinar Harian melaporkan tindakan Pas tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis bertujuan memastikan pertandingan satu lawan satu berlangsung.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini bagi memastikan undi pembangkang tidak pecah dan PH dapat ditewaskan.

Menurutnya, PH mesti dikalahkan dan ia akan menjadi satu isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Dalam pada itu ketika ditanya, sama ada pola pengundian kali ini berubah kerana PH dilihat seolah-olah ada beberapa perkara yang dilihat mereka ‘bercakap tidak serupa bikin’, Agus berkata, ia tidak memberi kesan.

“Saya fikir PH akan kekal, meskipun mereka  tak dapat tunai beberapa janji, tapi rakyat selesa dengan kerajaan sekarang tiada perkara yang menyebabkan rakyat perlu ajar PH,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya, tentang kemampuan calon BN Datuk Lokman Noor Adam untuk memenangi PRK kali ini, Agus mendakwa Lokman tiada peluang kali ini.

“Lokman tak perlu buat apa-apa sebab dia dah tahu nak kalah, dia cuma boleh ‘test market’ untuk meneliti beberapa perubahan undi itu sahajalah,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon PH Mohd Zawawi Mughni pula, Agus berkata Zawawi miliki cukup pakej untuk mengekalkan kerusi berkenaan ditangan PH.

“Nampak jelas wibawa calon ada pada Zawawi personaliti dia satu (tampak hebat)  beliau tak terpalit dengan rejim dulu,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon Bebas pula, Agus berkata, Murti Krishnasamy hanya sebagai ‘kacau daun’ dalam PRK kali ini.

“Beliau boleh pecah undi sikit sahajalah,” katanya.

PRK Sungai Kandis  menyaksikan, pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.
Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).

Pas disaran buat siasatan secara profesional tentukan suara

Rabu, 7 Mac 2018

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa mempersoalkan sejak bila pula Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menjadi pakar pengecam suara.

Beliau berkata demikian mengulas laporan portal berita Malaysiakini mengenai dakwaan Khairuddin bahawa suara dalam rakaman audio yang kini tular di media sosial itu bukan suara MP Pasir Mas, Nik Abduh.

Seperti yang dilaporkan, menurut Khairuddin ramai yang boleh meniru suara orang lain, termasuk menyerupai suara Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Husam lagi, jika Khairuddin benar-benar pakar mengecam suara, maka suara siapakah sebenarnya dalam rakaman tersebut.

Menurut Husam, memandangkan kesan isu rakaman audio berkenaan merupakan isu ‘besar’ buat Pas, beliau menyarankan supaya Pas membawa rakaman tersebut ke makmal untuk dianalisis secara profesional dan kemudian menafikan secara profesional pula.

“Bawa rakaman itu ke makmal yang berwibawa, atau ke pusat yang boleh membuat pengecaman secara profesional untuk mengesahkan bahawa itu suara siapa.

“Selepas itu umumkanlah,” kata beliau.

Bagi saya kata Husam, setakat yang saya kenal, saya mendapati suara itu adalah suara Ustaz Nik Abduh.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma AMANAH di Selayang tengah hari ini.

Pemberi maklumat AKSB sedia jadi saksi jika ada siasatan SPRM, kata Husam

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa berkata, sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung kes pemberian tender, pemberi maklumat mengenai perkara tersebut sedia menjadi saksi.

Kata beliau, ia adalah ekoran pendedahan beliau berhubung penyalahgunaan kuasa dalam pemberian tender kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd bagi projek reka dan bina mekanikal dan elektrikal Fasa II (Pakej 1) Merbau Condong, Machang pada 5 Februari lalu.

Kata beliau, Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang kelayakan terhadap projek berkenaan kerana pada waktu itu syarikat berkenaan adalah syarikat yang tidak berdaftar.

Setakat ini kata beliau, SPRM belum lagi mengambil apa-apa tindakan berhubung pendedahan beliau itu.

Menurut Husam, penjelasan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad semalam berhubung perkara tersebut mengukuhkan lagi dakwaannya terhadap isu AKSB itu.

Pada masa sama, Husam melahirkan rasa dukacita atas tindakan AKSB yang dalam siasatan dalamannya berhubung kebocoran maklumat pemberian tender berkenaan dengan menekan pegawai-pegawainya.

“Mereka (pegawai-pegawai tersebut) dianggap menikam dari belakang, jangan aniayai mereka,” kata Husam dalam sidang media di Wisma AMAHAH di Selayang hari ini.

Katanya, beliau hairan bagaimana Datuk Hanifa boleh membuat kenyataan terbuka mengenai siasatan dalaman tersebut kerana ia menjejaskan integriti AKSAB sendiri.

Kata Husam lagi, dokumen dan maklumat yang diberikan kepada beliau mengenai pemberian tender tersebut diperolehi daripada sumber lain.

“Mereka ini sedia menjadi saksi sekiranya kes pemberian tender ini disiasat oleh SPRM,” kata beliau.

Pertembungan PAS-Amanah dan gerakan Islam di Malaysia

Isnin, 5 Mac 2018

Oleh Zin Mahmud

Serangan politik yang diterima PAS umumnya lebih banyak datang daripada penyokong Amanah berbanding pihak lain. Begitu juga serangan dilakukan PAS adalah lebih banyak ditujukan kepada Amanah berbanding kepada parti lain.

PAS adalah sebuah parti pembangkang yang musuh tradisinya adalah Umno. Dari awal penubuhannya pada 1951, pesaingnya adalah Umno walaupun ia lahir sebagai pecahan parti itu.

Pertembungan PAS-Umno berlaku dari tahun 1951 hingga 1973 apabila parti itu menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan yang diketuai Umno diikuti dengan penyertaannya ke dalam Barisan Nasional (BN). Serangan di antara PAS dan Umno tercetus semula apabila parti itu keluar daripada BN.

Ia berterusan sehinggalah apabila PAS menghentikan kerjasama dengan DAP diikuti dengan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015. Hubungan PAS dengan Umno menjadi mesra dan akhirnya disifatkan oleh pemimpinnya sebagai berbentuk kerjasama.

Sejak itu, serangan PAS terhadap Umno berkurangan, sebaliknya ia beralih arah kepada parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Amanah. Parti pecahan ini menjadi sasaran utamanya walaupun anggotanya itu dahulu adalah rakan seperjuangan mereka.

Amanah disifatkan oleh sebahagian daripada penyokong PAS sebagai pengkhianat kerana keluar parti dan menentang mereka. Mereka yang kekal dalam PAS dianggap sebagai beristiqamah. Terdapat program yang dilancarkan oleh PAS selepas penubuhan Amanah yang dinamakan Fastaqim, bermakna beristiqamah sehingga mencapai kemenangan.

Sejak perpecahan itu, ada kalangan PAS menegaskan diri mereka sebagai parti Islam dan kerajaan negeri Kelantan sebagai kerajaan Islam. Penegasan ini juga memberi implikasi bahawa PAS adalah parti Islam dan siapa yang menentangnya adalah menentang parti Islam dan gerakan Islam. Begitu juga, sesiapa yang menentang kerajaan Kelantan, maka mereka adalah penentang kerajaan Islam.

Besar implikasi apabila seseorang atau sesuatu kumpulan dikatakan sebagai penentang parti Islam, gerakan Islam dan kerajaan Islam. Ia bermakna menentang Islam.

Keadaan ini berasaskan kepada fahaman politik bahawa hanya PAS adalah parti Islam, yang lain bukan parti Islam. Kerajaan yang dipimpin oleh parti Islam adalah kerajaan Islam, sementara kerajaan yang ditadbir oleh parti lain adalah bukan kerajaan Islam. Perkara ini tidak disebut secara nyata, tetapi itulah pemahamannya.

Penyokong Amanah membantah pemahaman begini. Mereka berkata Amanah juga adalah parti Islam. Lebih-lebih lagi para ahlinya adalah bekas ahli PAS. Mereka keluar PAS kerana tidak setuju tindakan parti itu yang meruntuhkan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Perbezaan pendirian ini bukan dari segi menentang fahaman politik Islam tetapi perbezaan kaedah perjuangan. Walaupun hakikatnya perbezaan kaedah politik berpunca dari perbezaan fahaman politik, walaupun pada peringkat cabang dan bukannya teras.

Bagi penyokong Amanah, mereka tidak mengkhianati perjuangan PAS, sebaliknya merekalah yang istiqamah. Ini kerana PAS yang dipimpin presiden sebelumnya, Datuk Fadzil Nor, dan juga dipandu oleh Mursyidul Am sebelumnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menetapkan kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menentang BN. Maka fahaman bekerjasama inilah yang disifatkan sebagai dikhianati oleh PAS sekarang ini.


Bagi pendokong Amanah, parti mereka adalah penerus perjuangan yang dilakarkan pemimpin PAS terdahulu khususnya Fadzil dan Nik Aziz. Amanah terus menentang Umno dan BN sementara PAS kini sudah bekerjasama dengan mereka.

Ketika mana ada penyokong PAS yang beranggapan bahawa terdapat hanya satu parti Islam yang patut disokong oleh umat Islam, bagi penyokong Amanah pula, parti Islam tidak semestinya ada satu.

Dengan tidak menafikan PAS adalah sebuah parti Islam, mereka juga menganggap diri mereka sebuah parti Islam. Maka menentang kerajaan pimpinan PAS tidak bererti menentang kerajaan Islam.

Amanah juga memperjuangkan penubuhan kerajaan Islam, walaupun pendekatan pentadbirannya adalah berbeza. Jika Amanah menubuhkan kerajaan, maka ia juga adalah kerajaan Islam.

Parti Islam, parti Muslim

Walaupun tidak disebut, pemahaman mengenai parti Islam oleh PAS dan Amanah adalah berbeza daripada apa yang dipegang oleh parti orang Islam atau parti Muslim semata-mata.

Parti Islam ditakrifkan sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam. Sementara parti Muslim adalah parti politik yang dipimpin oleh orang Islam dan kebanyakan ahlinya adalah orang Islam.
Maka PAS, Amanah, PKR, Umno dan PPBM adalah parti Muslim. Tetapi bagi sebahagian orang, PAS dan Amanah boleh disebut sebagai parti Islam. Seperti juga Berjasa dan Hamim.

Tetapi PKR, PPBM dan Umno tidak boleh disebut sebagai parti Islam. Mereka adalah parti Muslim sahaja. Ini kerana PPBM dan Umno meletakkan landasan nasionalisme Melayu sebagai asas perjuangannya. Sementara PKR mempunyai landasan demokrasi dan liberalisme. Malah ada pemimpinnya yang menyifatkan diri mereka sebagai “Muslim democrat”. Sementara ada orang Amanah menyebut diri mereka sebagai “Islamic democrat” untuk membezakan diri mereka dengan PKR dan PAS.

Namun bagi PKR, PPBM dan Umno, mereka turut memperjuangkan Islam walaupun mereka berbeza fahaman politik keagamaan dengan PAS dan Amanah.

Bagi mereka fahaman nasionalisme Melayu dan demokrasi tidak bercanggah dengan Islam. Maka kesemua parti Muslim adalah memperjuangkan Islam walaupun dengan kaedah dan personaliti pemimpin yang berbeza.

Gerakan Islam dan parti Islam

Di sini perlu dilihat juga konsep gerakan Islam yang mana parti-parti Islam dianggap sebagai wadah politik untuknya.

Konsep gerakan Islam yang diberikan tafsiran khusus menjadi popular pada lewat 1970-an dengan suasana global yang dipanggil kebangkitan Islam pada tahun 1979.

Bukan bermakna sebelum itu tidak ada gerakan Islam. Konsep gerakan Islam dilihat sebagai usaha kumpulan Islam untuk memulihkan pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah. Maka ia dikira bermula dengan gerakan pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani.

Kemudian ia ditandai dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India dan Masyumi di Indonesia.

Di Malaya pula ialah Hizbul Muslimin yang turut bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Tetapi konsep gerakan Islam yang diulas secara tersusun hanya dilakukan oleh Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute, London, selepas Revolusi Iran.

Gerakan Islam di Iran dipimpin Ayatullah Khomeini yang menghasilkan Revolusi Islam dan menubuhkan Negara Islam dan Kerajaan Islam. Gerakan Islam boleh muncul dalam pelbagai bentuk sama ada parti politik atau pertubuhan rakyat dan orang ramai.

Bentuk perjuangan juga boleh pelbagai dan negara serta kerajaan Islam yang hendak ditubuhkan juga beragam. Tetapi ciri keislaman itu adalah nyata, paling ketara ialah keadilan dan kebajikan rakyat.

Pada awal 1980-an di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan Islam seperti PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Arqam, Islamic Representative Council (IRC) dan Suara Islam dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan Islam ini. Pada masa itu suasana masih bebas kerana belum ada lagi ancaman keganasan.

Setelah 30 tahun berlalu tentu pemahaman terhadap gerakan Islam sudah berubah. Iran juga tidak seindah dahulu. Ancaman keganasan Al-Qaeda dan Daesh menimbulkan persoalan terhadap gerakan Islam.

Perkembangan di Turki dan kegagalan Arab Spring dan Ikhwanul Muslimin juga memerlukan pemahaman semula terhadap gerakan Islam.

Di Malaysia, pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan suatu yang boleh dijadikan contoh. Kehadiran Abim dan pertubuhan Islam baharu seperti Pertubuhan Ikram Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Islamic Renaissance Front (IRF) mewarnai pemikiran dan kegiatan aktivisme Islam kini.

Kesemua mereka termasuk PAS dan Amanah adalah sebahagian daripada gerakan Islam. Daripada pengalaman dan perubahan generasi tentunya keadaannya sudah berbeza. Malah pemahaman apakah itu gerakan Islam, parti Islam, Negara Islam dan kerajaan Islam juga sudah berubah.

Mungkin konsep-konsep itu sudah tidak relevan. Apa yang relevan adalah sama ada perjuangan mereka menghasilkan keadilan dan kebajikan rakyat serta perikemanusiaan sejagat.'

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Hukum baru- pangkah lah parti suci demi solat anda!!!

Ahad, 4 Mac 2018

Oleh Hanipa Maidin

1. Pagi pagi lagi dah ada sahabat yang hantar kat saya mesej melalui applikasi whatsapp kenyataan seorang pemimpin parti suci negeri Perak yang kaitkan betul atau betulnya solat seseorang itu dengan pangkah atau x pangkah parti suci.

2. Sahabat itu, lepas tu tinggalkan pesan kat saya- akhi, cili sikit mulut mamat tu!!!

3. Saya x pasti betul atau x betul pemimpin negeri itu ckp begitu..so, komen saya ni based on assumption betul lah dia kata begitu.

4. Komen saya, hebatlah. Jika betul, dia sedang edit atau "re-write" kitab2 fiqh tentang fiqh al-solat dalam bab betul atau tak betul solat seseorang.

5. Kesianlah di tempat- tempat di mana tak ada parti suci..susahlah nak pastikan solat betul atau tidak.. Risau juga jika pergi buat haji atau umrah utk solat di masjid al-haram atau masjid al-Nabi..nampak gaya kena suruh pak imam masjid tu isi borang parti suci dulu lah gamaknya.

6. Apapun, jika anda ahli parti suci- tak kisahlah sokong 1MDB ke atau berkecuali ke, tak perlu risau dengan status solat anda.

7. Jika yang x pangkah parti suci tak tahu mcm mana status solat dia- betul atau tidak..Mafhum mukhalafahnya ( makna sebaliknya ) yang pangkah parti suci , confirmlah betul solatnya.
Yang jadi ahli parti suci lagi lagi lah dari awal betulah solatnya, dari segi, orang kata, " min babil aula" ( dari segi keutamaan ).

So x salah lah saya gelar parti tu parti suci kan?

Allah lebih tahu.
YB Sepang.

Solidariti 4 Hj Abdullah

Sabtu, 3 Mac 2018

Tn. Hj. Abdullah bin Osman (No. Ahli PAS 0987188) adalah salah seorang mangsa petisyen PRU13 yang ditinggalkan oleh PAS.

Pada PRU13 yang lalu, bila mana calon PAS di kerusi N09 DUN Gambir, Dato Dr. Mahfudz Mohammad tewas kepada YB M. Asojan dengan majoriti kecil sebanyak 315 undi, PAS Pusat telah mengarahkan PAS diperingkat kawasan untuk memfailkan petisyen bantahan kepada keputusan PRU13 tersebut.

Di atas nama kesetiaan kepada parti, Tn. Hj. Abdullah bin Osman telah menjadi *PENAMA* kepada fail petisyen ini juga sebagai *MEWAKILI PAS Gambir* dan *calon N09 DUN Gambir iaitu Dato Dr. Mahfudz Mohammad.*

Malangnya selepas pendengaran kes, mahkamah telah memerintahkan Petisyen Pilihanraya ini dibatalkan dan mengarahkan pempetisyen iaitu Tn. Hj. Abdullah bin Osman untuk membayar sebanyak *RM 50k* kepada responden.

Pada ketika itu, Dato Mahfudz telah membantu dengan membayar sebanyak RM30k manakala bakinya *DIJANJIKAN oleh PAS Ledang* untuk bantu bayar secara ansuran, *RM500 sebulan* sehingga selesai.

Namun PAS Ledang telah *MEMUNGKIRI JANJI MEREKA* untuk membayar secara ansuran sehingga selesai. Baki yang ditinggalkan adalah sebanyak *RM12k*. Sebagai seorang pesara tentera, jumlah RM12k adalah sangat banyak dan Tn. Hj. Abdullah tidak mampu untuk melunaskan hutang ini.

Sikap PAS ini benar-benar telah *MENZALIMI* Tn. Hj. Abdullah yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan PAS diterima oleh masyarakat Gambir.
Tn. Hj. Abdullah perlu dibantu bagi mengeluarkan beliau daripada belenggu hutang yang diarahkan mahkamah dan penganaiyaan oleh PAS.

Kepada sesiapa sahaja yang sudi membantu, boleh melakukan pembayaran kepada beliau melalui akaun berikut:
*MAYBANK 1140-6651-2923*
*ABDULLAH BIN OSMAN*
Untuk sebarang maklumat atau pemakluman pembayaran, boleh hubungi nama-nama berikut:
Abdullah Osman (012-444 3935)
Maimun Hashim (012-784 8157)
Asim Abdullah (013-702 8556)
Teja Othman (016-754 0995)

Tidak lagi menyerang UMNO, Haji Hadi kini keluarkan Amanat 2.0 terhadap DAP

Rabu, 28 Februari 2018

Oleh  Edry Faizal

 Datuk Seri Abdul Hadi Awang di dalam tulisannya di Harakahdaily yang bertajuk “Tolak parti yang menggugat agama dan perpaduan” menjatuhkan hukum haram kepada sesiapa yang menyertai atau menyokong DAP.

Meskipun hujah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan panjang lebar tidak menyebut parti mana, namun jelas sekali sasaranya adalah DAP apabila menyebut:
“Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia.”

Jika dahulu penyokong PAS tentu sudah terbiasa mendengar tuduhan ‘menghalang perjuangan Islam’, ‘memperjuangkan negara sekular’, ‘perkauman’ dan lain-lain ditujukan kepada UMNO. Namun kini dilihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghalakan meriamnya ke arah DAP pula. Semenjak dirinya menerajui PAS untuk berjinak-jinak dengan Dato’ Sri Najib Razak dan UMNO.

Amanat Haji Hadi 2.0

Ini tidak lain merupakan Amanat Haji Hadi 2.0. Amanat Haji Hadi 1.0 pada tahun 1981 dengan radikalnya menjatuhkan hukum bahawa melawan UMNO merupakan satu jihad dan sekiranya mati menentang UMNO, mati itu adalah mati syahid. Tindakan itu diketahui umum telah membenihkan budaya takfiri (kafir mengkafir) di kalangan penyokong PAS dan UMNO yang berpanjangan.

Sekali lagi atas kepentingan politik, dalam keadaan PAS yang semakin terdesak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan agama untuk menjatuhkan hukuman haram bagi orang-orang Islam bersama dengan DAP atau menyokong DAP. Terang lagi bersuluh Haji Hadi mahu menghidupkan semula fatwa yang memupuk budaya saling bergaduh seperti yang telah diwujudkan Amanat Haji Hadi 1.0.

Ironinya, di saat rencana Haji Hadi itu cuba menyeru kepada keamanan dan harmoni, Haji Hadi tidak dapat meninggalkan tabiat radikalnya. Benarlah kata peribahasa Melayu, asal ayam hendak ke lesung, asal itik hendak ke pelimbahan. Tabiat yang susah mahu berubah.

Agama untuk kebaikan

Untuk memupuk keharmonian dalam negara, apa yang Haji Hadi perlu lakukan memadai belajar daripada pengalaman lalu. Menginsafi bahawa apabila hukum-hakam Islam bercampur-baur dengan permainan politik, maka akan muncul pelbagai kerancuan, dan yang jadi mangsa adalah penyokong dan rakyat Malaysia amnya

Lihat bagaimana Haji Hadi hari ini mampu melupakan Amanat lamanya, dan kini duduk semeja bercanda dengan UMNO. Meskipun UMNO masih lagi seperti yang dia katakan dahulu, “mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir”. Entah ke mana hilang seruan radikal jihadnya dulu.

Malah semakin hari semakin serupa dengan UMNO, dalam tulisannya, Haji Hadi turut menggunakan isu 13 Mei sebagai alat menakut-nakutkan rakyat Malaysia, modus operandi yang biasanya hanya digunakan oleh UMNO. Di tangan ahli politik, hukum-hakam agama tidak lain hanya menjadi alat untuk kepentingan politiknya.

Jika mahu Malaysia harmoni, elakkanlah mempergunakan nama dan firman Tuhan untuk tujuan menimbulkan perseteruan di kalangan rakyat. Elakkanlah mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya mengikut selera politik sendiri.

Malaysia tidak perlukan ‘penguasa taliban’ yang kerjanya mengharamkan itu dan ini, mengkafirkan itu dan ini. Yang Malaysia perlukan adalah seorang alim yang apa saja dituturkan menenangkan hati.

Biarlah agama memainkan peranan mewujudkan suasana baik dan sejahtera, bukannya diletakkan di dalam tangan ahli politik untuk mencetus permusuhan.

Ketua Wanita Umno keluar parti

Selasa, 27 Februari 2018

Oleh AMNI JAGAT

Parti adalah suatu wadah bagi seorang penggiat politik untuk membawa ideologi yang dipegang dalam kehidupan. Sememangnya di Malaysia selama ini telah mempamerkan beberapa senario yang membuatkan politik itu menjadi suatu wadah yang menarik.

Namun bagi seseorang yang selama ini berpegang kepada kesan ‘selesa’ sebagai pemerintahan, hal itu agak payah atau susah untuk mereka menunjukkan sikap berpaling terhadap apa yang dimiliki selama ini.

Perkara itulah yang dihadapi oleh seorang tokoh wanita di kawasan Parlimen Tanjung Piai, Johor yang beliau merupakan seorang penggerak yang efektif dalam membentuk kerangka politik pemerintah di kawasan tersebut. Beliau yang dikenali sebagai Mak Ne atau nama sebenarnya Normah binti Mohamad, berusia 65 tahun adalah tokoh yang tidak asing lagi di kawasan Tanjung Piai.

Beliau adalah seorang peniaga kecilan. Ibu tunggal kepada tujuh orang cahaya mata itu adalah seorang wanita yang gigih dalam menjalankan aktiviti masyarakat setempat. Di tempat kediaman beliau di Kampung Serkat, Pontian Johor merupakan saksi di mana tokoh-tokoh tempatan dalam kalangan Umno Barisan Nasional (BN) telah diangkat di situ.

Tokoh seperti Datuk Mohamad Osman Yusof atau dikenali sebagai Tok Moy yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai adalah merupakan salah seorang tokoh yang pernah bertandang di rumah beliau. Sememangnya jasa Mak Ne begitu banyak terhadap masyarakat setempat khususnya kaum wanita di Tanjung Piai melalui gerakan beliau sebagai seorang Ketua Wanita Umno Bahagian.

Sehingga kini, Mak Ne masih lagi disegani oleh masyarakat khususnya kaum hawa yang tinggal di kawasan Tanjung Piai. Pengerusi Jemaah Pengarah Wanita Peladang Pontian Selatan ini juga turut aktif dalam menjalankan aktiviti kempen sewaktu beliau bersama-sama dengan perjuangan Umno-BN sebelum ini.


Namun setelah apa yang dilaluinya selama tiga puluh lapan tahun di dalam Umno, Mak Ne akhirnya mengubah haluan wadahnya dari selesa dengan parti pemerintah kepada aliran pembangkang. Hari ini Mak Ne yang dikenali sebagai seorang yang berjasa di dalam Umno telah mengisytiharkan untuk bersama-sama dalam parti baru yakni Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah yang baharu.

Beliau sebelum ini bertindak keluar dari parti Umno kerana melihat bagaimana nasib rakyat sekeliling yang disantuni selama ini semakin terjerat dengan kesan-kesan pemerintahan di bawah pemimpin utama UMNO yakni Dato Seri Najib Razak. Tindakan lebih parah lagi bagi Mak Ne ketika di dalam Umno apabila Tun Dr. Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri telah ditentang hebat oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Hal itu membuatkan Mak Ne sayu sehingga Mak Ne mulai memikirkan apakah masih ada sinar harapan untuk mengubah parti pemerintah itu kepada haluan untuk menyelamatkan rakyat. Lebih memuncak lagi apabila Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat kerana bersuara bagi pihak rakyat dalam isu berkenaan 1MDB yang menjadi liabiliti kepada pemerintahan di Malaysia ini.

Keputusan telah dibuat, Mak Ne telah bertekad untuk mengubah haluan dengan berusaha menukar pakaian dari hidup sebagai seorang yang selesa memerintah kepada haluan pembangkang. Bagi Mak Ne, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana lebih dari separuh usianya, beliau terlibat di dalam parti Umno.

Oleh kerana prinsip untuk menyelamatkan rakyat, Mak Ne membuat keputusan untuk meninggalkan tahap keselesaannya kepada perit jerih perjuangan demi menyelamatkan nasib rakyat yang lebih disayangi oleh Mak Ne. Kini beliau telah berada di dalam Bersatu sebagai seorang tokoh wanita di Tanjung Piai dan hasrat beliau adalah untuk mengubah serta meletakkan harapan yang baru kepada rakyat.

Beliau kini yakin, walaupun sebelum ini beliau menjadi seorang yang teguh sebagai pemikir gerak kerja wanita UMNO dan pernah membuat gerak kerja menewaskan musuh politik Umno di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang suatu ketika dahulu, bagi Mak Ne itulah adat resam dalam perjuangan memartabatkan rakyat di Malaysia ini.

Hari ini, Mak Ne tidak lagi melihat Umno masih mempunyai peluang dan ruang untuk membawa agenda menyelamatkan rakyat di negara ini. Namun semangat Mak Ne tidak pernah luntur dan kini beliau semakin bersemangat untuk menyalakan obor kebangkitan rakyat sebagai panji untuk beliau terus berjuang di dalam arena politik di Malaysia khususnya di Tanjung Piai.

Penipuan sedang dirancang

Isnin, 26 Februari 2018

Saya ada terbaca kenyataan Mahathir Muhamad pengerusi Pakatan Harapan. Mahathir memberi penerangan kepada media tentang dasar dan isi manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14.
Antara lain, mengikut Mahathir, dalam masa 100 hari Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya, Najib – yang telah menjadi bekas perdana menteri - akan ditangkap dan didakwa.

Untuk saya ini satu kenyataan yang amat bahaya. Untuk saya ini satu berita yang menakutkan. Saya faham kenapa kenyataan ini dibuat. Saya faham kenapa dasar ini dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan. Tetapi saya merasa takut. Apa yang saya takutkan?

Dari satu segi manifesto Pakatan Harapan yang ini memang menggembirakan hati rakyat Malaysia. Isi manifesto PRU14 seperti ini memang ditunggu-tunngu oleh 30 juta warga Malaysia. Anak semua bangsa, bangsa semua agama, di Malaysia ini telah lama tertunggu-tunggu untuk melihat Najib dan Rosmah didakwa.

Rakyat satu Malaysia, malah rakyat dunia gian bagai nak rak. Satu dunia tak sabar hendak melihat Najib dan Rosmah memakai baju lokap. Tetapi awas!

Secara jujur saya katakan, saya juga menyimpan harapan yang sama. Dalam hati kecil, saya juga mahu melihat Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa. Tetapi saya merasa gusar. Saya merasa risau. Ada sesuatu yang menakutkan saya.

Saya akui pada ketika ini Pakatan Harapan semakin mantap. Organisasi dan struktur Pakatan semakin tersusun. Kluk Klak di Selangor kini telah selesai tuntas. Tidak ada lagi niat dan cita-cita gelap untuk membuat kerjasama dengan parti Islam PAS.

Parti Islam PAS ini semakin jelas dilihat sebagai musuh rakyat. Menjalin kerjasama secara terang atau gelap akan memudaratkan sokongan rakyat yang telah muak mual loya dengan pembelotan PAS.

Pengagihan kerusi bakal calon semakin selesai. Ini langkah yang bijak – bersedia seawal mungkin. Kritikan di sana sini membuktikan bahawa perbincangan sedang berjalan. Bersuara mengeluarkan pandangan dibaca sebagai politik sihat. Ini membuktikan dalam Pakatan Harapan tidak wujud kuasa hegemoni dari mana-mana parti politik. Ini satu yang amat positif.

Dalam Pakatan Harapan tidak wujud parti besar. Tidak ada kuasa hegemon atau veto. Semua disuarakan untuk dituntaskan secara bersama.

Justeru dalam keadaan sedemikian saya melihat sokongan orang ramai terhadap Pakatan semakin ampuh. Di mana-mana saya pergi, bakal pengundi akan bertanya bila PRU? Penyokong dan orang ramai sudah mula tidak sabar untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah.

Jiwa tak tenteram

Keadaan sedemikian menakutkan saya. Ini menjadikan jiwa saya tidak tenteram. Sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang semakin mengampuh menakutkan saya.

Saya takut kerana Najib juga sedang membaca keadaan yang sama. Najib dan konco-konconya sedang melihat sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin merebak.

Contoh awal ialah Felda. Najib sedar warga Felda kini telah huru-hara. Warga Felda yang selama ini menjadi undi simpanan United Malays National Organisation kini telah pecah terbarai.

Rancangan telah disusun. Projek tangkap Isa Samad diatur. Penangkapan ini bertujuan untuk menenteramkan jiwa dan hati warga Felda yang barah membara kerana hutang yang tidak pernah selesai.

Projek ini membenarkan jurukamera menunggu dari posisi kamera yang amat strategik. Ini untuk merakam muka dan baju kuning penjara SPRM yang dipakai oleh Isa Samad.

Sayangnya gambar klasik Isa Samad digari masuk ke dalam lokap SPRM telah gagal memandulkan kemarahan warga Felda. Tup tup meledak berita tanah Felda di Jalan Semarak lesap terjual. Ini menambahkan kemarahan warga Felda. Lagu Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain pun tidak lagi dapat menghiburkan hati marah peneroka.

Ada 54 kerusi Parlimen terikat dengan undi Felda. Justeru jika warga Felda meninggalkan Najib maka dengan serta merta kuasa Najib akan runtuh. Ini bermakna Pakatan Harapan akan mengambil alih kerajaan. Ini bermakna Najib akan ditangkap.

Fakta ini menjadikan saya takut dan gusar. Apakah Pakatan akan menangkap Najib dan Rosmah? Untuk saya ini bahaya. Bahaya apa?

Pada hemat saya bahaya besar akan datang. Bahaya yang saya maksudkan ialah Najib akan menyusun. Najib akan memastikan Pakatan Harapan tidak akan sampai ke Putrajaya. Najib akan memastikan Rosmah akan terus selamat dan dapat memiliki Hermes Birkin edisi kulit anak buaya biru 2018.

Ketika ini, Najib telah menyusun Felda 2.0. Ini adalah jawapan Najib terhadap Mahathir. Najib sedar bahawa Mahathir telah berjaya mendapat sokongan warga Felda. Najib juga sedar akan peranan ANAK - NGO kaum kerabat Felda yang menyokong Pakatan Harapan.

NGO ANAK telah berjaya mentarbiah dan menghasut generasi kedua warga Felda untuk membenci Najib dan menyokong Pakatan Harapan.

Najib juga sedar pengaruh Mahathir makin merebak melintasi Felda. Justeru pada Hari Raya Cina tahun ini si Najib telah menziarahi Langkawi. Di Langkawi Najib telah mengumumkan dana sebanyak 1.3 bilion ringgit untuk warga Langkawi.

Dedak Langkawi

Dedak Langkawi ini ditabur untuk memastikan pengaruh Mahathir lupus atau dapat dikurangkan. Didesasdesuskan bahawa Mahathir akan bertanding di Langkawi. Dana 1.3 bilion ringgit ini adalah kereta kebal Najib untuk bertahan.

Pengaruh Mahathir bukan hanya di Langkawi, Malah di Kedah bekas ketua bahagian United Malays National Organisastion untuk kawasan Kubang Pasu ini amat-amat berpengaruh. Menteri besar Kedah yang bukan dari Pakatan Harapan terpaksa menerima hakikat bahawa Mahathir telah berjasa di Kedah.

“Orang Kedah sayang Mahathir...” adalah antara kata-kata MB Kedah Ahmad Basah yang dilapor oleh Malaysian Insight pada 19/2/18. Ini kenyataan berbahaya. Kenyataan seperti inilah yang menakutkan saya.

Berita dari warung ke warung makin merebak. Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan. Pengaruh Parti BERSATU cukup ampuh di Kedah. Ke mana sahaja kita menapak kita akan terlihat kibaran bendera merah Bunga Raya BERSATU. Ini menakutkan.

Apa yang saya takutkan? Saya tidak takut dengan rancangan dedak Langkawi atau Najib membuat Felda 2.0 sampai ke Felda 100 pun. Ini tidak menakutkan. Apa yang menakutkan ialah rancangan Najib untuk menyelamatkan dirinya masuk penjara.

Mustahil Najib tidak sedar bahawa dalam PRU14 kali ini Pakatan Harapan akan menang. Sama seperti PRU13 dahulu rakyat akan berbondong-bondong turun untuk mengundi Pakatan Rakyat. 
Mustahil Najib tidak terhidu perkara ini. Mustahil si Najib tidak mendapat laporan risikan tentang sokongan terhadap United Malaysa National Organsiation makin merosot.

Malah kelmarin 18/2/18 akhbar China Press telah melaporkan bagaimana Timbalan Pengerusi MCA Wee Ka Siong telah meramalkan United Malays National Organisation akan kalah dalam PRU14 nanti.

Ini bukan ramalan kecil anak. Ini ramalan parti cukong MCA, parti kawan setia Najib. Ramalan ini dibuat mungkin dengan niat jujur agar Najib bersedia menerima hakikat untuk mengundur diri. Atau ramalan ini cara MCA membeli insurans nyawa untuk selamat apabila Pakatan Harapan berkuasa sesudah PRU14.

Semua jarum kompas politik sedang menunjukkan Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 ini. Kerana kompas politik ini semakin jelas maka saya semakin takut.

Saya bukan takut untuk menang. Dasar saya ialah berani berjuang berani menang. Apa yang amat amat saya takuti ialah rancangan Najib. Mustahil Najib tidak bersedia.

Pada 11/2/18, Malaysiakini melaporkan kenyataan Najib tentang penipuan dalam PRU14. Najib menafikan kemungkinan akan berlaku tipu dalam PRU14. Mengikut Najib pilihan raya dibuat dengan “ketat” oleh SPR. Dari logik Najib, kerana ketat maka penipuan tidak wujud. Apa yang ketat lagi sendat tidak pula dibutirkan oleh Najib.

Lawak seram

Ini lawak seram. Saya ketawa apabila terbaca lawak ini. Dalam masa yang sama saya merasa takut. Saya ketawa kerana umum tahu bahawa SPR ini ialah jentera kerajaan. Pengerusi SPR dilantik oleh Najib. SPR bukan bawah kawalan parlimen.

Saya merasa takut kerana Najib berkata tidak ada penipuan. Ini kenyataan yang amat amat menakutkan. Ini kenyataan yang amat berbahaya.

Najib kata tidak ada penipuan dalam PRU14. Ini bermakna semua bentuk penipuan sedang diatur dan sedang disusun. Ini hakikat. Jika tidak ada dakwaan penipuan apa perlunya Najib membuat kenyataan tentang penipuan. Garam yang masin tidak perlu diiklankan masin, kecuali telah ditambah racun atau gula.

Kalau tidak ada dakwaan penipuan dalam PRU14 kenapa Najib perlu membuat kenyataan tidak ada penipuan? Kenapa Najib perlu menafikan?

Di Malaysia cara membaca media cukup senang. Apa yang dinafikan oleh politikus maka perkara itu wujud. Politikus akan menuduh wartawan salah lapor atau salah dengar.

Dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah menang. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Tapi Pakatan Rakyat telah dinafikan kuasa untuk mengambil alih kerajaan.

Kali ini sekali lagi perkara yang sama akan berlaku. Dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Kalau kalah mungkin kerana ditipu.

Ketika saya menulis ini satu atau dua kes persempadan semula sedang berjalan. Satu demi satu kes bantahan orang ramai terhadap persempadan semula ini telah dibatalkan oleh mahkamah. Akhirnya persempadan semula akan berlaku.

Persempadan semula ini didakwa penipuan terbuka. Ini satu penipuan yang dijalankan seolah-oleh mengikut hukum dan hakam. Sebenarnya semuanya karut lagi marut. Ini namanya penipuan halal.

Persempadan semula ini boleh mengabui mata orang ramai. Orang ramai terpengaruh dengan proses mahkamah. Terpengaruh dengan proses bantahan. Orang ramai boleh membantah. Orang ramai boleh menulis ketidakpuasan hati mereka.

Tapi semua ini adalah hampeh.

Persempadan semula ini penipuan terbuka dan halal boleh menafikan Pakatan Harapan dari menang. Apakah ada lagi yang rancangan yang lebih menakutkan? Tunggu minggu hadapan.
 

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Kes Fahmi Reza gugat kebebasan suara — Aliran

Baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman selama sebulan penjara dan denda sebanyak RM30,000 terhadap kartunis dan penulis politik, Fahmi Reza selepas beliau didapati bersalah dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aliran berasa amat terkejut dengan hukuman keras yang dijatuhkan hanya kerana mempersendakan pemimpin dan institusi yang menyokong mereka.

Ini adalah di antara undang-undang menindas (termasuk Akta Hasutan) yang digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk "mendiamkan" suara-suara yang pengkritik dan menakut-nakutkan mereka.

Tujuan wujudnya undang-undang ‘draconian’ seperti ini adalah untuk membenarkan kerajaan mentafsirkan peruntukkan undang-undang mengikut agenda mereka iaitu dengan mengekalkan kuasa mereka dan mendiamkan sesiapa yang mengkritik.

Fahmi telah didakwa dan didapati bersalah dibawah Seksyen 233(1)(a) yang menyatakan secara meluas:

Seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar telah membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain

Ramai yang tidak faham bagaimana karikatur tentang penyalahgunaan kuasa di media sosial dilihat sebagai satu ancaman dan menyingung perasaan.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, tujuan seksyen ini adalah untuk mengatasi isu buli diatas talian yang berleluasa di media sosial. Bukan untuk melindungi kerajaan daripada dikritik.

Ini jelas sekali memperlihatkan bagaimana kerajaan mengunakan tukul untuk menghentam pengkritik di media sehingga mereka akur.

Kita juga tertanya-tanya bagaimana sebuah kerajaan yang mempunyai semua jentera kuasa melihat dirinya sebagai mangsa buli di atas talian dan perlukan perlindungan undang-undang.

Selain itu, terdapat juga persoalan di mana terdapatnya pelanggaran hak Fahmi untuk kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan dan ditegakkan oleh perjanjian antarabangsa hak asasi manusia.

Seperti yang kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara kita dan sebarang pelanggaran terhadap kebebasan bersuara dan berekspresi adalah tidak berpelembagaan kecuali atas sebab luar biasa dan penting.

Terkini, Fahmi mencabar adakah Akta Komunikasi dan Multimedia mengikut perlembagaan, dan kami berharap beliau berjaya mendesak agar undang-undang yang menindas ini ditarik balik.

Fahmi juga telah menubuhkan satu tabung bagi mengumpul dana untuk membayar denda RM30,000 melalui penjualan barangan.

Kepada yang ingin membantu Fahmi mengumpul dana boleh ke laman facebook beliau.

Rakyat Malaysia mesti bangun dan pertahankan kebebasan bersuara dan ekpresi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger